Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemuzik Melayu gabung alat tradisional, muzik moden

Agensi budaya, ‘Artusik’ angkat dan perkenal warisan Nusantara
Aug 5, 2025 | 5:30 AM
Komposer dan pemuzik, Shahneezar Shahnan bersama pengasas NJ Studio, guru muzik dan pemain piano, Nabillah Jalal, membangun agensi kebudayaan iaitu Artusik, yang mengangkat dan memperkenalkan kekayaan warisan Nusantara melalui bidang muzik, pendidikan, kegiatan masyarakat, serta persembahan seni.
Komposer dan pemuzik, Shahneezar Shahnan bersama pengasas NJ Studio, guru muzik dan pemain piano, Nabillah Jalal, membangun agensi kebudayaan iaitu Artusik, yang mengangkat dan memperkenalkan kekayaan warisan Nusantara melalui bidang muzik, pendidikan, kegiatan masyarakat, serta persembahan seni. - Foto BH oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Kekayaan muzik Nusantara yang pelbagai menjadi inspirasi dan tunjang utama bagi penggubah dan pemuzik, Shahneezar Shahnan, untuk melahirkan sebuah karya yang menggabungkan alat muzik tradisional seperti oud atau gambus, pipa, biola dan dabal bes.

Karya yang diberi judul Rapsodi Nusantara, menggambarkan detik-detik penting dalam perjalanan muzik Shahneezar, 39 tahun, yang membentuk dirinya sebagai pemuzik di era ini.

Pada 26 Julai lalu, karya Rapsodi Nusantara, dipersembahkan dalam sebuah konsert di Black Box, Pusat Seni Stamford.

Konsert itu merupakan sebahagian daripada Program Perhimpunan New Sights, anjuran Pasat Merdu.

Program Perhimpunan New Sights ialah program yang dirangka khusus bagi para penggubah Singapura mencipta karya silang budaya baru, yang memberi penekanan terhadap proses kreatif di sebalik penghasilan sesebuah karya. 

Sepanjang program itu, peserta menjalani latihan intensif yang merangkumi ceramah, persembahan, kuliah, lawatan tapak serta sesi bimbingan bersama mentor berpengalaman.

Di samping itu, Shahneezar, merupakan komposer Melayu pertama yang terlibat dalam Program Perhimpunan New Sights.

Antara pemuzik lain termasuk pemain biola, Kailin Yong; pemain gambus, Azrin Abdullah; pemain pipa; Gildon Choo, pemain piano; Eugene Ang, pemain rebana; Nizarfauzie Norlie; dan pemain tabla, Govin Tan.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, beliau berkata:

“Saya memilih istilah ‘Rapsodi’ kerana ia menggabungkan lima detik penting dalam perjalanan muzik saya.

“Dibesarkan di Singapura, saya terdedah kepada kepelbagaian muzik dan budaya – daripada angklung, kulintang (alat muzik tradisional Sulawesi Utara yang terdiri daripada bilah-bilah kayu) dan gamelan di bangku sekolah menengah hinggalah alat genderang Cina dan India, sekali gus alat muzik Barat seperti gendang timpani dan alunan alat muzik tali.

“Antara sorotan utama dalam karya, Rapsodi Nusantara, ialah segmen yang menampilkan nyanyian, Kecak Bali, yang saya olah semula untuk disesuaikan dengan konteks keseluruhan karya ini.”

Shahneezar, yang juga seorang jurulatih muzik etnik Singapura, mengakui mencabar untuk menyelami keunikan setiap alat muzik dan latar budaya masing-masing, sambil mencari titik temu supaya setiap alunan digabungkan secara harmoni.

“Latar belakang saya dalam muzik etnik agak terhad, namun apabila saya mula belajar mengenai setiap alat muzik, saya ingin memberi ruang kepada setiap satu untuk menonjol melalui bunyi dan gaya tersendiri.

“Contohnya, pada permulaan karya ini, saya menulis frasa empat bar (ritma) yang dimainkan serentak oleh semua alat muzik. 

“Dari situ, saya dapat menghayati dan memahami bunyi yang digabungkan, dan pada masa sama, masih mengekalkan keunikan masing-masing,” jelas Shahneezar.

Sebagai komposer Melayu pertama yang menyertai program ini, pencapaian tersebut membawa makna bagi Shahneezar, dari sudut kerjaya muzik mahupun peribadi.

Lebih penting lagi, beliau melihat kejayaan ini sebagai tanda suara masyarakat Melayu layak mendapat tempat dalam dunia muzik kontemporari.

“Saya berasa rendah hati kerana berpeluang menyertai program ini bersama komposer berbakat daripada pelbagai latar belakang muzik.

“Saya tidak melalui pendidikan formal dalam pengajian muzik, jadi peluang ini benar-benar saya hargai,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Shahneezar bersama pengasas NJ Studio, pengasas bersama ArtSee, guru muzik dan pemain piano, Nabillah Jalal, 33 tahun, membangun agensi kebudayaan iaitu, Artusik, yang mengangkat dan memperkenalkan kekayaan warisan Nusantara melalui bidang muzik, pendidikan, kegiatan masyarakat, serta persembahan seni.

Melalui Artusik, kedua-dua pemuzik itu menampilkan pendekatan yang terangkum dan progresif dalam menghasilkan muzik kontemporari menggunakan alat muzik tradisional.

“Kami cuba menghasilkan muzik kontemporari dengan menggunakan alat muzik yang sering dianggap tradisional.

“Misalnya, apabila sebut tentang gamelan, ramai yang terus beranggapan kami memainkan muzik tradisional semata-mata.

“Hakikatnya, seperti gitar yang dianggap alat muzik ‘timeless’ (abadi) kerana boleh merentas pelbagai era dan genre, gamelan juga punya potensi yang sama.

“Salah satu sebab kami menala gamelan secara kromatik adalah supaya ia boleh memainkan semua nada seperti piano. 

“Ini membolehkan kami memperluas repertoir dan lebih dekat dengan generasi muda.

“Dalam pada itu, kami ingin tunjukkan bahawa budaya sentiasa berubah, dan setiap orang ada peranan dalam perubahan tersebut,” kata Nabillah.

Shahneezar turut menjelaskan Artusik menggabungkan alat muzik, bahasa dan kisah-kisah daripada pelbagai latar etnik bagi mencetus dialog dan perbincangan antara tradisi.

Menyentuh harapan perkembangan Artusik dalam arena muzik Singapura, Shahneezar berkata:

“Melalui Artusik, kami ingin menyemai penghargaan terhadap akar budaya sambil menghasilkan seni yang segar dan bermakna.

“Kami mahu menjadikan muzik tradisional lebih mudah diakses dan menarik, terutama untuk generasi muda.

“Kami juga berharap agar Artusik dapat memberi kesan artistik yang berkekalan dan mendekatkan masyarakat kepada warisan yang dikongsi bersama.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg