Pelakon, Norman Ishak, yang boleh menjiwai pelbagai watak yang diserahkan kepadanya, kelihatan sebak setiap kali namanya diumumkan untuk menerima anugerah penting pada Pesta Perdana 2025, yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei.
Norman, 37 tahun, yang dicalonkan bagi tiga kategori, iaitu, Pelakon Lelaki Terbaik – Drama Bersiri; Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Telefilem/Antologi; dan Personaliti Lelaki Paling Popular, membolot kesemua anugerah tersebut, lantas memperkukuh lagi kedudukannya sebagai bintang lakonan berpotensi besar di Singapura.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas menerima anugerah ketiganya pada malam itu, Norman yang meneruskan legasi arwah ayahnya, pengacara dan pelawak, Allahyarham Ishak Ahmat, berkata beliau tidak dibesarkan dalam sekitaran yang sarat pujian atau mendorongnya melakukan sesuatu demi menggenggam anugerah.
“Kalau arwah ayah masih ada, saya yakin beliau akan rasa bangga dengan pencapaian saya.
“Tapi, beliau tak akan puji saya setinggi langit sebab beliau tahu saya tak selesa dengan pujian. Paling tidak, pastinya beliau akan mengusik saya. Beliau tahu saya perlukan ruang bersendiri dan menghadam, ‘apakah semua ini mimpi?’
“Cukup setakat ucapan tahniah daripadanya memadai. Saya seperti sekarang masih dalam keadaan berserabut dengan kekeliruan dengan kejayaan saya dalam tiga kategori. Betul ke? Tapi saya amat mensyukuri segala yang ditetapkan Allah sebagai rezeki untuk saya, malam ini,” kata Norman.
Memulakan kerjaya seninya di peringkat sekolah rendah sebagai bakat cilik, Norman tidak akan pernah ada ungkapan kata ‘berpuas hati’ dalam kamus kehidupannya.
Anugerah bukan keutamaan, sebaliknya usaha mempertingkatkan dirinya dalam kemahiran seni yang sudah mendarah daging dalam dirinya hampir tiga dekad lamanya.
Beliau yang telah meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Digital) pada Anugerah Televisyen Asia 2022; Anugerah Perak di Pesta TV New York 2022; dan Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Filem, bagi drama Identiti yang dianggap memberinya paling banyak tekanan, sedia membawa watak pelakon pembantu sebab menyifatkannya sama mustahak dengan watak utama.
Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenanginya adalah bagi drama Bingit Siri 5.
“Peranan pelakon pembantu adalah bagi membantu menyerlahkan peranan pelakon utama tanpa merampas tumpuan terhadap watak utama drama atau telefilem itu.
“Bagaimanapun, pelakon pembantu yang baik akan tetap meninggalkan impak yang besar buat penonton meskipun dia cuma ada satu atau dua babak yang ketara.
“Saya beri contoh dalam filem, Titanic. Leonardo DiCaprio adalah hero filem ini, yang menggalas peranan sebagai Jack Dawson.
“Tetapi orang tetap akan ingat kesan lakonan bakat pembantu lain seperti pengawal peribadi (lakonan David Warner) yang memantau Rose (Kate Winslet) dan tertanya-tanya mengapa Jack menyelamatkan Rose atau Gloria Stuart (watak Rose yang sudah berusia dan menceritakan kembali peristiwa Titanic),” kongsi Norman.
Menceritakan tentang peranannya dalam Bingit Siri 5, Norman akur ia sesuatu yang berat kerana membabitkan isu yang jarang-jarang ingin dikongsi masyarakat Melayu, iaitu tentang serangan seksual.
“Saya berperanan sebagai suami watak Lydia Asyiqin yang mengalami penderaan seksual sewaktu kecil, sesuatu yang disorok daripada pengetahuan ramai kerana malu dan tertekan.
“Bagaimana perasaan seorang suami yang perlu menangani perasaan sang isteri yang trauma dengan kisah silam? Dipegang tangannya sedikit sahaja, isteri itu kelihatan ketakutan.
“Ada masanya watak saya memanggilnya dan cuba memujuknya tetapi isteri ini jadi semakin gerun kerana apa yang keluar dari mulut saya seakan-akan membuatnya teringatkan lelaki yang melakukan perkara terkutuk itu kepadanya.
“Jalan cerita episod ini adalah berdasarkan kisah sebenar yang dialami rakan penulis skrip dan pengarah, Azian Pasiran.
“Selepas menjayakan episod Bingit Siri 5 ini, saya akui ada ramai suara yang memendam rasa tentang perkara getir yang pernah melanda hidup mereka tetapi payah dikongsi kerana trauma yang tersembunyi dan menebal hari demi hari,” katanya.
Kerana begitu menghayati isu larangan sebegini, Norman rasa lega apabila dapat membicarakannya dalam podcast This Iz, yang dikendalikannya bersama rakan baiknya, Izyan Mellyna.
“Isu larangan memang sudah sedia terdedah dalam platform seperti Netflix. Tapi dalam masyarakat Melayu/Islam, isu kesejahteraan minda perlahan-lahan sedang diteroka agar mereka yang mengalaminya dapat berbincang secara terbuka.
“Kemurungan yang menjejas minda, keresahan melampau sampai perlu makan ubat... perkara sebegini kadangkala disalahtafsirkan sebab orang takkan percaya ia wujud dan amat menjejas tumpuan mereka yang mengalaminya.
“Kekerapannya kalau perkara sebegini berlaku, orang akan kata, oh... mesti nak dekatkan diri dengan Tuhan. Ia bukan kerana orang yang mengalaminya fikir bukan-bukan, mengada-ngada atau melebih-lebihkan satu keadaan.
“Generasi ibu saya, misalnya, perlu didedahkan tentang kewujudan masalah kesihatan mental dengan tekanan sekeliling yang menjadi-jadi.
“Podcast This Iz membolehkan saya dan Izyan menyelongkar bermacam isu keresahan yang berpunca daripada keguguran, penderaan seksual dan kehilangan orang tersayang, dari sudut peribadi rakan-rakan artis kami sendiri,” cerita Norman, yang bersyukur ada platform selamat untuk rakan artisnya berkongsi pengalaman untuk panduan pendengar umum.
Mengenai projek terkininya, Norman yang turut memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Pesta Perdana 2025 menerusi drama komedi, Cerita Dia Macam Ni, berkata:
“Buat masa ini, saya terlibat dalam drama bersiri panjang dalam bahasa Inggeris untuk Channel 5, Aunty Lee’s Deadly Delights, yang akan tamat penggambaran pada Julai ini dan disiarkan pada 2026.
“Saya bawa peranan sebagai pegawai polis berjawatan Inspektor. Latar belakang drama ini ialah kedai Peranakan di Bukit Tinggi.
“Pemilik kedai kuih-muih ini selalu menyibuk ingin menyiasat kes yang berlaku, bagaikan dia juga seorang detektif.
“Keseronokannya saya berada dalam set yang beroperasi seperti sebuah keluarga besar.
“Selepas itu, saya akan menjalani penggambaran di Shah Alam, Pulau Pinang atau Perak, bagi drama berunsurkan masyarakat Jepun dan Singapura.
“Latar belakangnya ialah 1910. Saya dan Lydia yang berlakon sebagai adik saya pun terpinga-pinga bagaimana agaknya suasana pada masa itu?
“Apakah perbualan dan gerak-geri kita nanti nampak kaku? Tak dapat nak bayangkan bagaimana orang era 1910 berbual? Tapi kami memang teruja nak masuk set drama arahan Mahfuz Mazlan ini,” kata Norman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg