Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umairah rancang kembangkan kerjaya nyanyi ke China

Jan 6, 2026 | 6:21 PM
umairah, china, kerjaya, siti nurhaliza
Penyanyi Umairah semasa sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-15 tahun. - Foto INSTAGRAM UMAIRAHOFFICIAL

KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja berbakat besar, Umairah, merancang mengembangkan kerjayanya ke pasaran China, sekali gus menyambung impian dan legasi ibu saudaranya yang juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Umairah atau nama penuhnya Ummi Umairah Saiful, 15 tahun, berkata perancangan itu sudah mula diatur SN Legacy (SNL) dan berkemungkinan direalisasikan pada musim cuti sekolah akan datang, lapor Berita Harian Malaysia.

“SNL memang sudah mengatur jadual untuk saya dan insya-Allah, saya akan ke China bagi memasarkan diri di sana memandangkan saya boleh berbahasa Mandarin.

“Mungkin perancangan itu akan dilaksanakan pada cuti sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-15 tahun di sebuah premis acara di sini, baru-baru ini.

Pelantun lagu, Sayap itu berkata langkah awal yang dirancang adalah menyertai uji bakat nyanyian di China bagi memperkenalkan dirinya kepada khalayak di sana sebelum tampil dengan karya rakaman.

“Saya pergi ke sana untuk bertanding terlebih dahulu supaya orang di sana kenal dengan saya.

“Kalau terus keluarkan lagu, saya bimbang orang belum mengenali saya.

“Jadi, saya bina nama secara perlahan-lahan,” katanya.

Umairah turut mendedahkan pernah berhajat menyertai pertandingan nyanyian di China sebelum ini, namun terpaksa menangguhkan hasrat terbabit bagi memberi tumpuan kepada akademik.

“Sebelum ini memang ada satu pertandingan yang saya mahu sertai, tetapi ketika itu saya masih fokus kepada pelajaran.

“Sekarang ini saya sedang melihat uji bakat nyanyian yang ada di China.

“Lagipun pertandingan di sana memang besar-besar, seperti yang disertai Abang Firdhaus Farmizi itu.

“Insya-Allah, saya juga ada perancangan untuk berkolaborasi dengan Abang Firdhaus, mana tahu boleh,” katanya.

Ditanya sama ada berasa tertekan untuk menyambung legasi ibu saudaranya, pemenang trofi Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 itu berkata perkara itu tidak memberi tekanan sebaliknya selari dengan minatnya sendiri.

“Saya tidak rasa tertekan kerana perkara ini memang minat dan merupakan impian saya sejak mula belajar bahasa Mandarin.

“Atuk saya juga pernah berpesan, kalau kita sudah belajar sesuatu ilmu, kita tidak akan menyesal.

“Apabila semakin dewasa, barulah saya faham maksud kata-kata Atuk,” katanya.

Dalam pada itu, Umairah mengakui mempelajari bahasa Mandarin bukan sesuatu yang mudah disebabkan perbezaan bahasa dan struktur tulisan, namun pengalaman itu banyak membentuk dirinya hari ini.

“Dulu belajar bahasa Mandarin memang mencabar kerana ia bukan bahasa kita.

Slang dan tulisan pun sukar.

“Saya belajar bahasa Mandarin sehingga Tahun 6 (Darjah 6).

“Apabila masuk sekolah menengah aliran Melayu, saya mula rasa rindu untuk belajar Mandarin semula.

“Alhamdulillah, saya ada rakan Melayu yang fasih berbahasa Mandarin, jadi daripada situ saya terus membaiki dan meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg