Penyanyi, Sarah Suhairi, mendedahkan beliau pernah menerima kritikan dan sindiran membabitkan aspek fizikalnya.

Namun, beliau tidak mahu memandang serius perkara itu dan lebih suka melihat dari sudut positif.

Menurut Sarah, 26 tahun, yang popular menerusi lagu Nyawa & Raga, beliau menganggap sesetengah komen mungkin dibuat dengan niat yang baik.

“Ada yang pernah cakap, saya menyanyi okey, tapi kenapa macam kurus sangat, suami tak bagi makan ke?”

“Apabila ada perkara negatif sebegini, saya akan melihat kembali adakah ia betul?

“Kalau betul, saya mungkin akan membaiki diri dan fokus untuk berubah.

“Apa yang penting, saya tak kacau hidup orang.

Sebelum ini, penyanyi Najwa Latif, 31 tahun, juga pernah menerima kritikan terhadap fizikalnya dalam wadah media sosial, Threads, selepas beliau membuat persembahan di acara Keretapi Sarong pada 16 September.

Tatkala ditanya tentang kritikan yang dilontarkan kepada Najwa berhubung penampilan fizikalnya selepas melahirkan anak, Sarah berkata isu itu memang akan meninggalkan kesan negatif terhadap mana-mana selebriti.

Sarah menjelaskan, kecaman seperti itu bukan hanya berlaku di Malaysia, malah, berlaku juga di luar negara, terutama di Korea Selatan yang dianggap lebih teruk.

“Kalau idola mereka gemuk atau kurus sangat pun akan tetap diperkatakan.

“Bagi saya, dalam dunia seni, kita seharusnya memberi tumpuan kepada karya yang dihasilkan seseorang artis, bukannya perkara-perkara yang menyentuh peribadi mereka.

“Saya lebih suka melihat karya seni yang dipersembahkan oleh seseorang artis.

“Kalau mereka pelakon, nilailah lakonan mereka menerusi filem yang dibintangi serta bakat yang mereka miliki,” katanya.

“Kalau idola mereka gemuk atau kurus sangat pun akan tetap diperkatakan. Bagi saya, dalam dunia seni, kita seharusnya memberi tumpuan kepada karya yang dihasilkan seseorang artis, bukannya perkara-perkara yang menyentuh peribadi mereka.”
Sarah Suhairi.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti