Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Satu bilik ‘Hotel’, berbilang sejarah

REVIU TEATER
Aug 26, 2025 | 5:30 AM
Antara adegan mencuit hati membuat penonton tak kering gusi apabila P. Ramlee lakonan Ghafir Akhbar bertemu peminat setianya, Azizah, lakonan Siti Khalijah Zainal.
Antara adegan mencuit hati membuat penonton tak kering gusi apabila P. Ramlee lakonan Ghafir Akhbar bertemu peminat setianya, Azizah, lakonan Siti Khalijah Zainal. - Foto RUEY LOON

Teater ‘Hotel’ oleh Syarikat Wild Rice berjaya menyulam sorotan insiden bersejarah dan gambaran pengalaman silam segelintir lapisan masyarakat di Singapura meniti kehidupan akibat perubahan sosiopolitikal sepanjang zaman.

Persembahan lima jam (dibahagi kepada dua pementasan) ini adalah antara hasil penulisan terbaik penulis teater tempatan, Alfian Sa’at bersama Marcia Vanderstraaten, yang dipentaskan Wild Rice Singapore.

Dengan semangat nasionalisme yang masih segar pascasambutan SG60 baru-baru ini, perspektif saya sebagai Penduduk Tetap Singapura yang berasal dari Malaysia diujakan dengan interpretasi sejarah yang hampir sama dengan negara saya, tapi pementasan ini memaparkan perspektif yang menyegarkan dan terkesan di hati saya sampai tidak terasa lima jam berlalu.

Dari permulaan adegan pertama saja saya terkesima dengan koreografi pembukaannya, penataan cahaya, muzik dan prop yang tersusun dengan ketepatan yang sangat terperinci.

Teater yang mula dipentaskan sejak 2015 ini diarah oleh Ivan Heng dan Glen Goei dengan barisan pelakon teater yang berkaliber tinggi.

Gabungan pelakon Ghafir Akbar, Naoshi Amakawa, Munah Bagharib, Rebecca Ashley Dass, Brendon Fernandez, André Jewson, Sindhura Kalidas, Dwayne Lau, Lim Kay Siu, Moo Siew Keh, Pam Oei, Siti Khalijah Zainal, Coco Wang dan Yap Yi Kai mempamerkan kebolehan mereka tanpa sebarang cela kerana hampir kesemuanya ialah barisan pelakon asal sejak dari awal pementasan ‘Hotel’ pada 2015.

Yang paling terserlah adalah kebolehan setiap pelakon untuk bertutur dalam pelbagai bahasa.

Munah Bagharib, umpamanya membawa watak sebagai seorang wanita simpanan tentera Jepun (Moo Siew Keh) dengan begitu berkesan lengkap dengan pertuturan bahasa Jepun yang lancar.

Setiap adegan membawa tema dan zaman yang berbeza berlatarkan sebuah bilik hotel yang menjadi saksi kepada pelbagai drama dan cerita tersendiri.

Dalam pengamatan saya, teater ini dibahagikan kepada beberapa pecahan kisah bersejarah dari 1915 -2005 dan reaksi masyarakat terhadap isu-isu berat ketika itu.

Jalan penceritaannya berkembang melalui 10 cerita pendek, melewati 10 dekad.

Namun pada 2025, daripada kaca mata saya sebagai penonton yang sedang mengalami perubahan paradigma tentang isu penjajahan, perkauman, budaya kuning, Islamofobia dan isu lesbian, gay, biseksual dan transjantina (LGBTQ) merasai secara langsung tahap keterbukaan sendiri tentang isu yang berlaku pada 1915-2005.

Adegan tentang kegemilangan industri filem Jalan Ampas turut menyedarkan saya betapa besarnya penglibatan Allahyarham P. Ramlee (lakonan Ghafir Akhbar) yang telah berusaha mengetengahkan identiti kebangsaan pasca kemerdekaan.

Jujur, saya terhibur dengan adegan usik-mengusik antara Ghafir dengan Siti Khalijah (atau lebih dikenali sebagai Siti K) yang membuat penonton tidak kering gusi.

Duduk sebagai penonton di dalam panggung Wild Rice Ngee Ann Kongsi yang terdiri daripada peminat dan penggiat seni teater membuat saya terpegun menantikan reaksi ramai terhadap unsur jenaka, cerita sedih dan ciri yang di luar kelaziman yang memeranjatkan!

Saya dibuai bermacam perasaan daripada tergelak besar hingga menangis tersedu sedan menunjukkan kemahiran penulisan dalam teater ini.

Terfikir sejenak saya tentang mengapa setiap adegan berlatarbelakangkan hanya sebuah bilik hotel yang hanya bertukar perabot, watak dan jalan cerita namun kesinambungan dapat dilihat dalam hubung kait antara kisah silam dengan bagaimana ia membentuk masa depan kita.

Yang konsisten adalah pekerja hotel yang terlatih untuk sentiasa memberi perkhidmatan yang baik dan dinding-dinding yang menjadi saksi pelbagai kisah kehidupan manusia.

Sebagai seorang mantan pensyarah Pengajian Malaysia, saya amat menghormati ikhtiar penulis Alfian dan Vanderstraaten yang amat peka tentang betapa perlunya kita memberi validasi kepada sejarah Singapura yang pernah menjadi sebahagian dari Malaysia dan kita tetap bersaudara.

Tema-tema berat diketengahkan tanpa perlu elemen yang terlalu kontroversi, namun cukup untuk membuat penonton berfikir dan meninggalkan persembahan hebat ini dengan suatu kesedaran dan semangat untuk bersatu padu, bertoleransi dengan kelainan yang wujud dalam masyarakat dan memelihara kepentingan Singapura sebagai negara yang datang dari sejarah yang berwarna-warni.

Syabas Wild Rice kerana sekali lagi membawa ke persada teater, satu pementasan yang penuh bermakna, dengan penceritaan dan arahan yang padat dan lakonan meyakinkan oleh kesemua barisan pelakonnya.

Sekilas pementasan ‘Hotel’

Bahagian 1 – lebih kurang dua jam 45 minit (termasuk sela masa)

Bahagian 2 – lebih kurang dua jam (tanpa sela masa)

Rating Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA): NC16 (Mengandungi Kandungan Matang)

Disyorkan untuk penonton berusia 13 tahun dan ke atas

Berlangsung 14 Ogos hingga 21 September

Butiran tiket boleh didapati di laman web, wildrice.com.sg.

Penulis ialah mantan pensyarah di Multimedia University Cyberjaya (Malaysia) dan merupakan penggubah lagu serta penulis lirik yang kini menetap di Dubai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg