Topik diikuti
Pergi ke BHkuLawak ‘lama’, selera baharu: Pelawak ‘otai’ kongsi rasa
Pengaruh media sosial ubah cara masyarakat nikmati komedi; perlu beri peluang bakat muda bina identiti sendiri
Lawak ‘lama’, selera baharu: Pelawak ‘otai’ kongsi rasa
Beberapa puluh tahun lalu, masyarakat tempatan disajikan dengan lawak yang tidak kering gusi tatkala menonton rancangan komedi seperti The Unsangkarable dan Fiesta Komedi.
Kededua rancangan tersebut serta rancangan tahunan seperti, Sinar Lebaran, yang disiarkan sempena Hari Raya, menjadi tempat permainan pelawak veteran seperti Allahyarham Alias Kadir, Allahyarham Ishak Ahmad, Husin Saaban, Suhaimi Yusof dan Era Farida untuk menghiburkan penonton.
Baru-baru ini, dunia komedi telah digemparkan dengan berita pemergian Allahyarham Mahadi Shor pada 27 Mac dan Allahyarham Yusoff Maruwi pada 1 Jun.
Dengan pemergian mereka serta umur rakan-rakan seperjuangan yang kian meningkat, terdapat kerisauan tentang kelangsungan serta perubahan landskap komedi di Singapura.
Berita Minggu (BM) berbicara dengan beberapa pelawak veteran yang berkongsi tentang keadaan dan masa depan dunia lawak tempatan.
Salah seorang pelakon dan pelawak veteran, Sahfuddin Mahfudz yang akan membuat penampilan sewaktu acara makan malam dan persembahan komedi, ‘Temu Lawak’, pada 31 Oktober nanti, berkata perubahan terbesar dalam industri hiburan bukan sekadar pada jenis pelakon atau bentuk komedi, malah, pada cara masyarakat menikmati hiburan.
Bagi Sahfuddin, 61 tahun, jika dahulu televisyen menjadi tumpuan seisi keluarga, kini telefon bimbit dan media sosial telah mengambil alih peranan tersebut.
“Dulu orang sanggup tunggu depan TV untuk tonton rancangan yang disiarkan.
“Sekarang masing-masing boleh menontonnya melalui telefon bimbit,” katanya.
Saluran YouTube, TikTok, podcast dan platform media sosial lain telah melahirkan generasi baharu yang membina populariti tanpa perlu melalui laluan tradisional seperti televisyen.
Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan pihak penerbitan semakin cenderung membawa masuk pempengaruh dan pencipta kandungan yang sudah mempunyai pengikut sendiri.
“Sekarang kalau pempengaruh atau ‘YouTuber’ sudah popular, mereka mempunyai kelompok penonton dan peminat sendiri.
“Jadi syarikat penerbitan lebih gemar panggil mereka, supaya penonton atau peminat mereka ikut tengok rancangan yang diterbitkan itu,” tambahnya.
Bagi generasinya, keadaan tersebut amat berbeza.
“Kami dulu dikenali melalui TV. Orang tunggu rancangan kami.
“Sekarang populariti banyak datang daripada media sosial,” tambah beliau.
Berdepan dengan hal tersebut, Sahfuddin turut mengakui bahawa selera lawak masyarakat Singapura kian berubah.
Baginya, pelawak tidak boleh terus menggunakan bahan lama tanpa mengambil kira apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.
“Sekarang sudah zaman kecerdasan buatan (AI). Takkan kita masih hendak bercakap tentang benda yang sama seperti dahulu. Kita kena ikut zaman,” katanya.
Namun, beliau tetap berpendirian perubahan itu tidak bermakna identiti lama perlu dibuang sepenuhnya.
Beliau percaya generasi veteran perlu mencari keseimbangan antara pengalaman lama dengan perkembangan baharu.
Apabila ditanya mengenai perkembangan dunia komedi masa kini pula, pelawak veteran, Ariff Esa turut mengakui bahawa beliau melihat banyak perubahan.
Ariff, 64 tahun, berkata komedi dahulu lebih bergantung pada kespontanan, keserasian dan keadaan yang berlaku secara semula jadi.
“Sekarang kadang-kadang saya rasa orang terlalu mencuba untuk membuat orang ketawa.
“Ada yang seperti memaksa lawak itu keluar.
“Dulu kalau kita tersandung, terjatuh atau berlaku sesuatu yang tidak dirancang, kita boleh jadikan itu sebahagian daripada lawak.
“Kita ‘cool’ sahaja. Yang ‘natural’ itu kadang-kadang lebih menjadi,” katanya.
Malah, Ariff juga tidak menolak perkembangan platform digital seperti TikTok, YouTube dan media sosial.
Namun, beliau berpendapat pelawak tidak semestinya perlu meninggalkan sepenuhnya elemen komedi lama.
“Boleh ikut arus baharu, tetapi jangan tinggalkan yang lama. Campurkan elemen lama dengan yang baharu.
“Bukan semua benda baharu itu semestinya menjadi. Jadi kita tengok dahulu.
“Kita tidak boleh terus kata ini tidak bagus atau itu tidak bagus,” tambahnya yang berpendapat pengalaman pelawak generasi terdahulu masih mempunyai nilai.
Tatkala menyedari wujudnya peralihan dalam landskap dan selera komedi hari ini, Khairudin Samsudin, 55 tahun, menganggap tidak perlu untuk mencari ‘pelapis’ bagi dirinya atau pelawak lain.
Menurut beliau, pengertian ‘pelapis’ bagi golongan pelawak muda atau baharu hanya akan membentuk mereka menjadi serupa dengan pelawak yang terdahulu.
Beliau berkata:
“Ramai yang sebut dan bercakap dengan saya tentang mencari pelapis.
“Namun, saya tidak berpegang dan percaya dengan istilah pelapis.
“Bagi saya, kalau kita mencari ‘pelapis’, kita akan berharap pelawak muda itu akan menjadi serupa macam saya atau pelawak lama yang selainnya.
“Dari situ, akan timbulnya semacam perbandingan atau kita akan merasakan pelawak dahulu lagi baik.
“Ini tidak adil bagi mereka (pelawak muda) kerana wadah mereka sama sekali berbeza.”
Bagi beliau, bukannya tidak ada ‘penerus’ atau generasi baharu yang menceburi bidang lawak, cuma, mereka tampil dalam platform yang berbeza.
Justeru, melihat trend kemunculan pelawak atau pempengaruh muda daripada wadah media sosial seperti TikTok, YouTube dan Instagram, beliau berpandangan bahawa generasi baharu ini hadir dengan cita rasa komedi yang segar dan wajar diberi ruang serta disambut baik.
Bagaimanapun, Khairudin akui pendekatan dan wadah pelawak baharu kian berbeza daripada konsep serta gaya komedi pelawak senior seperti beliau, Suhaimi dan Husin dan Allahyarham Alias.
“Pelawak atau pempengaruh muda beraksi di hadapan kamera bagi penonton di dunia maya.
“Untuk menghiburkan orang melalui cara itu setiap hari memerlukan kemahiran tertentu dan itu merupakan satu cara yang sangat baharu.
“Zaman sudah berubah dan dunia komedi juga sudah berkembang.
“Kita lihat ada sahaja pelawak muda yang muncul dengan cara mereka sendiri dan kita harus sambut baik perkara itu,” kata beliau.
Mengulas tentang keberadaan pelawak atau pempengaruh muda, Khairudin menyebut beberapa nama yang menarik perhatian beliau dan yakin mereka mempunyai potensi yang besar.
Antaranya ialah Zaki Hussain, Pamela Lee Nur Shuhadah dan Yusoff Rasid.
“Saya meminati pempengaruh seperti Zaki, kerana beliau boleh menyatukan lawak dengan elemen intelektual.
“Ada gaya yang tersendiri di situ dan saya suka dengan pendekatan beliau,” tambah Khairudin.
Memandang ke hadapan, Khairudin menggesa agar pendedahan dan latihan terus diberikan kepada pempengaruh yang terbit daripada media sosial agar mereka dapat mencapai potensi mereka untuk mengisi dunia komedi tanah air.
Bagi Haryani Othman, 48 tahun, beliau turut menambah persembahan lawak secara ‘tradisional’ memerlukan ‘stamina’ dan ketangkasan yang tinggi untuk mengekalkan momentum jenaka sepanjang persembahan.
Ini kerana persembahan lawak pada masa dahulu lazimnya berlangsung lebih lama menuntut pelawak beraksi di hadapan penonton.
Bagi beliau, sesetengah pempengaruh mungkin tidak dapat menyajikan lawak yang menepati kehendak tersebut kerana tidak terbiasa dan terlatih untuk membuat persembahan di atas pentas.
Dalam pada itu, Haryani memuji dua pempengaruh muda iaitu Hafidz Rahman dan Zuhairi Idris kerana mampu melaksanakan persembahan lawak di pentas dengan baik.
“Pempengaruh hari ini mungkin tidak dapat membuat persembahan lawak secara langsung kerana mungkin tidak terlatih dalam bidang pementasan atau teater.
“Contohnya bagi Hafidz dan Zuhairi, mereka mempunyai latar belakang teater. Oleh sebab itu mereka berjaya membuat persembahan atau ‘show’ lawak secara langsung.
“Namun, kebanyakan pempengaruh hari ini lebih cenderung membuat lawak yang singkat dan padat melalui media sosial,” kata beliau.
“
Pelawak atau pempengaruh muda beraksi di hadapan kamera bagi penonton di dunia maya. Untuk menghiburkan orang melalui cara itu setiap hari memerlukan kemahiran tertentu dan itu merupakan satu cara yang sangat baharu. Zaman sudah berubah dan dunia komedi juga sudah berkembang. Kita lihat ada sahaja pelawak muda yang muncul dengan cara mereka sendiri dan kita harus sambut baik perkara itu.