Pernah dijulang dengan bakat luar biasa sebagai pelawak, pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio selama lebih empat dekad, bintang veteran, Salih Yaacob, akur zaman populariti yang dikecapi dulu kian jauh ditinggalkan.
Tiada lagi tawaran menjengah ke dunia hiburan sejak 2019, Salih atau nama sebenar, Mohammad Salih Yaacob, 64 tahun, kini mencari nafkah sebagai pengulas produk dan membuat sesi ‘live’ TikTok dari kediamannya.
“Zaman kemuncak saya sudah habis. Kali terakhir saya bekerja sebagai penyampai radio dan berhenti pada 2019.
“Selepas itu, tiada tawaran diterima baik lakonan mahupun nyanyian. Semua tiada.
“Sejak hilang mata pencarian, saya jual semua kereta, iaitu antara lima dengan enam kenderaan. Apa yang tinggal adalah rumah saya.
“Pendapatan pula, kalau Allah ada bagi, adalah. Tetapi, rezeki tidak putus. Ada syarikat minta buat reviu produk, jadi dapatlah duit beberapa ribu.
“Saya juga buat sesi ‘live’ di TikTok. Dalam sebulan, dapatlah beberapa ratus ringgit.
“Itu pun saya bersyukur sebab tahu zaman saya sudah tamat. Sampai di sini sahaja,” kata Salih dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Namun, bersikap realistik, Salih tidak sedikit pun berkecil hati apabila tidak lagi diberi peluang dan ruang dalam bidang seni.
Salih akur beliau reda, apatah lagi menyedari dirinya sudah lanjut usia.
“Buat apa saya hendak kecil hati, saya pun sedang tunggu untuk dipanggil ‘pulang’ sahaja.
“Jadi, saya tidaklah mahu merayu. Apa yang saya boleh usahakan, saya usahakan sendiri,” katanya lagi.
Salih turut berkata beliau masih menanggung keluarga daripada tiga perkahwinannya.
Bagaimanapun, beliau akui bebannya tidak terlalu besar berikutan hanya dua anak daripada 12 orang yang masih bersekolah.
“Alhamdulillah, anak dan isteri semua pandai bawa diri.
“Anak yang paling tua sudah berusia 40 tahun, manakala paling bongsu belajar di Tahun 4.
“Selain itu, ada seorang lagi anak yang masih bersekolah, iaitu belajar di Tingkatan 4 (pendidikan menengah).
“Anak-anak lain semua sudah ‘lepas’ dan ada yang sudah berkahwin.
“Bagaimanapun keadaannya, saya kena tunaikan tanggungjawab.
“Isteri saya semua setia, sanggup bersama dalam keadaan susah,” katanya, yang bercerai dengan isteri kedua pada 2016.
Salih memiliki tiga orang isteri iaitu Norlizah Mamat, 60 tahun; Norfara Wahida Sulaiman, 46 tahun; dan Samihah Sheikh Amy, 39 tahun.
Isteri kedua, Norraha Hamat, 56 tahun, bagaimanapun diceraikan Salih pada 2016.
Hasil perkahwinannya, mantan penyampai radio Sinar FM itu dikurniakan 11 anak dan menyambut cahaya mata ke-12 hasil perkahwinan dengan isteri barunya, Samihah, pada 2011.
Sementara itu, Salih yang sebelum ini memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 1985 menerusi lagu Puteri Remaja, mengakui kesihatannya kurang baik kebelakangan ini.
“Saya tidak beberapa sihat, biasalah, sakit orang tua. Saya tidak boleh berdiri lama sebab sudah enam tahun tidak bekerja.
“Saya duduk rumah sahaja. Jadi, hendak bangun lama-lama pun tidak boleh.
“Saya tidak berapa kuat, betul-betul tak larat. Ada masa bangun pun kena orang angkat.
“Tetapi, bukanlah sebab penyakit. Saya tiada sakit,” kata Salih.
Ketika masih bersiaran di stesen radio, Sinar FM, Salih yang dikenali sebagai ‘Abang Jem’, menjadi buah mulut ramai melalui keletah dan jenaka bersahajanya.
Beliau memulakan tugas di stesen radio tersebut pada 2006, mengendalikan slot Sinar Pagi bersama rakan penyiar radio, Raja Azura dan Khairil Rashid.
Namun, selepas 13 tahun menjadi penyampai radio, Salih mengumumkan pengundurannya pada 2019.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg