Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesan terakhir ayah agar terus menyanyi bakar semangat

Jun 22, 2025 | 5:30 AM
Cakra Khan, konsert
Di sebalik kejayaan penyanyi terkenal, Cakra Khan, beliau masih dibayangi sekelumit penyesalan dek tidak sempat berada di sisi bapanya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir pada 21 Ogos 2020 akibat strok. Namun, kata-kata terakhir bapanya membentuk prinsip hidupnya kini. - Foto INSTAGRAM CAKRA KHAN

Bayang-bayang jejaka berambut gondrong dengan mengenakan jaket kulit berona hitam dalam video muzik lagu, Harus Terpisah, kekal menjadi kenangan indah yang membawa nama penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan, ke puncak populariti.

Lagu ‘galau’ sulungnya itu, yang menyentuh hati jutaan pendengar dengan kisah cinta menuju perpisahan, menjadi mercu tanda kerjayanya sejak dilancarkan pada 2012. 

Kejayaan lagu itu membawa Cakra, 33 tahun, meraih Anugerah Pendatang Baru Terbaik pada Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2013, selain dua lagi trofi bagi kategori Artis Solo Pria Pop Terbaik dan Pencipta Lagu Pop Terbaik.

Cakra, atau nama penuhnya, Cakra Konta Paryaman, dikenali sebagai seorang artis yang komited untuk terus berkembang dalam dunia seni, khususnya melalui peraduan adu bakat. 

Namun, perjalanan kerjayanya tidak semudah yang disangka. 

Mengimbas kenangan lalu, Cakra mengakui dirinya sebagai ‘raja pertandingan nyanyian’, yang pernah mengalami kegagalan berkali-kali.

“Dulu, kerana dari kampung, saya terpaksa meminjam kenderaan jiran untuk ke lokasi pertandingan di sekitar bandar. 

“Saya menyertai pertandingan di salah satu kota dan membawa peminat sendiri dalam van ke pertandingan nyanyian.

“Bapa saya merupakan orang kuat dalam perjalanan saya sebagai penyanyi. Beliaulah yang sering menemani saya untuk ke mana-mana pertandingan di Indonesia,” ceritanya sewaktu ditemui Berita Minggu (BM) di Hotel Royal Plaza on Scotts pada 15 Jun.

Ketika itu, beliau berada di Kota Singa untuk mempromosikan konsert solo sulungnya, Divine, anjuran Shiraz Projects, yang bakal menemui peminat pada 18 Julai di The Star Theatre.

Berbekalkan nasihat bapanya, Encik Herman, yang sentiasa mengingatkan supaya tidak berputus asa, Cakra akhirnya merebut peluang emas untuk mencuba nasib di peraduan realiti, America’s Got Talent (AGT), di Auditorium Sivik Pasadena sekitar California, Amerika Syarikat, pada 2023.

Walaupun pernah gagal dalam pertandingan realiti seperti Indonesian Idol, pengiktirafan daripada keempat-empat juri AGT, termasuk personaliti televisyen, Simon Cowell, menjadi detik bermakna dalam kerjayanya.

Biarpun tidak mara jauh dalam pertandingan tersebut, anak bongsu dalam keluarga dua beradik itu, melihat peluang ini sebagai batu loncatan untuk mengembangkan sayapnya ke pentas antarabangsa.

Bahkan, pelantun lagu, Mencari Cinta Sejati, itu tidak akan menolak tawaran sekiranya terdapat peluang untuk menebarkan sayap di pentas dunia sekali lagi.

Terbaru, Cakra melancarkan lagu duetnya bersama penyanyi diva Indonesia, Titi DJ, berjudul, Layar, ciptaan komposer Indonesia, Faizal Lubis. 

Lagu yang dijadikan runut bunyi (OST) bagi filem bertemakan muzikal, Siapa Dia, arahan Garin Nugroho itu, dirakam di Prague, Czechoslovakia, dengan iringan muzik orkestra gah.

“Proses rakaman ini pengalaman paling lama kerana kami menjalani tiga sesi bengkel untuk memastikan setiap nada dan penyampaian lirik selaras dengan emosi lagu. 

“Rakaman juga dilakukan di salah satu studio terbaik di Eropah, dengan disiplin masa yang sangat ketat.

“Ini suatu pengalaman baru bagi saya dan saya menghargai cara mereka bekerja,” tambah Cakra.

Beliau turut meluahkan rasa kagum terhadap Titi, mantan peserta ratu cantik, Miss World 1983, mewakili Indonesia, yang telah berkecimpung dalam industri muzik selama 40 tahun.

Beliau menyifatkan kerjasama ini sebagai ruang untuk saling bertukar idea, ilmu dan pengalaman bersama artis senior yang sudah lebih dahulu makan garam.

Sebagai penyanyi yang sentiasa bersikap terbuka, Cakra serasi bekerjasama dengan artis pelbagai generasi, daripada penyanyi mapan, Hetty Koes Endang, hingga penyanyi muda seperti Betrand Peto Putra Onsu serta Ameera Asya. 

Bagi penyanyi lagu Kekasih Bayangan itu, muzik tidak mengehadkan usia mahupun pengalaman.

“Dalam muzik, kita sentiasa belajar antara satu sama lain. Dalam pada itu, saya juga dapat meraih pengalaman baru yang dapat mematangkan diri sebagai penyanyi.

“Prinsip saya dari awal ialah sentiasa membuka diri untuk belajar selagi diberi peluang,” kata Cakra.

Di sebalik kejayaannya, Cakra masih dibayangi sekelumit penyesalan dek tidak sempat berada di sisi bapanya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada 21 Ogos 2020 akibat strok.

Cakra, pada ketika itu, sedang bersiap untuk membuat persembahan dan apabila dimaklumkan bahawa keadaan bapanya kritikal, beliau terus membatalkan persembahan dan bergegas ke hospital.

“Ketika masih kecil, bapa sering memberi dorongan untuk saya bekerja keras, meskipun ini membuatkan saya berasa terbeban dan ingin berehat seketika.

“Namun, apabila dewasa, saya semakin faham dan keadaan itu pun berubah sepenuhnya. 

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, kata-kata terakhir ayah kepada saya adalah, ‘Dik, teruslah bernyanyi’.

“Selepas bapa meninggal, saya tidak ambil masa berehat dan terus sibukkan diri dengan pekerjaan kerana ingin menjaga amanah itu, sekali gus mengubati kesedihan.

“Jadi, jika ada yang bertanya bila saya akan berhenti menyanyi, jawapannya hanya apabila saya tidak mampu lagi,” ujar Cakra, yang masih memegang amanah itu hingga hari ini.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, kata-kata terakhir ayah kepada saya adalah, ‘Dik, teruslah bernyanyi’. Selepas bapa meninggal, saya tidak ambil masa berehat dan terus sibukkan diri dengan pekerjaan kerana ingin menjaga amanah itu, sekali gus mengubati kesedihan. Jadi, jika ada yang bertanya bila saya akan berhenti menyanyi, jawapannya hanya apabila saya tidak mampu lagi.”
Cakra Khan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg