Topik diikuti
Pergi ke BHkuSarah Suhairi pernah dikecam kerana ‘terlalu kurus’
Sarah Suhairi pernah dikecam kerana ‘terlalu kurus’
Penyanyi, Sarah Suhairi, 26 tahun, mendedahkan beliau pernah menerima kritikan dan sindiran membabitkan aspek fizikalnya.
Namun, beliau tidak mahu mengambil perkara itu secara serius dan lebih suka melihat dari sudut positif.
Menurut Sarah yang popular dengan lagu ‘Nyawa & Raga’, beliau menganggap kadangkala ada niat yang baik sebalik komen seperti itu dan mereka yang memberi komen itu sahaja yang tahu niat sebenar.
“Ada yang pernah cakap, saya menyanyi okey, tapi kenapa macam kurus sangat, suami tak bagi makan ke?”
“Bila ada perkara negatif, saya akan melihat kembali adakah ia betul?
“Kalau betul, saya mungkin akan memperbaiki diri dan fokus terhadap perubahan.
“Apa yang penting saya tak kacau hidup orang.
“Jadi kepada mereka di luar sana, saya harap kita boleh fokus kepada lagu yang disampaikan oleh penyanyi dan bukan fizikalnya,” katanya dalam laman Harian Metro.
Sebelum ini, penyanyi Najwa Latif, 31 tahun, juga pernah menerima kritikan terhadap fizikalnya dalam wadah media sosial, Threads, selepas beliau membuat persembahan di acara Keretapi Sarong pada 16 September.
Tatkala ditanya tentang kritikan yang dilontarkan kepada Najwa berhubung fizikalnya selepas melahirkan anak, Sarah berkata isu itu memang akan meninggalkan kesan negatif terhadap mana-mana selebriti.
Sarah menjelaskan kecaman seperti itu bukan hanya berlaku di Malaysia, malah, berlaku jua di luar negara terutamanya di Korea Selatan yang dianggap lebih teruk.
“Kalau idola mereka gemuk atau kurus sangat pun akan tetap diperkatakan.
“Bagi saya, apabila kita melihat sesuatu berkaitan seni, kita seharusnya memberikan tumpuan kepada apa yang mereka ingin sampaikan daripada menumpukan kepada perkara yang memberi kesan kepada seseorang.
“Saya lebih suka melihat karya seni yang dipersembahkan oleh seseorang.
“Kalau mereka pelakon, tontonlah lakonan mereka di dalam filem. Kita melihat karya-karya mereka yang hebat dan pada bakat mereka,” katanya.