Pada usia hanya 14 tahun kini, dunia tarian bukan perkara asing bagi Tyara Cynta Puteri Noor Azhar.
Daripada seni balet kepada tarian Melayu tradisional dan kontemporari, Tyara merupakan penari serba boleh.
Namun baru-baru ini, dia telah menyahut cabaran baru mempelajari tarian tradisional yang jauh berbeza.
Pelajar Sekolah Seni Singapura (Sota) itu telah menyertai Residensi Tari Topeng 2025 di Malang, Indonesia, untuk mendalami seni Tari Topeng, satu bentuk tarian bertopeng tradisional yang kaya dengan mitos dan cerita rakyat Jawa.
“Walaupun saya pernah menonton tarian Tari Topeng, saya tidak pernah mencubanya.
“Jadi memandangkan saya diberi peluang, saya rasa ini adalah masa untuk saya memperluaskan kemahiran saya dalam seni Nusantara,” jelas Tyara, dalam satu episod podcast, NoTapis.
Tyara merupakan salah seorang daripada empat penari muda Singapura yang terlibat dalam residensi kendalian Yayasan Warisan Melayu (MHF), di bawah Program Pensijilan Seni (ACP), dengan kerjasama Universiti Negeri Malang, Indonesia.
Tiga individu lain termasuk Cik Megan Lee Xin Hu, Muhammad Al-Hafiz Hosni dan Solihin Zohari.
Muhammad Al-Hafiz, 31 tahun, merupakan lulusan Maktab Seni Lasalle dengan ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Teater Muzikal; sementara Solihin, 32 tahun, pula ialah artis persembahan bersekutu bersama teater seni persembahan, T3ar3r Muzikal collective.
Keempat-empat peserta dipilih selepas MHF mengundang orang ramai untuk menghantar permohonan antara 17 Februari dengan 17 Mac.
Program yang berlangsung dari 15 Jun hingga 12 Julai merupakan usaha penting dalam melestarikan dan mempromosikan seni tradisional Asia Tenggara, terutama tarian Tari Topeng yang kini semakin terancam.
Sepanjang program tersebut, peserta mengikuti latihan intensif, yang meliputi teori dan amali, termasuk membuat topeng sendiri, memahami sejarah dan lambang setiap watak, serta lawatan ke kuil purba dan kampung artisan di Jawa Timur.
Menurut Pengurus Besar MHF, Cik Rilla Melati Bahri, usaha itu adalah untuk memperkenalkan bakat Singapura ke luar negara.
“Melalui program pensijilan ini, kita ingin memberi kebolehpercayaan kepada penggiat seni Singapura.
“Dengan adanya pensijilan seperti ini, penggiat kita dapat adakan pertukaran ilmu dan juga menghasilkan pembelajaran dua hala.
“Penggiat Singapura boleh belajar seni tersebut dan kemudian menurunkan ilmu itu kepada kita,” tambahnya.
Turut menyertai rakaman podcast tersebut ialah Penolong Penyelidik sepenuh masa di Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Lee, yang juga penerima Biasiswa Seni dan Budaya Indonesia untuk dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.
Cik Lee, 28 tahun, yang mempunyai latar belakang dalam tarian Latin dan Bali, berkata beliau mula tertarik pada Tari Topeng semasa menyertai projek muzikal universiti.
“Saya rasa ada sesuatu yang ‘hilang’ dalam persembahan kami.
“Saya tak mampu mewakili tarian Indonesia dengan betul tanpa memahami Tari Topeng.
“Residensi ini memberi saya peluang untuk faham dari akar umbinya serta cara mereka yang menghidupkan seni ini setiap hari,” tambahnya.
Walaupun datang daripada latar belakang berbeza, keempat-empat mereka berkongsi matlamat yang sama, iaitu untuk menghidupkan seni lama itu dalam konteks moden dan menjadikannya relevan untuk generasi hari ini.
Program itu turut melibatkan lawatan ke candi purba dan perkampungan tukang ukir topeng, dan peserta menyaksikan sendiri proses dan perlambangan di sebalik setiap topeng.
Dengan lebih 70 watak berbeza dalam tarian Tari Topeng – daripada wira dan raja hingga makhluk halus dan dewa, peserta residensi bukan sahaja harus menghafal gerak, namun menghayati watak dan jalan cerita.
Program residensi itu hanyalah permulaan, menurut Cik Rilla.
Apabila peserta residensi kembali ke Singapura, mereka akan menerima pensijilan rasmi dan digalakkan berkongsi pengetahuan mereka melalui bengkel, persembahan dan program sekolah.
Bagi Tyara, itu sudah pun dalam rancangannya.
“Bila saya balik nanti, saya nak buat persembahan Tari Topeng di sekolah dan ajar rakan-rakan saya.
“Saya nak orang lain pun ketahui keunikan seni ini,” ujarnya.
MHF pula berharap kalangan belia itu akan menjadi duta seni budaya dan mungkin mencipta koreografi baru yang menggabungkan unsur tradisi dan moden.
“Bayangkan Tari Topeng yang menceritakan kisah-kisah Singapura,” kata Cik Rilla.
“Itu impian kita – dan semuanya bermula dengan anak-anak muda seperti mereka.”
Disokong oleh Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Universitas Negeri Malang, program itu membuka ruang kepada kerjasama berterusan dalam bidang seni budaya.
Menurut Cik Rilla, MHF turut merancang meneroka bentuk seni lain seperti gamelan dan angklung pada masa akan datang.
“
Melalui program pensijilan ini, kita ingin memberi kebolehpercayaan kepada penggiat seni Singapura. Dengan adanya pensijilan seperti ini, penggiat kita dapat adakan pertukaran ilmu dan juga menghasilkan pembelajaran dua hala.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg