Topik diikuti
Pergi ke BHkuAisha Retno yakin cedera di kaki sempat pulih sebelum pentas PGLM
Aisha Retno yakin cedera di kaki sempat pulih sebelum pentas PGLM
Di ambang pementasan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), penyanyi dan komposer, Aisha Retno, berdepan ujian apabila mengalami kecederaan pada kaki kanan selepas terjatuh di rumah baru-baru ini.
Namun, beliau yakin sempat pulih dan kembali cergas sebelum melangkah ke pentas.
Pementasan yang diarahkan pelakon dan pengarah tersohor, Puan Seri Tiara Jacquelina, 59 tahun, itu bakal diadakan antara 31 Oktober dengan 15 November di Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC), Sunway Square, Malaysia.
Bagaimanapun, tiket pementasan telah laris dijual dalam tempoh dua jam selepas jualan umum dibuka pada 21 Ogos, 8 malam.
Menerusi pementasan itu, Aisha, atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, 26 tahun, diberi kepercayaan menggalas watak utama sebagai Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah.
Menurutnya, kecederaan itu tidak serius.
Namun begitu, kekurangan masa untuk berehat dan mendapatkan pemulihan mencukupi menyebabkan kesakitan masih dirasai ketika berjalan.
“Kaki saya tiada apa yang serius.
“Mungkin apabila saya berjalan, ia nampak serius, tetapi saya hanya terjatuh dan mungkin disebabkan tiada masa mencukupi untuk pulih, keadaan itu menjadi sedikit teruk.
“Bagaimanapun, setakat ini keadaan saya okey dan saya berada dalam jagaan yang baik.
“Saya ada mama, keluarga dan orang sekeliling yang sangat mengambil berat tentang keadaan saya,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui BHM pada majlis penyampaian Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Selangor (SITC) pada 18 Oktober.
Aisha melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Selebriti Viral Terhangat pada AMT 2026.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sutera, itu dilihat berjalan dengan perlahan dan agak sukar menaiki tangga sejurus diumumkan sebagai pemenang kategori tersebut.
Aisha menambah kecederaan itu tidak dijangka menjejas komitmennya dalam pementasan PGLM memandangkan masih ada tempoh untuk menjalani pemulihan sebelum teater berkenaan dipentaskan.
“Bukan terjatuh ketika latihan teater, tetapi saya mula perasan sakit ketika latihan.
“Tadi pun (18 Okt) ketika membuat persembahan lagu Pelesit Kota (nyanyian asal kumpulan Search), saya masih terasa sakit.
“Untuk pementasan PGLM, jika dipermudahkan, kita masih ada seminggu lagi untuk tempoh pemulihan. Insya-Allah… sempat,” tambahnya, yang membuat persembahan itu di AMT 2026.
Dalam pada itu, Aisha mengakui tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya.
Penyanyi lagu, Tak Adil, itu menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai rezeki yang menyuntik semangatnya agar terus berkarya.
“Alhamdulilah atas rezeki ini.
“Insya-Allah, saya akan buat lebih baik lagi dan tidak sabar untuk menghasilkan lebih banyak muzik,” ujar Aisha.