Scha Alyahya jaga pergaulan anak, had gunakan media sosial
Scha Alyahya jaga pergaulan anak, had gunakan media sosial
Pelakon Malaysia, Scha Alyahya, 43 tahun, mengambil pendekatan tegas dengan mengehadkan pergaulan anak-anaknya, khususnya membabitkan interaksi dengan individu tidak dikenali, sama ada di alam maya mahupun dunia sebenar.
Menurut Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, penetapan had atau batasan adalah asas penting yang perlu diterapkan sejak kecil bagi memastikan anak-anak membesar dengan akhlak terpuji dan tidak terlalu bebas dalam pergaulan.
Scha mengakui sikap berhati-hatinya itu mungkin dilihat berlebihan, namun baginya kerisauan adalah naluri semula jadi seorang ibu demi keselamatan anak.
Hasil perkahwinan bersama pengacara dan pelakon, Awal Ashaari, 44 tahun, pada 4 Mei 2012, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Lara Alana, 12 tahun, dan Lyla Amina, lima tahun.
“Awal selalu kata saya ‘overthinking’ (terlalu banyak berfikir), tetapi bagi saya itulah naluri seorang ibu.
“Mendidik anak-anak untuk menjaga batas pergaulan sangat penting kerana ia perkara asas.
“Jika diajar dari sekarang, insya-Allah apabila mereka besar nanti, akhlak akan terbentuk dengan baik dan tidak terlalu bebas,” katanya dalam laporan Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata demikian ketika ditemui BHM pada majlis pelancaran koleksi beg terbarunya, The Nexx, di Malaysia pada 19 Januari.
Scha turut berkata didikan awal itu penting supaya apabila anaknya meningkat dewasa kelak, mereka sudah memahami konsep menjaga diri serta mampu membezakan perkara baik dan buruk dalam pergaulan seharian.
Mengulas lebih lanjut, Scha menegaskan ibu bapa sebagai individu paling rapat dengan anak-anak, memikul tanggungjawab besar dalam mencorakkan masa depan termasuk menetapkan had tertentu dalam aspek sosial.
Dalam pada itu, Scha dan suaminya, Awal, turut menetapkan peraturan ketat berkaitan penggunaan gajet di rumah, termasuk menghadkan akses kepada media sosial.
“Kami memang mengehadkan penggunaan iPad, dan mereka hanya dibenarkan menggunakannya pada hujung minggu.
“Lara hanya boleh memegang telefon atau iPad pada hari Sabtu dan Ahad.
“Dia juga tidak mempunyai akses kepada media sosial seperti Snapchat, Instagram atau Facebook.
“Saya hanya membenarkan Lara menggunakan media sosial ketika cuti sekolah sahaja.
“Aplikasi yang dibenarkan juga terhad dan sentiasa dipantau. Jika saya rasa dia terlalu lama menghadap skrin, saya akan menutup akses gajet untuk anak-anak.
“Teknologi memang sebahagian daripada dunia hari ini, tetapi yang paling penting ialah tahu dan menjaga batas,” kata Scha.

