Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rae Saleha jayakan watak ‘Aisyah’ dengan pengalaman hidup

Bawa watak penolong ketua jurumasak dalam drama ‘Korban’ (Musim Kedua)
Jun 5, 2025 | 5:30 AM
Rae Saleha, Korban, Mediacorp Suria
Pelakon dan penyanyi, Rae Saleha, tidak lepaskan peluang melalui penggambaran di New Zealand, demi menjayakan watak Aisyah dalam drama bersiri, ‘Korban’ (Musim Kedua). - Foto MEDIACORP

Bayangkan anda sedang berdiri di tengah-tengah panorama gunung-ganang dengan kabus awan berlatarkan langit biru yang cerah sambil menikmati kecantikan alam semesta yang menyejukkan pandangan mata.

Pengalaman yang bagai bulan jatuh ke riba itu, tidak dilepaskan oleh pelakon dan penyanyi Singapura, Rae Saleha, 32 tahun, ketika diberi peluang untuk menghidupkan semula watak Aisyah, dalam drama bersiri, Korban (Musim Kedua) yang berlangsung selama enam episod.

Kali ini, penggambaran dilakukan sepenuhnya di New Zealand, dengan pemandangan yang menakjubkan dan tidak tergambar dengan kata-kata.

Dalam drama bersiri Korban terbitan Monochromatic Pictures yang mula disiarkan pada 2021, Rae membawakan watak Aisyah, ‘sous-chef’ atau penolong ketua jurumasak yang tersepit di persimpangan dilema selepas kematian ibunya, Tania (lakonan Nuraliza Osman).

Ketika itu, kemunculannya dalam drama tersebut merupakan percubaan sulungnya dalam seni lakon secara profesional.

Dalam Korban (Musim Kedua) pula yang mula ditayangkan pada 29 Mei di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi mewatch, setiap Khamis bermula 9.30 malam, Aisyah berhijrah ke New Zealand untuk mencari rahsia di sebalik hidangan terbaiknya. 

Namun, apabila secara tiba-tiba kehilangan deria rasa, Aisyah terpaksa menghadapi persoalan tentang jati diri, kepercayaan serta akar budaya. 

Bagaimanapun, bagi Rae, kisah Aisyah dalam Korban (Musim Kedua) lebih dekat di hati kerana ia mencerminkan perasaan dan pengalaman yang serupa dengannya.

“Sebelum penggambaran Korban (Musim Kedua) berlaku, saya bertemu dengan pengarah, Jeevan Nathan dan penerbit eksekutif, Audrey Anthoney.

“Mereka menanyakan khabar saya. Waktu itu, saya melakukan kerja korporat, mengimbangi pelbagai peranan yang berbeza. 

“Saya juga rasa gaji yang diberi tidak setimpal dengan apa yang telah saya lakukan, sehingga menjejaskan kesihatan.

“Situasi ini juga digambarkan melalui watak Aisyah yang sedang bergelut dengan kehilangan jati diri sehingga menjauhkan diri daripada keluarga dan teman.

“Kesan dari ‘burnout’ (lesu upaya) yang dirasakannya turut menjejas hubungan dengan tunangnya, Ari, yang dilakonkan pelakon New Zealand, Evander Brown,” kata Rae kepada Berita Harian (BH) di Mediacorp Campus, semasa sidang media pelancaran drama Korban (Musim Kedua) pada 27 Mei.

Sidang media itu turut dihadiri oleh barisan pelakon terlibat seperti, Brown, Nurul Aini, Datuk Hans Isaac dan Aaron Khaled.

Turut menjayakan drama tersebut ialah pelakon Malaysia, Aiman Hakim, yang tidak dapat menghadiri sidang media pelancaran drama Korban (Musim Kedua) di Mediacorp Campus disebabkan urusan keluarga.

Bercerita mengenai kehilangan deria rasa yang dialami watak Aisyah, Rae berkata bahawa penonton boleh melihat peristiwa tersebut sebagai metafora bagi pengalaman kehilangan sesuatu yang amat penting dalam hidup seseorang.

Turut berkongsi pengalaman melalui rasa kehilangan, Rae sendiri turut menghadapi kehilangan sebahagian pendengaran di telinga kirinya serta neuralgia trigeminal – sakit teruk, singkat dan datang dari semasa ke semasa pada pembahagian saraf dan kadang kala hanya satu atau dua bahagian sahaja yang terlibat.

Walau bagaimanapun, beliau kekal dengan semangat positifnya dan mengharungi cabaran yang mendatang dengan hati yang lapang.

Dalam perkembangan lain, Rae turut berpuas hati kerana dapat bersemuka dengan Brown dalam Korban (Musim Kedua), memandangkan sebelum ini mereka hanya berlakon dan berkomunikasi secara dalam talian dek pandemik Covid-19.

Bekerjasama dengan Brown, yang juga berketurunan Maori, telah membuka mata Rae untuk mengenali lebih dekat budaya mereka yang katanya, memiliki persamaan dengan budaya Melayu.

“Semasa penggambaran di New Zealand, saya mendapati orang di sana memiliki banyak persamaan dengan masyarakat Melayu, baik dari segi wajah, gaya hidup, mahupun adab mereka.

“Mereka sangat menghormati orang lain, terutama golongan tua.

“Namun, sebagai wanita Muslim, terdapat batasan tertentu, seperti tidak boleh bersentuhan dalam lakonan.

“Saya juga sempat berkongsi dengan beliau tentang budaya dan amalan yang kita lakukan sebagai seorang Muslim,” ulas Rae.

Terdahulu, Korban membawa rezeki buatnya kerana watak yang dibawakan sebagai cef dengan hubungan cinta jarak jauh dan pelbagai isu pengorbanan itu menjadikannya finalis bagi kategori Persembahan Terbaik Pelakon Wanita dalam Pesta TV serta Filem New York serta Persembahan Terbaik Pelakon Wanita Utama (Kategori Digital) dalam Anugerah Televisyen Asia.

Rae, bahkan dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik dalam Festival Web New Zealand dalam kategori naratif antarabangsa.

Drama Korban turut memenangi kategori Videografi Terbaik – Drama pada Pesta Perdana 2023.

Korban (Musim Kedua) kini boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, aplikasi mewatch dan Mediacorp Drama di laman Youtube, setiap Khamis bermula 9.30 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg