Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keserasian bawa rezeki, cetus fenomena ‘Fattmira’ dan ‘Afisa’

Meski artis miliki jenama kukuh, gandingan dengan rakan seni tambah daya tarikan dalam dunia hiburan
Sep 15, 2025 | 5:30 AM
Fattah Amin, Amira Othman, keserasian
Rezeki Amira Othman (kiri) yang telah bertapak dalam dunia seni lebih 10 tahun kian bertambah atas usaha dan kesabarannya, apatah lagi selepas memperoleh keserasian dan temui jodoh dengan pelakon terkenal, Fattah Amin. - Foto INSTAGRAM CARTA POP

Sekitar sembilan tahun lalu pada lewat 2016, saya yang kebetulan membuat liputan peraduan realiti, Gegar Vaganza, meluangkan masa hampir dua jam di Hotel Parkroyal Kuala Lumpur untuk mewawancara Amira Othman, bintang yang namanya kian disebut-sebut buat masa ini.

Pada masa itu, Amira, pemenang ketiga peraduan realiti, Akademi Fantasia 2013, masih muda belia dan berusia 23 tahun.

Walau masih baru dalam industri seni, orang Singapura sudah mengenali beliau sebagai penyanyi lagu, Hati-Hati dan gandingan pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, dalam drama, Abang Bomba I Love You.

Kini, tidak dapat disangkal lagi, selepas 12 tahun melayari hidup sebagai anak seni, rezeki Amira, 32 tahun, mencurah-curah.

Beliau merupakan antara bintang yang disifatkan dalam fasa ‘saham tengah naik’.

Lebih-lebih lagi selepas beliau baru sahaja bergelar pengantin baru atau ‘Mrs Fattah Amin’ (isteri pelakon terkenal, Fattah Amin) pada 14 September – memang nama Amira, sedang ‘trending’.

Begitu juga dengan fenomena Fattmira (gabungan nama mereka).

Kalau dahulu kita lihat ada pasang surut kerjayanya, bergantung pada populariti lagu yang dijana, masih ramai yang belum cukup mengenalinya.

Saya terbaca di beberapa hantaran Instagram peminat Fattah, 35 tahun, yang teruja ingin mengenali Amira, anak seni tinggi lampai kelahiran Skudai, Johor ini, lebih dekat lagi.

“Sekali pandang, dari minat Fattah, tahu-tahu saya boleh lebih minat Amira pula sekarang ini kerana tutur katanya yang lemah lembut, jawapannya yang matang, batas agama dijaga dan ketenangannya dalam apa jua keadaan.

“Menyejukkan pandangan mata dan relaks aje Amira ni. Kerendahan hatinya boleh dirasakan,” jelas warga siber bernama Nur, memuji pelantun lagu, Bila Nak Kahwin? dan Dalam Sujudku (runut bunyi drama Dia Bukan Syurga) itu.

Inilah namanya rezeki yang kerapkali tidak diketahui sudah diatur Allah dengan begitu indah.

Seperti dalam hal Amira, semuanya berkenaan dengan jodoh dan kemajuan kerjayanya menampakkan kemajuan pesat sejak beberapa bulan ini.

Siapa duga ‘duda hot’, Fattah yang dikenali dengan sikap ‘gentleman’ dan berhemah beralih daripada rakan seni yang muncul dalam klip video, Bila Nak Kahwin? dan beberapa kandungan produk bersama, tahu-tahu menjadi suami Amira?

‘Cinta kilat’ boleh menyambar tiba-tiba. Orang kata, kalau dah tertulis memang Fattah jodoh Amira dan mereka berdua memang ada keserasian, maka dipermudahkan segala urusan ke arah kebaikan.

Saya tidak dapat nafikan Amira, lulusan muzik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini memiliki pakej rupa, suara, budi bahasa dan daya intelek yang baik.

Satu perkara yang beliau tekankan dalam beberapa wawancara saya dengannya ialah kepentingan memiliki kesabaran sebab hidup memang ada pasang surutnya.

Kali pertama bertemu, saya sudah dapat rasakan beliau boleh menjadi aset dunia seni kerana sikapnya yang ‘cool’ dan bintang bukan calang-calang kerana kebijaksanaannya mengemudi diri dan menjawab soalan wartawan dengan keikhlasan.

Ada teman bertanya, “Mengapa sebelum ini kita tengok kerjaya Amira macam biasa-biasa sahaja?” tetapi alih-alih apabila digandingkan dengan Fattah, nama Amira mula menjadi sebutan?”

Bagi saya, ini tidak bermakna Amira menumpang populariti Fattah tetapi lebih kerana keserasian yang membawa jaya.

Dalam dunia hiburan, keserasian itu penting, baik dalam hal nyanyian, lakonan atau penjanaan kandungan media sosial.

Sebagai suami isteri, saya kira banyak yang boleh Fattah dan Amira salurkan secara bersama, baik dalam perniagaan, kandungan motivasi, lakonan atau pertemuan ramah mesra dengan peminat.

Ramai pasangan suami isteri dalam kalangan selebriti yang seiring sejalan memajukan perniagaan atau comel kalau kelihatan bersama dalam mengusahakan projek amal.

Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya; Aeril Zafrel dan Wawa Zainal; Datuk Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani; Syamel dan Ernie Zakri – adalah antara pasangan yang sentiasa kelihatan ‘satu kepala’ di media sosial.

Kalau kita tinjau pula gandingan bukan suami isteri atau kekasih dalam dunia hiburan, kita tetap rasa keserasian memainkan peranan penting dalam menarik pengikut, lantas memudahkan juga promosi lagu, drama atau produk.

Mengapakah di Indonesia wujud fenomena ‘Afisa’ (penyanyi Afgan dan Raisa), sedangkan Raisa sudah berumah tangga dengan pengacara dan ikon sekitaran, Hamish Daud, sementara Afgan masih membujang?

Setiap gandingan duet mereka dari dahulu sampai sekarang yang dimuatnaikkan ke TikTok akan pasti menjadi tular kerana wujud apa yang disebut sebagai ‘shipping’ (menginginkan hubungan istimewa terjadi antara dua insan seni yang sebenarnya hanya kawan sahaja) dalam kalangan peminat.

Wawancara mereka di akaun YouTube Cosmopolitan Indonesia baru-baru ini turut menunjukkan keserasian bekas rakan sekolah menengah ini yang tidak dibuat-buat kerana mereka saling mengagumi dan persis adik-beradik.

Afgan dan Raisa sebagai bintang ‘papan atas’ di Indonesia memang mampu berdiri sebagai jenama besar secara berasingan tetapi apabila vokal emas mereka digabungkan, ia bak penemuan harta yang tidak dapat disangkal nilainya.

Baru-baru ini, Raisa dan Afgan muncul di pentas Pestapora 2025, acara muzik ‘live’ di JIExpo Kemayoran di Jakarta Pusat, dan mengembalikan nostalgia lagu hit mereka, Percayalah.

Mereka turut mendendangkan lagu duet Raisa dan Rony Parulian, Tetap Bukan Kamu, dengan ada peminat ‘Afisa’ ini begitu menginginkan versi duet Raisa dan Afgan dimuatnaikkan ke wadah penstriman Spotify.

Daripada jumlah video TikTok dan YouTube yang dimuatnaikkan peminat, terasa fenomena mereka belum pudar lagi, sepertimana ramai yang seronok mendengar paduan suara Broery Marantika dan Dewi Yull hingga ke hari ini.

Lantaran itu, keserasian itu mustahak dalam dunia hiburan di mana-mana. Kalau serasi, maka bertambahlah rezeki bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg