Setiap kali nama seniwati ini disebut, ingatan pencinta filem Melayu klasik pasti segera melayang ke layar perak era 1970-an.
Walaupun hanya membintangi tiga filem, pesona lakonan seniwati, Dayang Sulu, 71 tahun, masih terpahat indah dalam memori peminat filem hitam putih.
Nama bintang veteran ini kekal malar segar biarpun separuh abad kian berlalu, sejak penglibatannya dalam industri layar perak.
Bukan calang-calang tokoh seni yang pernah mengarahnya.
Dayang Sulu, atau nama sebenarnya, Siti Nadia Yusof, pernah bergandingan dengan tiga maestro filem Melayu iaitu, Allahyarham S Kadarisman, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.
Setiap pengalaman itu disifatkan bagaikan lembaran emas yang sentiasa segar dalam ingatan.
“Walaupun sudah lima dekad berlalu, saya masih terasa bagaikan semalam berada di set penggambaran bersama mereka. Setiap daripada mereka ada watak tersendiri.
“Pak Kadar (Kadarisman) penuh serius, arwah Jins sangat tegas manakala arwah P. Ramlee berdisiplin tetapi cukup menyenangkan,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Dayang Sulu ditemui BHM pada acara Pesta Ronggeng di Restoran Saloma, Malaysia, sekitar Ogos lalu.
Dalam pada itu, Dayang Sulu tidak pernah alpa terhadap satu perkara iaitu masa.
Bagi dirinya, menepati masa adalah tanda hormat dan disiplin yang wajib dijunjung oleh seorang pelakon.
“Kalau ‘call time’ 8 pagi, saya akan pastikan hadir tepat pada waktunya.
“Kita kena hormat semua tenaga kerja penerbitan kerana setiap minit melibatkan kos.
“Dari sewa lokasi hingga peralatan. Itu prinsip saya sejak dulu hingga sekarang,” tegas Dayang Sulu.
Nenek kepada lima cucu itu mengakui bahawa sikap dan prinsip displin tersebut masih kekal sehingga kini.
“Saya memang pantang kalau orang tidak tepati masa.
“Kalau janji 9 pagi, tetapi batang hidung pun tak nampak, memang saya kecil hati.
“Walau begitu, saya masih boleh bertolak ansur jika kelewatan kerana kesesakan jalan raya,” kongsinya lagi.
Bagaimanapun, persoalan yang sering ditanya – ‘Mengapa Dayang Sulu memilih untuk meninggalkan dunia seni ketika namanya sedang memuncak?’
Saat diajukan pertanyaan itu kepada empunya diri, Dayang Sulu memberikan jawapan ringkas iaitu atas pilihan sendiri.
“Saya bukan berhenti terus, cuma beralih arah.
“Saya pernah jadi pengedar filem Indonesia dan India bagi pasaran tempatan.
“Saya juga pernah membuka syarikat penerbitan bersama rakan kongsi.
“Antara filem terbitan kami ialah Penentuan, lakonan Datuk Yusof Haslam dan Noorkumalasari.
“Bukan tidak ada tawaran berlakon, cuma, saya tolak dengan baik. Komitmen hidup membataskan saya untuk kembali aktif.
“Bohonglah kalau kata tak rindu, tetapi ketika itu, pilihan hidup lebih utama,” jelas Dayang Sulu.
Biarpun sekadar membintangi tiga filem, watak Puteri Puncak Mahligai yang dilakonkannya dalam filem Laksamana Do Re Mi terus dikenang hingga hari ini.
Mengenang pula bagaimana nama Dayang Sulu tercipta, seniwati itu tersenyum sebelum membuka cerita.
Segala-galanya, kata beliau, bermula saat dipertemukan dengan Pak Kadar.
“Ketika saya memperkenalkan diri sebagai Siti Nadia, beliau memandang lama dengan renungan tajam.
“Kemudian beliau cakap, nama itu tidak sesuai untuk seorang bintang.
“Beliau kemudian bertanya asal-usul saya. Saat saya menyebut berasal dari Kepulauan Sulu, Filipina, senyuman terukir di wajahnya.
“Katanya, ‘Mulai hari ini, lupakan nama Siti Nadia. Kamu Dayang Sulu’.
“Sejak itu, nama itulah yang melekat dan membawa tuah sepanjang perjalanan seni saya,” ujar Dayang Sulu.
Biarpun sudah melewati usia emas, kejelitaan Dayang Sulu belum pudar dimamah usia.
Wajahnya tetap berseri dan kudratnya masih ampuh.
Ditanya rahsia awet mudanya, beliau hanya tertawa kecil.
“Saya makan apa sahaja, tiada pantang. Minuman manis dan berais pun saya ambil.
“Cuma, saya memang banyak makan ikan, sayur dan buah-buahan. Kalau tiada ikan, saya rasa tidak lengkap.
“Alhamdulillah, saya masih sihat tanpa penyakit kronik.
“Apa yang paling penting, hati kena bersih. Apabila hati bersih, insya-Allah wajah pun akan berseri,” kata Dayang Sulu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg