Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rezeki tiba tanpa diduga

Asmidar, penyanyi dan pelakon drama bintangi filem pula, ‘6 Jilake’
Apr 27, 2025 | 5:30 AM
Asmidar, pelako, penyanyi
Asmidar tidak pernah membiarkan kekecewaan menenggelamkan bakat dan potensinya untuk terus bersinar dalam bidang seni suara dan lakonan. - Foto WAKE THE BABY

Kerana bidang nyanyian sudah mendarah daging dalam dirinya selama 25 tahun, penyanyi bersuara emas, Asmidar, tidak pernah diasak dengan keinginan mengundurkan diri daripada dunia seni suara walaupun makan masa untuknya benar-benar dikenali ramai.

Juara peraduan realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar, 39 tahun, atau nama sebenarnya, Norhasmidar Ahmad, yang mula menyanyi lagu tradisional pada usia 12 tahun, malahan, mendapat sokongan ibu bapa dan adik-beradiknya, yang kesemuanya boleh menyanyi, untuk teruskan kerjaya seni tanpa ada rasa mudah mengalah.

Malahan, berkat tekad kuatnya bertahan dalam industri seni Malaysia yang saban hari ada artis baru, Asmidar berpeluang membina kerjaya dalam bidang lakonan juga.

Dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM) menerusi Zoom pada 18 April lalu, beliau teruja kerana diberi kepercayaan membintangi filem pertamanya yang berunsurkan aksi komedi dan sejarah, 6 Jilake, arahan pengarah prolifik, Aziz M. Osman.

“Saya yakin dengan rezeki yang Allah dah tetapkan untuk saya. Setiap hari saya tetap bersyukur kerana semangat saya memang tidak pudar kerana adik-beradik dan ibu bapa saya akan selalu memberi dorongan untuk saya berkarya.

“Saya dah suka seni sejak kecil. Jadi apa-apa pun, mesti nak teruskan dan buat kerja seni juga.

“Selepas sekian lama berlakon drama, ada pula rezeki jayakan filem 6 Jilake. Saya jadi anak ketua kampung bernama Kaswi.

“Dapat pula pengarah baik hati yang suka beri tunjuk ajar di set macam Abang Aziz. Saya lihat beliau sama macam komposer, Abang Ajai, yang berikan saya lagu hit atau orang kata lagu keramat, Biar Sampai Ke Bintang.

“Banyak kata-kata nasihat yang orang-orang hebat ini beri kepada saya untuk asah bakat saya. Mereka senang mengasuh dan suka berkongsi. Itulah yang saya suka tentang rezeki berjumpa dengan Abang Ajai pada 2011 dan Abang Aziz untuk filem 6 Jilake,” ujarnya.

Filem 6 Jilake yang dibintangi Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek dan Jalil Hamid itu diterbitkan dengan bajet RM2.5 juta ($745,259) dan ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 24 April.

Ia mengisahkan tentang keadaan pada abad ke-18, di mana Syarikat Hindia Timur Belanda ingin menguasai semua lombong timah di Perak bagi mengatasi kuasa asing lain.

Mereka mengupah sekumpulan penjahat yang dikenali sebagai ‘6 Jilake’ untuk mengawasi kawasan perlombongan, termasuk Kampung Ketayap.

Walau bagaimanapun, kampung itu tetap dilindungi seorang pahlawan bernama Kuping yang menentang penguasaan mereka.

Maka, ‘6 Jilake’ ditugaskan menawan kampung itu, yang dipercayai menyimpan harta karun berharga.

Asmidar dihubungi BM sempena penglibatannya dalam Konsert ByAjai & Mega Friends yang berlangsung di The Star Theatre pada 10 Mei ini.

Konsert tersebut turut dijayakan Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip dan penyanyi undangan, Thalita, yang merupakan anak pelawak, Shuib, dan Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin.

Menurut Ajai yang ada dalam sesi Zoom bersama Asmidar, setiap bintang mempunyai keistimewaan tersendiri, sama ada cepat atau lambat mereka dikenali.

Namun, beliau lihat semangat Asmidar yang tidak pernah pudar dan sentiasa rajin menyertai pelbagai pertandingan di Malaysia.

“Mana-mana peraduan besar yang ada, saya lihat Asmidar bertanding. Suaranya memang lunak dan beliau serba boleh, aset yang ada bagi seseorang yang terlatih dengan muzik tradisional.

“Yang bagusnya, macam Nadeera yang kini namanya tengah ‘naik’, semangat nak terus berjuang tidak terhakis walau apa pun rintangan,” kata Ajai, atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Maas, 50 tahun, mengenai Asmidar.

Menurutnya, lagu yang dicipta dan memperkenalkan Asmidar dengan lebih menyerlah lagi, iaitu Biar Sampai Ke Bintang, itu dicipta sesuai dengan tonasi suara penyanyi itu.

Kata Ajai: “Saya tak pernah beri artis lagu yang dah ada dalam pustaka lagu saya. Saya perlu tahu warna suaranya bagaimana. Baru boleh bikin lagu sesuai untuknya, yang saya anggap boleh meledak di pasaran.

“Kita cuba sebaik mungkin. Selebihnya, kita serah pada Tuhan. Mudah-mudahan, lagu ini ‘meletup’.”

Ajai juga berkata beliau lebih mengenali ibu bapa Asmidar terlebih dahulu kerana mereka merupakan usahawan kedai makan yang cekal.

Menyingkap perjalanan seninya, Asmidar berkata pada usia 12 tahun, beliau diminta penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rosli Derani, untuk merakam sebuah lagu irama tradisional untuk program stesen RIMA RTM (kini dikenali sebagai stesen radio Klasik FM), Rentak 50.

“Saya nyanyikan lagu Jasa Pak Tani, yang pernah dipopularkan Kamariah Noor, seorang penyanyi legenda dalam irama tradisional,” katanya, yang merupakan naib juara Bintang RTM 2001, pada usia 14 tahun.

Pada masa itu, banyak nama besar yang bertanding seperti Misha Omar dan Farawahida.

Asmidar tidak tersinggung kalau ada yang menganggapnya artis ‘sendu’ sebab ada banyak lagu yang dirakam untuk drama tetapi populariti lagu berkenaan hanya untuk tempoh drama itu disiarkan.

“Kalau dah namanya rezeki, Allah tahu bila ia menjadi milik kita lambat-laun,” jelasnya.

Tiket Konsert ByAjai & Mega Friends pada 10 Mei di The Star Theatre, yang berharga antara $98 dengan $699 boleh ditempah menerusi laman Sistic (www.sistic.com.sg).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg