Selama 20 tahun, pelakon Singapura, Al-Matin Yatim, melalui jerih payah mengasah bakat lakonannya dan membina namanya di pentas teater sebelum kemudian beralih ke kaca televisyen.
Beliau tidak pernah mengharapkan sebarang pencalonan mahupun kemenangan kerana nyala rasanya dalam bidang lakonan begitu menebal.
Bagaimanapun, apabila menerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik – Telefilem/Antologi, bagi lakonannya dalam Belaian untuk Pesta Perdana 2025, banyak yang bermain di fikirannya mengenai amanah sebagai seorang pelakon.
Pesaingnya dalam kategori ini termasuk pelakon mapan, Hasnul Rahmat dan Lut Ali, serta dua lagi rakan seni lain, Junaidi Sali dan Erwin Dawson.
Sewaktu ditemui Berita Harian (BH) di Teater Mediacorp baru-baru ini, Al-Matin, 36 tahun, melahirkan rasa rendah hatinya menang tatkala menerima pencalonan pertama dalam Pesta Perdana yang boleh dianggap sebagai Anugerah Emmy dunia penyiaran Melayu.
“Saya sebenarnya terharu selepas 20 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, saya dapat pencalonan pertama saya dan kemudian ada rezeki untuk menang.
“Saya anggap peranan dalam telefilem Belaian, terbitan Elements Pictures ini, menarik dan mencabar.
“Sebabnya, saya dapat kaitkan diri saya dengan watak yang digalas sebagai seorang ayah dan seorang suami seperti watak ini.
“Bezanya, watak Akim adalah bapa tunggal yang mengalami kemurungan selepas isterinya meninggal semasa kelahiran. Beliau kemudian perlu membesarkan anaknya seorang diri,” ceritanya.
Baginya, amanah membawa watak yang murung dan kehilangan benar-benar menyentak nalurinya sebagai ayah kepada tiga anak berusia antara enam dengan sembilan tahun.
“Saya dapat bayangkan bagaimana perasaan seorang suami apabila kehilangan isteri yang berjuang dalam melahirkan anak mereka.
“Lelaki sebegini yang memendam rasa sehingga menjejas emosinya memang tidak pernah saya temui.
“Tapi saya ada teman yang mengalami keguguran kandungannya. Kehilangan bayi dalam kandungan amat perit dan sulit ditelan,” kongsinya.
Al-Matin yang mula berlakon sejak di Politeknik Temasek (TP) dan bergiat aktif dalam Kelab Drama Melayu, banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja pementasan teater secara keseluruhan dan bukan hanya berlakon sahaja.
Sewaktu tamat pengajian, beliau memasang niat agar terus menceburi sektor seni pementasan dan amat berminat dengan dunia lakonan.
Pengalaman menarik buatnya ialah berlakon dalam ensembel bagi drama DramaBox, It Wont Be Too Long, yang memerlukannya membuat persembahan di tanah perkuburan Bukit Brown sekitar 5.30 pagi.
Pementasan ini juga merangkul banyak pencalonan dalam Anugerah Teater Life The Straits Times.
Pementasan antarabangsanya yang pertama di Braunschweig, Jerman, yang berjudul 10 Thousand Tigers arahan Ho Tzu Nyen, juga meninggalkan kesan.
Beliau berpeluang berlakon bersama barisan pelakon hebat dari Singapura dan Jepun termasuk gurunya sendiri.
Al-Matin juga pernah membawa watak kakitangan tentera laut dalam pementasan teater bersifat menyerap atau ‘immersive’, No Question of Surrender: Three Days Before The Fall.
Teater itu memberi ruang kepada penonton bertindak sebagai relawan yang baru menyertai tentera dan dibawa menjelajah kubu pertahanan bawah tanah yang sarat dengan khazanah.
Pementasan itu diselaraskan pertubuhan tidak mengaut untung, Global Cultural Alliance, yang mengambil alih pengurusan muzium perang Battlebox di Fort Canning.
“Sebenarnya, saya amat bangga melihat pelakon teater Melayu atau yang memiliki asas teater seperti Rafaat Hamzah, Sani Hussin, Husin Saaban dan Izzat Yusoff, berjaya sebagai pelakon televisyen.
“Saya berharap lebih ramai lagi bakat teater dalam kalangan anak Melayu dapat menyertai barisan pelakon untuk drama atau telefilem Melayu di kaca televisyen.
“Sejujurnya, kita tak banyak platform di Singapura untuk berkarya. Kalau dapat berlakon teater dan televisyen, ia merupakan satu nikmat,” kongsinya lagi.
Apabila ditanya mengenai perkembangan terkininya, Al-Matin menjelaskan beliau kini lebih tumpukan pada program lakonan yang dikendalikannya di sekolah menengah dan maktab rendah.
“Lakonan bukan sebarang kemahiran tetapi lebih kepada mengajar generasi muda kita agar belajar menjadi insan berhemah menerusi lakonan.
“Kita nak bentuk masyarakat terangkum. Jadi menerusi lakonan, banyak yang anak muda kita boleh terapkan dalam diri mereka sebagai asas,” katanya.
Dengan Mediacorp Suria menyambut ulang tahun ke-25 pada 2025, Al-Matin berharap lebih banyak rancangan yang membuka mata dan menyentuh jiwa penonton dapat dihasilkan.
“Saya akan terkenangkan zaman saya kecil dulu sebab saya membesar dengan tonton kartun dan kemudian rancangan hiburan, Kopi O Teh Tarik serta drama Jeritan Sepi.
“Tengok Kak Mastura Ahmad dan Abang Zamberi Abdul Patah berlakon sebagai Cik Leh yang kurang upaya merentap tangkai hati saya.
“Sebagai anak muda yang minatkan seni, saya begitu bersemangat dan raih inspirasi daripada penjiwaan kededuanya.
“Saya juga ingin berpesan kepada anak muda yang menceburi dunia lakonan agar terus menimba ilmu dan jangan mudah rasa kecewa.
“Kalau anda diberi kepercayaan berlakon di kaca televisyen, anda perlu timba ilmu dan lakukannya secara serius.
“Ilmu harus disertakan dengan amal, saling bersangkut-paut. Ada ilmu, tapi tak amalkan pun tak boleh.
“Begitu juga kalau kita amalkan sesuatu tanpa ilmu... akan cacatlah kerja seni yang kita usahakan,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg