Penyanyi Malaysia yang popular dengan lagu duet Rindu Separuh Nyawa (bersama Naqiu), Vanessa Reynauld, berkongsi perkembangan terkini kesihatan abangnya, Christopher, yang menghidap Sindrom Down dan kini tidak lagi mampu bergerak seperti biasa.
Vanessa, 25 tahun, berkata kesihatan abangnya, 36 tahun, mula merosot sejak Mei 2025.
Akibat masalah tulang belakang, Christopher kini tidak boleh berjalan dan sukar mengangkat tangan.
“Keadaan abang saya kini semakin teruk, dia hilang keupayaan bergerak, tidak lagi mampu berjalan atau mengangkat tangan.
“Jika sebelum ini dia masih boleh ke tandas dengan bantuan, sekarang dia lebih banyak terlantar di katil.
“Justeru, penjagaannya menjadi lebih mencabar,” kata Vanessa kepada Berita Harian Malaysia (BHM) ketika ditemui pada sidang media Showcase Vanessa Reynauld di Malaysia, baru-baru ini.
Vanessa berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati ada sesuatu yang menekan tulang belakang abangnya hingga menjejaskan keupayaan untuk bergerak.
“Doktor maklumkan tulang belakang abang seperti tertekan.
“Kalau buat rawatan pun, kemungkinan untuk dia pulih seperti dahulu sangat rendah.
“Jadi, kami sekeluarga ambil keputusan untuk tidak teruskan rawatan agresif kerana tidak mahu dia melalui kesakitan dan ketidakselesaan yang lebih teruk,” katanya lagi.
Mantan peserta program hiburan, Ceria Popstar 3, itu turut berkata punca sebenar kemerosotan kesihatan abangnya masih belum dikenal pasti.
“Abang saya alami Sindrom Down dan kerap dimasukkan ke hospital akibat pneumonia (radang paru-paru).
“Sampai jururawat hospital pun kenal saya sebab selalu jaga abang setiap kali dia dimasukkan ke wad.
“Sebelum ini, kesihatan abang masih baik dan mudah dijaga.
“Kami pun tidak tahu macam mana boleh timbul masalah ini,” kongsi Vanessa.
Bagaimanapun, Vanessa bersyukur melihat perkembangan positif apabila abangnya sudah mampu duduk sendiri selepas diberi vitamin dan latihan ringan.
“Apabila nampak dia boleh duduk sendiri, saya sangat gembira.
“Itu satu permulaan yang baik. Harapannya, suatu hari nanti, dia boleh berdiri semula,” ungkap Vanessa, yang turut melancarkan single terbaru dalam bahasa Mandarin berjudul, Would You Leave Me Too?


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg