Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nadeera bagai mimpi 2 lagu ‘meletup’

Apr 27, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi Malaysia, Nadeera
Penyanyi Malaysia, Nadeera, kongsi detik pahit manis perjalanan menempa nama dalam industri muzik Malaysia sejak 2012, di Hotel Grand Pacific di Victoria Street. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam dunia hiburan, ada kalanya penyanyi atau penghibur mengambil masa lama untuk ‘naik’ dan popular.

Namun, begitulah asam garam kehidupan yang perlu dilalui, khususnya bagi penyanyi Malaysia, Nadeera, atau nama sebenarnya, Fatin Nadeera Zaini, dalam dunia seni hiburan.

Berbekalkan semangat wajanya, bakat Nadeera dalam seni suara semakin dikesan, lebih-lebih lagi setelah dinobatkan naib juara Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL) bagi lagu Bukan Lagi Kita, hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh.

Kemenangan yang diraih ini bukanlah semata-mata kebetulan, tetapi kerana hasil kerja keras dan meyakini rezeki tidak pernah salah alamat.

Itulah antara perkara yang dikongsikan Nadeera, 31 tahun, dalam pertemuan bersama Berita Minggu (BM) pada 16 April di Hotel Grand Pacific di Victoria Street.

Lebih daripada itu, kemenangan ini turut menyentuh dan membekas di hati Nadeera, setelah berkecimpung dalam industri hiburan sejak 2012, melalui peraduan nyanyian realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa, bagi siaran TV3.

“AJL adalah anugerah yang terlalu lama saya inginkan dan terpalit dalam setiap doa saya panjatkan. 

“Alhamdulillah, Allah makbulkan. Saya rasa sangat terharu. 

“Apabila masuk AJL, itu satu hal. Kemudian dinobatkan pula sebagai naib juara, saya sangat gembira sehingga tidak mampu gambarkan dengan kata-kata,” kata juara Big Stage (Musim 5) itu dengan penuh syukur.

Nadeera turut menceritakan sebelum ini, beliau seakan berserah kepada takdir setelah lagu-lagu yang dikeluarkan kurang meraih sambutan.

Tanpa diduga, lagu Bukan Lagi Kita, mendapat sambutan hangat dalam kalangan penggemar dan pencinta muzik.

Video muzik lagu tersebut meraih 11 juta tontonan di laman YouTube sekali gus menjana penstriman 8.4 juta di laman Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.

“Sejujurnya, saya sudah sampai satu tahap, bukan hampir berputus asa tetapi pasrah, kerana saya ada 12 lagu sebelum ini.

“Saya juga mengeluarkan lagu berjudul Emas selepas memenangi Big Stage, tapi, masih belum mendapatkan sambutan juga. Mungkin sekadar tahu sahaja dalam kalangan peminat.

“Kemudian, saya mendapat tawaran untuk berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer Malaysia, Hael Husaini, bagi lagu Bukan Lagi Kita.

“Saya suka lagu itu kerana lirik dan melodinya mudah dihafal. Saya fikir, inilah lagu yang akan hit kerana jarang lagu ciptaan Hael tidak ‘menjadi’ (popular).

“Namun pada masa yang sama, saya juga tidak meletakkan harapan yang tinggi, takut diri sendiri kecewa,” cerita anak bongsu dalam keluarga dua beradik itu.

Sebagai artis, paras rupa dan penampilan menjadi aspek penting untuk membina jenama sendiri dalam arena hiburan.

Terdahulu, Nadeera dilemparkan banyak kata nista berkaitan paras rupanya yang dikatakan tidak layak bergelar selebriti.

Walaupun bak hempedu yang pahit ditelan, namun, pelantun lagu, Boneka Tanpa Hati, itu percaya dengan bakat terpendam, semua cacian ditelan bulat-bulat.

“Benda ini saya lalui dari dulu, orang selalu ‘judge’ (menilai) saya tanpa melihat bakat saya. Agak kecewa tetapi kini, saya hanya berfikir positif.

“Saya tidak mahu berfikir negatif lagi. Lambat laun, jika ada rezeki lagu yang boleh memajukan saya dalam bidang ini, tidak kisah paras rupa pun, orang masih boleh terima.

“Setakat ini, kerisauan saya adalah lagu. Saya ingin cari lagu yang penangannya sama seperti, Bukan Lagi Kita,” tambah penyanyi asal Mersing, Johor, itu.

Dalam pada itu, Nadeera rasa berbesar hati apabila dirinya diberi peluang untuk mengembangkan bakat nyanyiannya melalui karya hasil ciptaan Hael.

“Ketika itu, saya tidak ada apa-apa pun. Tetapi, Hael pandang bakat saya. 

“Saya pun tidak tahu apa yang dia fikir tentang saya pada saat itu, hanya dia sahaja yang tahu.

“Namun, sehingga hari ini, saya sangat berterima kasih padanya yang telah mengangkat nama seseorang yang ingin melangkah dalam industri muzik,” katanya.

Kejayaan bertubi-tubi turut disambut apabila lagu Aidilfitri, Meriah Lain Macam, duet bersama Hael, tular di media sosial sehingga ramai yang rakam ulang dan memuat naik gelagat tarian yang ikonik dalam lagu itu.

Menariknya, menurut Nadeera, lagu tersebut dirakam dalam masa beberapa jam.

“Apabila Hael telefon saya memberitahu beliau ada lagu baru untuk dirakam, saya sedang merakamkan lagu, Dam Dim Dum Raya.

“Malam itu juga selepas selesai rakaman, saya pergi ke studio Hael untuk rakam lagu, Meriah Lain Macam, dalam masa dua hingga tiga jam.

“Sebenarnya sepanjang rakaman, kami gelak tau. Sebab, nak bawa lagu ini alamak nak kena ‘sweet-sweet’ (manja) pula. Cabaran nak rakam lagu ini adalah bagaimana nak tahan gelak,” kata Nadeera seraya tertawa.

Melangkah ke hadapan, Nadeera ingin lebih berhati-hati dalam memilih lagu yang mampu menyerlahkan lagi keunikan bakat yang dimiliki, sekali gus mendambakan peluang bekerjasama dengan penyanyi idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg