Bergelar ibu buat kali pertama bukan sekadar mengubah rutin harian Amira Othman, malah, membuka sisi kehidupan baharu yang sarat dengan pengalaman dan tanggungjawab.

Dahulu hanya memikirkan keperluan diri sendiri tetapi kini setiap langkah penyanyi itu turut disertai tanggungjawab menguruskan cahaya mata sulungnya, Muhammad Jarir Umar Abdul Fattah yang baru sahaja dilahirkan pada 23 Jun.

Walaupun rutin hariannya semakin bertambah, Amira, 33 tahun, akur menikmati setiap detik dalam fasa baharu itu yang banyak mengajarnya mengenai kehidupan sebagai wanita, isteri dan ibu.

“Saya rasa sama seperti ibu-ibu lain, bergegas ke sana sini dan perlu mengasuh anak. Tetapi, saya sangat menikmati detik dan saat ini.

“Saya fikir ini perjalanan yang saya nikmati dan pada masa sama, banyak perkara yang saya belajar.

“Dahulu kalau hendak keluar, tidak perlu fikir banyak. Sekarang sebelum keluar, kena fikirkan anak, sediakan susu dan macam-macam lagi. Hendak keluar pun banyak barang perlu dibawa.

“Mudah-mudahan anak saya sihat dan saya dapat membahagikan masa dengan baik antara kerjaya dan keluarga,” katanya dalam laman Berita Harian (BH) Malaysia.

Berkongsi pengalaman melahirkan Jarir, penyanyi lagu Hati-Hati itu mengakui detik pertama melihat wajah cahaya matanya selepas bersalin menjadi antara kenangan paling bermakna dan sukar dilupakan.

Jarir dilahirkan menerusi prosedur pembedahan.

Namun, bagi Amira yang telah berkahwin dengan Fattah Amin pada 14 September 2025, kaedah kelahiran bukanlah ukuran kesempurnaan seorang ibu.

Sebaliknya, keselamatan dan kesihatan ibu serta anak perlu itu menjadi keutamaan.

“Perasaan itu sampai sekarang saya masih ingat. Betullah orang kata, syurga di bawah telapak kaki ibu kerana memang bukan mudah.

“Alhamdulillah, saya percaya perjalanan setiap ibu itu berbeza.

“Ketika saya buat strim siaran langsung, ramai yang bertanya sama ada saya bersalin secara pembedahan atau normal.

“Ada juga yang bertanya sama ada saya beri susu badan atau susu formula.

“Tetapi, saya selalu cakap kepada mereka, setiap ibu sebenarnya mahu beri yang terbaik untuk anak masing-masing.

“Tidak kiralah bersalin secara pembedahan atau normal, beri susu formula atau susu badan.

“Selagi kita dapat pastikan anak kenyang, lindungi mereka dan kita sendiri melalui proses kelahiran dengan sihat, insya-Allah kita sudah melakukan yang terbaik sebagai seorang ibu,” katanya.

Perjalanan Amira dalam industri seni mula pada 2013 melalui penyertaan dalam rancangan Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10) dan meraih tempat ketiga.

Populariti beliau mula mekar sejak pengeluaran lagunya berjudul ‘Hati-Hati’ pada 2015, yang merupakan hasil ciptaan Faizul Sany, Hael Husaini dan Mike Chan.

Menyentuh tentang perkembangan Jarir yang bakal memasuki usia tiga bulan, Amira berkata anaknya dalam keadaan baik dan sihat.

“Doktor beritahu ketinggian Jarir lebih daripada usianya. Mungkin ikut daddy dia.

“Yang lain, Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Saya rasa semuanya dipermudahkan. Jadi, saya berharap mudah-mudahan anak saya sihat selalu,” katanya.

Mengulas berkenaan pembahagian masa antara kerjaya dan keluarga, Amira mengakui perkara itu memerlukan kerjasama erat antaranya dengan suami, Fattah Amin.

Hal tersebut lebih-lebih lagi apabila masing-masing aktif dengan komitmen kerja.

Menurut Amira, Fattah sedang menjalani penggambaran sebuah projek yang mengambil masa hampir tiga bulan.

Namun, Fattah tetap meluangkan masa membantu menguruskan Jarir setiap kali ada kelapangan.

“Setiap kali Fattah balik ke rumah atau apabila ada ‘gap’ atau waktu rehat sepanjang penggambaran, dia sangat membantu.

“Kami juga ada pengasuh. Jadi, kalau saya keluar bekerja, pengasuh akan ambil alih. Kami sama-sama buat yang terbaik untuk menjaga Jarir.

“Suami saya pun selalu pesan supaya jangan tertekan dan ‘take it easy’ (tidak menyukarkan sesuatu perkara). Jadi, Alhamdulillah, saya fikir saya ada sokongan yang baik,” tambah beliau.

Turut menyifatkan suami beliau, Fattah, sebagai seorang yang penyayang, Amira berkata sifat itu tercermin jelas apabila melihat hubungan baik antara Fattah dengan Fatimah (anak Fattah bersama bekas isteri yang juga seorang pelakon, Nur Fazura).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti