Setelah 10 tahun meninggalkan zaman persekolahan, pelakon Malaysia, Muaz Zabir, tidak menyangka dirinya bakal membawa watak pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun dalam drama yang mengisahkan tentang percintaan anak muda, Mitos Cinta Akira.
“Saya dah tinggalkan zaman sekolah 10 tahun lalu. Memang agak sukar untuk ‘mudakan’ kembali diri saya dan menghidupkan watak budak sekolah.
“Saya harus mengimbau kembali perkara yang sering saya lakukan pada zaman itu.
“Mujur, saya bergandingan dengan Arabella yang masih muda (20 tahun) dan baru tamat sekolah tiga tahun lalu (2022).
“Beliau dapat berkongsi mengenai perwatakan remaja zaman sekarang dan buat saya terasa muda,” kongsi Muaz, 27 tahun, kepada Berita Harian (BH) dalam satu sesi wawancara melalui Zoom.
Muaz berkata watak Haris yang dibawanya agak berbeza dengan dirinya yang sebenar.
“Haris seorang anak muda yang cepat baran dan terkesan dengan tindakan bapanya untuk berkahwin dengan isteri kedua.
“Beliau mula berkenalan dengan seorang gadis yang tidak dikenali latar belakangnya melalui aplikasi cari jodoh dan selesa berbual dengannya.
“Namun gadis itu sebenarnya Akira, rakan sekolahnya yang sering bertengkar dengannya dan mencari masalah.
“Ia berbeza dengan diri saya yang sering senyum dan kelakar,” katanya sambil tertawa.
Selain Muaz, drama 15 episod yang bersiaran di wadah penstriman Viu itu dibintangi Naib Juara Dewi Remaja 2023, Arabella Ellen, sebagai Akira dan pelakon baru, Areef Amran, sebagai Ikhwan.
Muaz, yang berkecimpung dalam bidang lakonan selepas menjuarai pertandingan realiti, Fit for Action, pada 2022, menyifatkan peluang tersebut telah mempersiapkan dirinya untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam industri seni.
“Terdapat pelbagai cabaran dalam pertandingan itu yang membuat saya bersedia dan cepat menyesuaikan diri apabila berhadapan dengan pelbagai situasi.
“Apabila saya mula berlakon, saya sedar kerjaya seorang pelakon bukan hanya menghafal dialog dan menjiwai watak.
“Kita perlu berada di set penggambaran buat masa yang lama dan terdapat faktor yang boleh mengganggu sesebuah babak termasuk cuaca, bunyi dan keadaan sekeliling,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat pertandingan realiti merupakan wadah yang baik di mana penggiat seni dan orang ramai dapat melihat potensi sebenar pelakon itu.
Berkongsi pengalaman pertamanya berlakon dalam drama, Bukan Hanya Sekadar Cinta bersama pelakon Singapura, Sofia Dendroff, dan penyanyi, Ismail Izzani pada 2023, Muaz berkata ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.
“Saya diberikan watak yang perlu banyak menangis. Pada mulanya, saya hampir putus asa kerana ia amat sukar.
“Saya bertanya kepada diri sendiri jikalau saya sesuai untuk berada dalam bidang lakonan.
“Namun, saya bertekad untuk melakukan yang terbaik dan mendapat bantuan daripada rakan supaya saya berjaya menangis dalam babak tersebut.
“Setelah tamat babak itu, kru penerbitan bertepuk tangan kerana saya berjaya menghidupkan watak itu.
“Ia memberi saya satu semangat untuk berikan yang terbaik supaya penonton di rumah turut terkesan dengan lakonan saya,” cerita Muaz yang pernah terlibat dalam drama Kuih Muah dan Keluarga Itu.
Beliau turut berharap dapat diberi kepercayaan untuk membawa watak lebih mencabar pada masa hadapan.
Antara watak impiannya termasuk berlakon sebagai individu yang mempunyai gangguan mental dan identiti kerana ia memerlukannya untuk membawa dua watak berbeza.
Mengulas mengenai perkembangan terkini, Muaz berkata dirinya sedang sibuk membuat persiapan bagi drama terbarunya, Seoul Cinta, yang bakal menjalani penggambaran di Korea Selatan.
Drama yang akan ditayangkan di saluran TV3 turut dibintangi Siti Khadijah Halim dan Fitri Farok.
“Kami tidak sempat untuk lakukan penggambaran sewaktu musim sejuk. Ia tetap pengalaman yang baru kerana keadaan dan budayanya berbeza.
“Insya-Allah semuanya bakal berjalan dengan lancar.
“Namun, saya harap saya tidak sesat dan jumpa jalan balik ke Malaysia!” seloroh Muaz yang berasa teruja kerana ia merupakan drama pertama di mana beliau akan berlakon di luar negara.
Drama ‘Mitos Cinta Akira’ boleh ditonton di aplikasi Viu dengan dua episod akan disiarkan setiap minggu dan episod terakhir bakal disiarkan pada 8 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg