KUALA LUMPUR: “Saya percaya kalau kita dipisahkan oleh takdir dan masa, alam tahu macam mana untuk kembalikan semula...”
Lembut kata-kata itu terbit dari bibir pelakon versatil Nabila Huda Suhaimi, tetapi berat maknanya.
Dalam diam, beliau memikul kerinduan yang tak pernah benar-benar terluah hingga akhirnya, ruang temu raya menjadi saksi sebuah pertemuan yang menyentuh jiwa.
Menurut Nabila atau mesra disapa Abil, meskipun kisah antara beliau dan ayahnya, penyanyi rok legenda Amy Search, kembali menjadi bualan, perasaan sebenar tidak pernah benar-benar dibincangkan secara terbuka.
“Ini takdir. Saya percaya ini semua takdir. Saya pasti semua orang faham situasi.
“Cuma saya rasa macam rindu. Sukar untuk saya jelaskan,” katanya dalam nada yang tertahan.
Bagi Nabila, takdir dan masa telah menjarakkan dua jiwa yang sepatutnya paling dekat, tetapi ia tidak bermakna kasih antara mereka turut luntur.
Mengakui dirinya sudah lama menyimpan perasaan yang terpendam, ibu kepada seorang cahaya mata itu menyifatkan kisah antara beliau dengan ayahnya sebagai naratif yang tidak pernah menemui noktah.
“Cerita ini tidak pernah habis dari saya kecil sehingga besar.
“Tetapi tidak guna untuk terus emosional, hidup perlu diteruskan. Saya ada kehidupan sendiri, semua ada kehidupan sendiri.
“Saya tidak pasrah tetapi setiap orang ada jalan hidup masing-masing. Jadi kita lalui dengan tenang tanpa perlu terlalu memikir.
“Kalau ada rezeki dan masa untuk bersama, kita akan bersama jua, ” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Telaga Suriram di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditebak adakah beliau akan berusaha menjernihkan keadaan dan mengeratkan hubungan kekeluargaannya, Nabila memberitahu beliau sudah penat melalui kisah yang berulang.
“Saya sudah penat. Tidak mengapalah saya hanya lalui sahaja apa yang ada di depan mata.
“Perbaiki keadaan atau tidak, cerita ini memang tiada berkesudahan,” luahnya.
Berkongsi pertemuan tidak terjangka dengan Amy baru-baru ini yang menjadi perhatian, pelakon yang bakal tampil dengan filem Gayong tidak lama lagi mengakui terkejut dan gemuruh dengan takdir tertulis buat mereka.
Beliau percaya andai takdir memisahkan, alam pula tahu jalan untuk menemukan kembali.
“Sudah terlerai rindu walaupun jumpa sekejap. Dapatlah salam, minta maaf.
“Niat saya memang nak jumpa waktu Raya, tetapi masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing.
“Papa pun cakap benda sama, saya beritahu beliau, saya sayang dan rindu beliau.
“Apa pun saya bersyukur Allah temukan kami,” ungkapnya yang beberapa kali menyeka air mata dari terus tumpah.
Dalam pada yang masa sama, figura berusia 40 tahun itu berkata doanya tidak pernah berhenti mengiringi lelaki yang pertama mengajarnya erti kasih dan sayang.
Malah beliau percaya, suatu hari nanti, mereka tetap akan kembali menyusuri kehidupan bahagia bersama.
“Saya akan sentiasa doakan untuk kebahagiaan beliau sebagaimana beliau doakan saya.
“Saya doakan semoga beliau panjang umur dan sentiasa sihat. Saya nak beliau tahu yang saya sayang beliau sangat.
“Saya cuma harap satu hari nanti kita akan bersama,” katanya lagi.
Terdahulu, perkongsian Nabila mengenai pertemuan singkat dengan bapanya, telah mengundang simpati dan pertanyaan ramai.
Sebelum ini, Nabila pernah mendedahkan berdepan dengan konflik kekeluargaan sehingga merenggangkan hubungan anak dan bapa, namun kembali pulih tidak lama selepas itu.
Sementara itu, menyentuh penglibatannya dalam filem Telaga Suriram arahan Osman Ali, Nabila mengakui ia bukan sekadar karya dramatik biasa.
Membariskan pelakon hebat seperti Maya Karin, Farid Kamil, Scha Alyahya dan Ellie Suriaty, filem ini menyatukan kekuatan emosi dan sinematografi yang sarat rasa.
Bagi Nabila, wataknya sebagai Maimon adalah sebuah pengalaman yang bukan calang-calang.
“Lokasi melibatkan watak Maimon penuh kekotoran, perlu duduk dalam sangkar, pengalaman yang tidak pernah saya lalui.
“Karakter ini juga yang pertama tanpa dialog, hanya reaksi sahaja.
“Bagi saya ia sangat menarik kerana saya sendiri selepas selesai penggambaran, saya bersimpati dengan Maimon,” ceritanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg