Cinta pertama pelakon muda Singapura, Salif Hardie, terhadap seni lakon terpaksa dilupakan seketika apabila dirinya bergelar seorang suami pada 2024.
Sebagai anak seni yang menetap di Kota Singa, Salif, 32 tahun, bersikap realistik untuk mencari pekerjaan tetap demi persiapan membina rumah tangga yang rukun dan keluarga yang mantap dari segi kewangan.
Setelah diterima bekerja sebagai eksekutif pemasaran dalam sektor jagaan kesihatan swasta, lulusan Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Lakonan daripada Maktab Seni Lasalle ini enggan fokusnya lari walau teruja menerima tawaran kembali ke kaca televisyen.
Namun, ‘lamaran’ penerbit dan pelakon, Wahyu Rahman, serta pengarah, Adi Yadoni, daripada syarikat penerbitan, Elements Pictures, untuk Salif menjayakan telefilem Hari Bapa, Belaian Terakhir, merupakan peluang keemasan yang tidak mampu ditolak.
Salif bersyukur dapat meluangkan masa bagi penggambaran telefilem yang turut dijayakan legenda seni teater Singapura, Nadiputra, dan tokoh korporat dan industri hiburan seberang Tambak, Datuk Khairul Anwar Salleh.
Membuka lembaran kisah bagaimana dirinya terlibat dalam Belaian Terakhir, Salif yang membawa watak sebagai Johan, peguam anak satu yang melalui proses getir perceraian, berkata:
“Tahun lalu, Kak Wahyu kirim pesanan kepada saya tentang tawaran berlakon. Tapi apakan daya? Saya baru bernikah dan banyak penyesuaian yang perlu dibuat dan difikirkan.
“Saya pun pada masa itu baru selesai menjayakan siri drama panjang, Sunny Side Up, di Channel 5.
“Apabila dah ada amanah sebagai suami, kita perlu fikir masak-masak tentang pekerjaan tetap untuk menyara hidup keluarga. Alhamdulillah, saya dah ada kerja tetap dalam bidang pemasaran.
“Bukan sahaja ia pengalaman baru, ia datang dengan bermacam cabaran tersendiri yang perlu saya atasi dan yakini dapat tempuhi.
“Namun, apabila Kak Wahyu hubungi saya lagi dengan jaminan bahawa beliau yakin saya dapat membawa watak peguam ini dengan berkesan sebab saya miliki kemahiran seni yang beliau inginkan, saya tak nak hampakan Kak Wahyu.
“Terharu saya sebab diberi kepercayaan oleh Adi Yadoni dan Kak Wahyu untuk menghidupkan watak Johan yang bergelut dengan bermacam emosi terpendam seorang lelaki yang diuji dengan perceraian.”
Beliau juga tidak mampu membiarkan peluang keemasan ini berlalu pergi kerana berada dalam set yang sama dengan Khairul Anwar dan Nadiputra, dengan harapan dapat mencedok pengalaman dan ilmu berharga daripada kededuanya.
“Lagi pun, watak Johan ini menarik sebab dia merupakan peguam muda dengan anak perempuan. Ini kali pertama saya diberi watak sebagai seorang bapa.
“Kita tak ada pengalaman jadi bapa tetapi inilah fasa selanjutnya dalam kerjaya lakonan saya, di mana saya dapat menghayati perjalanan hidup seorang bapa, yang biasanya memendam rasa dan payah berkongsi tentang perceraian atau kesulitan hidupnya, berbanding sebilangan wanita dengan masalah serupa,” jelas Salif.
Dengan Hari Bapa disambut pada 15 Jun, pelakon kacukan Australia-Melayu ini, terkenangkan hubungannya dengan bapanya yang kini berusia 70-an tahun.
Walaupun dahulu bertemu tetapi tidak banyak berkomunikasi, usia matang masing-masing membuatkan kesedaran timbul untuk tidak memutuskan hubungan antara anak dengan ayah.
Ibu bapanya bercerai lama dahulu ketika Salif berusia enam tahun.
“Saya dapat memahami keadaan anak yang dibesarkan oleh ibu atau bapa tunggal sebab saya pernah melaluinya.
“Saya dan dua adik saya dibesarkan ibu saya, seorang ibu tunggal, yang tidak pernah memperlekehkan amanahnya dan pastikan bagaimana sibuk pun tugasnya sebagai cef, wajib untuknya pulang dan masak buat anak-anaknya.
“Kami anak beranak selalu makan bersama. Ibu menyalur kasih sayangnya untuk kami menerusi masakan lazat yang disajikan. Ibu selalu ada untuk kami dan kami tak pernah tandus kasih sayang seorang ibu,” cerita Salif.
Mengenai bapanya yang terus betah di Singapura hingga hari ini, Salif berkata bapanya itu sentiasa memendam rasa tentang perceraian yang dilalui tetapi sebagai anak, dari gerak-gerinya, Salif dapat melihat bagaimana keretakan mahligai itu menjejas bapanya.
“Bapa saya tak pernah berbual tentang apa yang dilalui. Saya lihat kerapuhan jiwanya tetapi sekarang, Alhamdulillah, hubungan kami lebih akrab. Saya tak jangka kami serapat sekarang.
“Bapa saya lebih terbuka untuk bersembang dengan saya. Walaupun saya baru nikmati jalinan mesra bersama seorang bapa pada usia 30-an tahun, saya tetap bersyukur.
“Apa yang saya lalui, membesar tanpa kehadiran seorang ayah membuatkan saya bertekad bulat untuk sentiasa ada untuk anak saya, jika ada rezeki saya bergelar bapa kelak,” jelas Salif.
Beliau juga menghargai saat berharga membina mahligai bersama isterinya.
Bagi Salif, setiap kali melihat isterinya memasak di dapur, beliau akan hadir untuk sama-sama memasak. Ini memandangkan masing-masing mempunyai hidangan istimewa yang gemar disajikan untuk keluarga.
“Perkahwinan utuh kerana sumbangan dua pihak, suami dan isteri. Dapur adalah ruang untuk kami mula memupuk suasana kekeluargaan menerusi masakan.
“Suatu hari nanti, kalau kami ada anak, saya ingin miliki kemahiran dan keupayaan memasak untuk anak saya kalau ibunya sibuk bekerja atau tiada di rumah,” ujar Salif. - HARYANI ISMAIL
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg