Sebagai anak Gen Z yang membesar dengan novel cinta Melayu, setiap kali ada adaptasi drama, jangkaan saya pasti melambung tinggi.
Manakan tidak? Setiap pembaca membayangkan jalan cerita dengan cara dan gaya tersendiri.
Apabila sesuatu cerita telah lama hidup dalam imaginasi, sukar bagi saya untuk menerima versi yang lain daripada apa yang telah dihadam menerusi halaman novel.
Ada kalanya terasa seperti ‘kena scam’ pula dengan pengarah.
Memang bunyinya terlalu dramatik, tetapi begitulah hebatnya pengaruh karya yang menyentuh hati.
Kini, pelbagai wadah penulisan sudah mula mendapat perhatian industri, termasuk karya daripada platform Wattpad.
Antara yang menjadi tumpuan mutakhir ini ialah karya berjudul, Thariq Ridzuwan: His Treasure, adaptasi novel tulisan Huda Najwa, yang asalnya diterbitkan di Wattpad.
Namun, drama ini mula menjadi bualan hangat bukan kerana jalan ceritanya, tetapi disebabkan kenyataan pengarahnya, Eyra Rahman, sewaktu sidang media drama Thariq Ridzuwan: His Treasure, pada 10 Jun lalu, di Kuala Lumpur, Malaysia.
Dalam satu video yang tular di media sosial, Eyra dilihat membandingkan kerja pengarah dengan penulis.
Beliau berkata: “Penulis dengan angan-angan yang dia tak perlu fikir, macam mana nak ‘shoot’, macam mana nak buat bajet… Saya tak salahkan penulis.”
Lebih daripada itu, beliau turut menyatakan penulis hanya ‘duduk depan laptop dan menulis’, berbeza dengan pengarah yang perlu bergelut dengan fikiran kusut, memikirkan tentang bajet, hari penggambaran, cuaca dan pelbagai isu teknikal lain.
Secara peribadi, saya akui bahawa setiap pihak dalam sesebuah penerbitan ada cabaran masing-masing.
Namun begitu, tidak wajar untuk meremehkan usaha penulis, lebih-lebih lagi mereka yang melabur masa, tenaga dan keringat untuk mencipta cerita yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu membentuk emosi dan minda pembaca.
Jika diimbas era 2010-an, fenomena drama adaptasi novel sangat dihormati dan dinanti-nantikan oleh pencinta novel mahupun drama.
Misalnya seperti drama Adam dan Hawa, Love You Mr Arrogant, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Setia Hujung Nyawa dan Isteri Separuh Masa, yang mana semuanya menyaksikan kejayaan dari segi arahan, lakonan serta mutu skrip.
Begitu juga karya malar segar penulis Malaysia, Ahadiat Akashah, yang terdiri daripada Lagenda Budak Setan dan Pilot Cafe yang kekal relevan dan masih diingati kini.
Kedua-dua karya yang diadaptasikan ke dalam filem telah mendapat tempat di hati penonton, sehingga masih menjadi topik perbualan netizen di ruang media sosial, sekali gus menjadi perbandingan karya hebat dulu dan sekarang.
Satu lagi contoh yang membuktikan kejayaan kerjasama mantap antara pengarah dengan penulis ialah 7 Hari Mencintaiku, adaptasi karya Siti Rosmizah.
Drama itu bukan sahaja berjaya sehingga dijadikan trilogi (antara 2016 dengan 2022), malah menang besar dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 2017, dengan membolot enam anugerah termasuk Drama Pilihan, Pengarah Pilihan dan Pasangan Pilihan.
Bagi saya, kunci kejayaan sesebuah adaptasi terletak pada persefahaman antara penulis dengan pengarah, tidak kira sama ada penulis itu berasal daripada penerbit arus perdana atau platform digital seperti Wattpad.
Setiap suara kreatif wajar diraikan, bukan dipandang enteng.
Bagaimanapun, harapan saya untuk menyaksikan drama Thariq Ridzuwan: His Treasure, yang dibintangi pelakon muda iaitu Meerqeen dan Qasrina Karim, tetap tinggi.
Meskipun isu tular sebelum tayangan sedikit mencemarkan jangkaan, saya berharap agar perkara seumpama ini dapat dielakkan pada masa hadapan.
Kerjasama yang lebih terbuka dan saling menghormati antara pengarah dengan penulis bukan sahaja akan menghasilkan karya yang lebih bermutu, malah mampu mencipta ‘win-win situation’ atau keadaan yang menguntungkan bagi kededua pihak.
Lebih penting lagi, pastikan ia tidak menghampakan pembaca novel mahupun penonton setia seperti saya.
“
“Bagi saya, kunci kejayaan sesebuah adaptasi terletak pada persefahaman antara penulis dengan pengarah, tidak kira sama ada penulis itu berasal daripada penerbit arus perdana atau platform digital seperti Wattpad. Setiap suara kreatif wajar diraikan, bukan dipandang enteng.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg