Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raja Ema: Anak-anak tidak rapat dengan Sheqal tapi bukan anak derhaka

Jun 13, 2025 | 9:44 PM
Raja Ema enggan anak-anak dicap derhaka hanya kerana tidak melawat bapa mereka, Sheqal, yang dari dahulu tidak begitu dikenali bahkan tidak rapat dengan mereka.
Raja Ema enggan anak-anak dicap derhaka hanya kerana tidak melawat bapa mereka, Sheqal, yang dari dahulu tidak begitu dikenali bahkan tidak rapat dengan mereka. - Foto fail

Bintang popular era 1980-an, Raja Ema Raja Ibrahim, 56 tahun, mendakwa tidak pernah menghalang dua anaknya bertemu bapa mereka, Sheqal, yang sedang ditidurkan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Dakwa Raja Ema, setakat ini, tidak ada wakil daripada keluarga bekas suami menghubunginya bagi meminta keizinan beliau membenarkan anak-anak menziarahi Sheqal.

Raja Ema, bagaimanapun, enggan menyalahkan mana-mana pihak berhubung isu berkenaan, cuma mendakwa terkejut apabila timbul laporan dalam media yang antara lain mengharapkan anak-anak menjenguk bapa mereka.

“Saya tidak pernah halang atau hasut anak-anak… Tidak. Banyak lagi kerja lain yang kami hendak buat dan fikirkan. Cuma, saya agak terkilan apabila timbul kenyataan sebegitu. Lagipun, kami sudah lupakan apa yang berlaku. Kami selesa dengan cara hidup kami bertiga,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

“Orang sebelah sana pun kena faham, saya tak besarkan anak sendirian. Sebaliknya, anak dibesarkan dengan bantuan ibu saudara, Sukarni Jaafar dan adik, Raja Izat. Jadi, apa sahaja keputusan yang hendak dibuat, perlu dapatkan persetujuan mereka.

“Saya masih tunggu keluarga pihak sana, iaitu adik-beradik Sheqal untuk hubungi kami. Jika tidak selesa dengan saya, mungkin boleh berhubung dengan ibu saudara atau adik saya bagi meminta izin membenarkan anak-anak ke sana.

“Mereka kena faham anak sulung saya kurang sihat. Jadi, saya sudah minta Raja Izat bersedia sekiranya pihak sana sudah hubungi. Saya takkan pergi kerana kami sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi,” katanya.

Raja Ema memohon orang ramai supaya tidak menyalahkan anak-anaknya, iaitu Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah. Beliau turut menyangkal cahaya matanya sebagai anak derhaka apabila tidak mengambil tahu keadaan bapa mereka.

“Budak-budak ini membesar tanpa figura seorang ayah. Jadi, mungkin pada mereka, kehidupan sekarang iaitu kami bertiga adalah normal. Mereka tidak tahu apa fungsi ayah.

“Pada mereka, Sheqal adalah orang asing kerana tak pernah rapat. Tetapi mereka tidak pernah membenci bapa mereka, cuma tak kenal.

“Jadi, saya harap jangan salahkan anak-anak. Saya tak setujulah mereka dipersalahkan. Saya juga tidak setuju mereka dituduh anak derhaka sebab mereka bukan begitu,” katanya.

Sebelum ini, isteri Sheqal, Cik Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, dilaporkan mengharapkan kedua-dua anak suami bersama Raja Ema melawat ayah mereka semasa hayatnya masih ada.

Menurut Cik Normah, beliau tidak pernah melihat mereka bertemu sejak berkahwin dengan penyanyi terbabit, kira-kira 25 tahun lalu.

Cik Normah dilapor amat berharap Sheqal bertemu anak-anak atas faktor keadaan kesihatan suaminya itu sekarang.

Raja Ema dan Sheqal berkahwin pada 1993 dan dikurniakan Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah. Pasangan ini bercerai pada 1999.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg