KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1990-an Ruhil Amani, 50 tahun, mendedahkan dirinya kini kerap pitam secara tiba-tiba dan sudah bertemu doktor minggu lalu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Kawan, menerusi akaun Facebook miliknya berkata beliau berada di hospital untuk dua janji temu. Satu di unit radiologi dan satu lagi untuk ujian mengambil darah.
“Akhir-akhir ini, saya kerap pitam, gelap mata tiba-tiba. Menurut ‘diagnosis’ doktor Ruhil yang tidak bertauliah, kemungkinan besar sebab tidak cukup rehat, tidur, dan kepenatan.
“Tapi atas desakan anak-anak dan keluarga, saya akhirnya setuju untuk buat pemeriksaan lanjut, untuk kepastian.
“Nak dijadikan cerita, masa tengah jumpa doktor… saya pitam depan mata dia. Bacaan tekanan darah normal, tapi tetap ‘blackout’. Mungkin ini cara tubuh saya nak suruh saya ‘slow down’… dan benar-benar beri perhatian,” tulisnya, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut janji temunya pula, Ruhil mengakui dirinya seorang yang lasak tetapi agak gerun dalam urusan mengambil darah.
“Dalam lasak-lasak saya ini, bab ambil darah, bukanlah bab kegemaran saya. Semasa giliran saya, saya cakap sahaja terus terang dengan adik itu:
“Dik, kalau akak berpaling, bukan akak tidak sudi tengok muka adik yang kacak ini. Walaupun tempat ini sejuk, kalau akak tengok jarum dan darah, akak dapat rasa peluh betina, peluh jantan yang selama ini akak tidak sedar wujud dalam diri akak,” katanya.
Menurut Ruhil, beliau bagaimanapun berasa tenang apabila petugas kesihatan yang masih muda itu melayaninya dengan baik dan mesra.
“Jawab adik itu pada saya sambil tersenyum, ‘Tidak mengapa kak, saya faham. Saya bismillah ya!.
“Manakala, kawan adik itu yang pasang telinga di sebelah, terus sambung pula, ‘akak bayangkan akak di laut, dalam bot menikmati angin sepoi-sepoi bahasa kak!.
“Tersenyum saya dibuatnya atas kebaikan dan empati budak berdua ini,” tulisnya lagi.
Ruhil berkata ketika darahnya diambil, beliau tertanya-tanya mengapa urusan terbabit lambat selesai sedangkan lengannya sudah mula rasa kebas.
Beliau, bagaimanapun, tidak mahu menoleh ke arah petugas perubatan itu, namun bertanya mengapa urusan itu lama sangat.
Petugas itu menjawab beliau perlu mengambil darah untuk enam tiub, atas arahan doktor untuk pelbagai ujian.
“Aduhai... nasib baik tidak tengok. Boleh mimpi ngeri di dalam sampan, di tengah-tengah lautan yang bergelora, tanpa dayung dan jaket keselamatan macam ini!
“Kadang-kadang, hari yang biasa pun boleh bertukar menjadi hari yang penuh dengan senyuman, bila kita dipertemukan dengan insan-insan yang baik hati, memahami dan ramah,” tulisnya.
Ruhil yang bercerai dengan bekas suami, Jamil Wilson sejak Mei 2019, kini tinggal bersama anaknya, Ariana dan Raayan.
Beliau juga kembali aktif menyanyi dan pernah mengadakan persembahan dalam pelbagai acara di beberapa lokasi.
Sementara itu, Harian Metro cuba menghubungi Ruhil untuk bertanya khabar tidak berjaya apabila dia tidak memberikan maklum balas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg