Pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) bakal kembali ke Kuala Lumpur pada 2027 susulan sambutan menggalakkan selepas melabuhkan tirai secara rasmi pada 17 November.

Pengarah PGLM, Puan Sri Tiara Jacquelina, meluahkan rasa bersyukur apabila naskhah ikonik selepas dua dekad itu berjaya menarik minat bukan sahaja peminat setia, malah generasi baharu untuk mengenali kisah Nusantara.

“InsyaAllah pada 2027, kami ada perancangan untuk membawa pementasan ini semula ke Kuala Lumpur.

“Saya rasa rindu kerana sekelip mata sahaja segalanya berakhir, dan sangat bersyukur kerana selepas 20 tahun, pementasan PGLM menerima sambutan hangat daripada penonton yang rindu dengan karya ini, serta penonton baharu yang ghairah mencari kisah Puteri Gunung Ledang,” kata beliau, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengulas tentang kenangan indah sepanjang hampir tiga minggu pementasan itu berlangsung, Tiara, 58 tahun, mengakui peluang melihat anaknya, Mila Mohsin, 30 tahun, menggalas watak utama menjadi pengalaman paling istimewa buat dirinya.

“Secara peribadi, detik yang saya rasakan istimewa sudah tentu di saat melihat anak saya mengambil alih tugas sebagai salah seorang watak Puteri Gunung Ledang.

“Saya sebenarnya tak bersedia untuk detik itu.

“Apabila melihat beliau memakai kostum Puteri Gunung Ledang dan mengenakan solekan, beliau memang menjadi seorang puteri,” kongsi beliau, yang pernah melakonkan watak Puteri Gunung Ledang dalam pementasan pada 2006.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Setelah memukau penonton di Kuala Lumpur pada November, PGLM juga bakal menyeberangi tambak untuk menghidupkan pentas Teater Esplanade di Singapura sempena Pesta Raya 2027, dari 9 hingga 11 April 2027.

Maklumat mengenai pementasan tersebut diumumkan dalam satu hantaran melalui akaun Instagram Esplanade.

Berdasar tinjauan Berita Harian (BH) di laman web Esplanade pada 26 November, kesemua tiket PGLM di Singapura habis dijual sejak tempahan dibuka pada 4 November.

Pementasan itu juga menampilkan gubahan muzik komposer Singapura, Dick Lee, serta skrip tulisan Adlin Aman Ramli.

Sepanjang tiga hari di Singapura, PGLM akan menawarkan empat sesi persembahan dengan menyaksikan gandingan hangat penyanyi dan pelakon Malaysia.

Antaranya ialah penyanyi, Aisha Retno, 26 tahun, serta Mila Mohsin akan memainkan watak utama, Gusti Puteri Retno Dumilah, secara bergilir-gilir.

Selain itu, pelakon teater, Nadia Aqilah, 41 tahun, akan menggalas watak Bayan, pembantu dan pendamping setia Gusti Puteri Retno Dumilah, secara bergilir-gilir bersama penyanyi, Mimifly, atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 39 tahun.

Persembahan yang menggandingkan Aisha dan Nadia dijadualkan berlangsung pada 9 April (8 malam) dan 10 April (2.30 petang), manakala, persembahan Mila dan Mimifly pula akan berlangsung pada 10 April (8 malam) dan 11 April (2.30 petang).

Persembahan tersebut juga bakal menampilkan barisan pelakon termasuk Aqasha, atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, 44 tahun, dan Luqman Hafidz, 35 tahun.

Poster PGLM yang bakal dipentaskan di Teater Esplanade di sempena Pesta Raya 2027, dari 9 hingga 11 April 2027.
Poster PGLM yang bakal dipentaskan di Teater Esplanade di sempena Pesta Raya 2027, dari 9 hingga 11 April 2027. - Foto INSTAGRAM ESPLANADE SINGAPORE

PGLM juga bakal menyeberangi tambak untuk menghidupkan pentas Teater Esplanade di Singapura sempena Pesta Raya 2027, dari 9 hingga 11 April 2027.

Maklumat mengenai pementasan tersebut diumumkan dalam satu hantaran melalui akaun Instagram Esplanade.

Tiara turut memuji komitmen luar biasa barisan pelakon dan tenaga produksi yang disifatkan berjaya memberikan persembahan melebihi jangkaan.

“Saya sangat berpuas hati dengan kualiti yang ditunjukkan oleh kededua Puteri Gunung Ledang kerana mereka memberikan lebih daripada apa yang saya jangkakan.

“Semua pelakon lain juga sentiasa memberikan kualiti lakonan terbaik dengan komitmen 1,000 peratus, dan saya tak boleh meminta komitmen sebegitu rupa daripada mana-mana pelakon lain kerana mereka sangat hebat,” tambahnya.