Topik diikuti
Pergi ke BHkuSarimah saman penyebar fitnah demi maruah diri, keluarga
Sarimah saman penyebar fitnah demi maruah diri, keluarga
Tindakan diambil susulan kecaman melampau di media sosial
Sarimah saman penyebar fitnah demi maruah diri, keluarga
KUALA LUMPUR: Che Puan Sarimah Ibrahim menjelaskan tindakan undang-undang yang diambil terhadap pihak didakwa menyebarkan tuduhan palsu serta fitnah terhadapnya dalam media sosial sebagai langkah mempertahankan maruah diri dan keluarga.
Sarimah, 48 tahun, berkata beliau tidak pernah menolak kritikan atau pandangan daripada mana-mana pihak selagi disampaikan secara berhemah, lapor BH Online.
Bagaimanapun, pelakon filem Konspirasi itu menegaskan tindakan tegas perlu diambil apabila kritikan bertukar menjadi kecaman melampau yang memberi kesan kepada dirinya serta keluarga.
“Selama ini saya terima segala teguran membina dan perkara yang boleh diambil secara positif untuk memperbaik diri.
“Tetapi apabila kata-kata yang dilemparkan sudah melampaui batas dan berubah menjadi kecaman dengan bahasa yang terlalu kasar sehingga menjejaskan maruah diri dan keluarga, saya fikir perlu ambil tindakan lebih tegas,” katanya.
Sarimah berkata demikian ketika ditemui pada sesi tayangan eksklusif filem Konspirasi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Empati dan Generasi Felda Lurah Bilut di GSC Mid Valley Megamall di sini, pada 16 Jun.
Sarimah berkata sebagai figura awam, beliau mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat terutama dalam menangani isu budaya buli di media sosial.
“Saya fikir kita juga menjadi contoh kepada anak-anak, artis baharu dan masyarakat.
“Orang selalu mengatakan artis menjadi contoh kepada masyarakat.
“Jadi, selama ini kita cuba menjadi contoh yang baik dan dalam situasi ini, kita juga perlu tunjukkan bahawa budaya buli bukan sesuatu yang boleh diterima,” katanya.
Isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar yang juga kerabat diraja Negeri Sembilan itu berkata sikap berdiam diri terhadap perkara yang sudah melampaui batas hanya akan menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa.
“Kalau kita hanya berdiam diri dan membiarkan perkara itu berlarutan selepas ia melampaui batas, secara tidak langsung kita seperti menggalakkan budaya buli tersebut.
“Jadi, seseorang perlu mempunyai pendirian,” katanya.
Sarimah juga menegaskan beliau sentiasa terbuka menerima teguran, namun, tidak boleh berkompromi apabila membabitkan tuduhan palsu, fitnah serta kata-kata yang tidak beradab.
“Bagi saya, sebagai seorang ibu, isteri dan artis, kritikan atau teguran yang membina bukanlah satu masalah. Saya sudah lama berdepan perkara itu.
“Tetapi apabila berunsur fitnah, menggunakan bahasa kasar dan dilakukan secara berterusan tanpa mengikut adab serta nilai yang kita pegang, perkara itu sudah keterlaluan,” katanya.
Menurut Sarimah, pendiriannya itu bukan bertujuan mengelak daripada menerima kritikan, sebaliknya sebagai usaha menetapkan batas terhadap perkara yang dianggap tidak wajar.
“Kalau tidak, kita seolah-olah membenarkan budaya buli terus berlaku.
“Jadi, cara untuk mengatasinya bukan dengan mengelak, tetapi kita perlu mempunyai pendirian bahawa perkara itu tidak betul dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Sebelum ini, Sarimah dilaporkan berkata serangan terhadap dirinya bermula akhir Mei lalu, susulan isu penarikan tayangan filem Konspirasi sebelum berkembang menjadi serangan peribadi serta fitnah yang tidak berasas.
Baru-baru ini, menerusi hantaran di Threads, Sarimah memuat naik kenyataan rasmi daripada firma guaman Arif Azmi & Co yang mewakilinya berhubung tindakan undang-undang yang akan diambil susulan tuduhan palsu, kenyataan berbaur fitnah serta gangguan yang didakwa ditujukan terhadapnya di media sosial.
