JAKARTA: Selama ini, ramai yang tertanya-tanya mengenai hubungan penyanyi jelita dan tersohor Indonesia, Raisa Andriana, dan suaminya, pengacara dan pelakon, Hamish Daud - apakah benar ia sudah berantakan?
Tanda tanya mengenai status rumah tangga mereka yang mempunyai jarak usia 10 tahun itu terlerai apabila Raisa dilaporkan sah memfailkan perceraian terhadap suaminya itu.
Laman Kompas melaporkan, perkara berkenaan disahkan oleh wakil Pejabat Agama (PA) Jakarta Selatan, Abid M H, yang memaklumkan pihaknya sudah menerima permohonan rasmi daripada pihak Raisa.
“Ya, benar. Nama yang saudara sebut itu memang sudah ada (permohonan cerai),” kata Abid seperti dilapor Kompas.
Menurut Abid, permohonan cerai itu didaftarkan pada 22 Oktober lalu (2025) dan kini sedang dalam proses penjadualan untuk sidang pertama, yang dikatakan bakal berlangsung pada 3 November.
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan selebriti itu mula diperkatakan apabila Hamish memadamkan hantaran ulang tahun perkahwinan kelapan mereka yang dimuat naik di media sosial pada awal September lalu.
Sebelum ini, pelakon kacak berkenaan berkongsi video kolaj memaparkan momen romantik bersama Raisa sepanjang lapan tahun bersama, disertai kapsyen ringkas berbunyi “Anniversary 8 years” yang dimuat naik pada 3 September lalu.
Namun, hantaran berkenaan sudah dipadam, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 September 2017 menerusi upacara akad nikah yang diadakan di Ayana Midplaza, Jakarta, dengan mengangkat adat Sunda sesuai dengan latar budaya keluarga Raisa.
Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zalina Raine Wyllie, enam tahun.
Apabila berita perpisahan mereka bertiup kencang, ramai yang menyatakan kemungkinan segala yang terpendam di hati Raisa dilahirkan dalam album terkininya, Ambivert.
Beberapa lagu seperti Berpindah Hati, Pengganti Aku, Si Paling Mahir dan Tetap Bukan Kamu, bagaikan menggambarkan situasi hubungan cinta mereka yang terlerai.
Sebelum ini, muncul cerita yang tidak dapat disahkan kesahihannya seperti perselingkuhan Hamish, usahaniaga Hamish yang terjejas dan dakwaan kakitangannya tidak dibayar gaji.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg