Pelakon dan usahawan, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, rasa sangat lega dan bersyukur dengan kemenangan kes saman fitnah kerana ia membabitkan maruahnya, rakan kongsi niaga dan perniagaan yang beliau kendalikan.
Puteri Sarah, 40 tahun, mengulas demikian apabila ditanya mengenai perasaannya selepas menang kes saman fitnah terhadap bekas pekerjanya iaitu Nazatul Nazira Zainol Abidin.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mengarahkan bekas pekerja Puteri Sarah itu membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 ($45,350) kerana hantaran fitnah dalam ‘platform stories’ di Instagram (IG) dan WhatsApp dua tahun lalu (2023).
Puteri Sarah berterima kasih kepada pihak terbabit kerana kes yang berlaku pada 2023 itu akhirnya selesai.
“Saya berasa lega sebab benda ini berlaku pada 2023 dan saya mula ‘take action’ (mengambil tindakan) pada 2024 serta masuk mahkamah pada 2025 dan akhirnya berjaya diselesaikan pada tahun ini (2025).
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan ahli keluarga serta orang terdekat yang sentiasa di sisi dan tidak pernah lupa berdoa untuk saya, sepanjang kes ini,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai kes saman fitnah itu lagi, kata Puteri Sarah, beliau berharap ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya bertanggungjawab dalam menggunakan medium media sosial.
Selain ganti rugi, Nazatul juga diperintahkan mahkamah untuk membayar kos perbicaraan sebanyak RM30,000 kepada Puteri Sarah selain faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Mahkamah juga memerintahkan Nazatul membuat satu aku janji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama, injuksi menghalang penerbitan lanjut kenyataan fitnah dan perintah kepada defendan untuk membuat permohonan maaf bertulis serta menarik balik kenyataan itu di IG dan WhatsApp dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.
Puteri Sarah diwakili empat peguam menerusi Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co iaitu Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, Azmi Tan Sri Dr Mohd Rais, Zulkifli Che Yong dan Mohamad Ikmal Ibrahim dalam kes itu.
Menerusi tuntutan kenyataan fitnah dikongsinya di IG terdapat lima bukti kenyataan dibuat, antaranya Puteri Sarah dituduh mengambil dadah, bodoh sombong, menyara atau membela individu yang dipercayai bernama Andy dengan menganggapnya sebagai rakan kongsi dan seorang ketua yang suka menganiaya pekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg