Selamat jalan, ‘Duta Persahabatan’, Vidi Aldiano

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selamat jalan, ‘Duta Persahabatan’, Vidi Aldiano

Penyanyi ‘Nuansa Bening’ meninggal dunia pada 7 Mac akibat barah buah pinggang
Mar 8, 2026 | 12:26 AM

Selamat jalan, ‘Duta Persahabatan’, Vidi Aldiano

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
vidi aldiano, meninggal dunia, barah buah pinggang tahap tiga
Penyanyi Indonesia, Vidi Aldiano, meninggal dunia akibat barah buah pinggang yang dihidapi sejak 2019. - Foto INSTAGRAM VIDI ALDIANO

Penyanyi Indonesia, Vidi Aldiano, atau nama sebenarnya, Oxavia Aldiano Harry Aprianto, yang sekian lama berjuang melawan barah buah pinggang selama lebih enam tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 7 Mac sekitar 4.30 petang di Cilandak, Jakarta Selatan, di samping keluarga tercinta.

Pemergian Allahyarham Vidi, 35 tahun, ke Rahmatullah berlaku bertepatan dengan malam Nuzul Al-Qur’an, dan dikhabarkan kali pertama melalui hantaran di laman X, yang dimuat naik komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto.

Ayah Vidi, Encik Harry Aprianto Kissowo, turut mengesahkan pemergian penyanyi Nuansa Bening itu menerusi satu pesanan ringkas.

“Telah wafat anak saya, Oxavia Aldiano Harry Aprianto.

“Vidi wafat didampingi seluruh keluarga besar yang ikhlas akan pemergiannya menghadap Allah swt pada 7 Mac, 4.33 petang.

“Selamat jalan menuju cahaya Ilahi, Nak,” lapor laman Liputan6.com.

Pada Disember 2019, Vidi disahkan menghidapi barah buah pinggang di sebelah kiri, pada tahap tiga.

Beliau kemudian menjalani pembedahan di Singapura, dan sejak itu hanya bergantung pada buah pinggang di sebelah kanan.

Pada Januari 2023, Allahyarham pernah berkongsi tubuhnya sering mengalami kesakitan atau lenguh selepas menjalani rawatan kemoterapi bagi memusnahkan sel kanser, sekali gus menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

“Hari ini, saya rasa sedikit lebih baik, walaupun malam tadi, tubuh saya mengalami kesan sampingan daripada kemoterapi yang dijalani sehari sebelumnya.

“Sepanjang malam, badan saya menggigil dan sengal-sengal di seluruh badan kembali terasa.

“Hanya sedikit sentuhan atau geseran sudah cukup menimbulkan rasa sakit,” kata Allahyarham yang beristerikan pelakon Indonesia, Sheila Dara Aisha, menerusi hantaran video di TikTok pada 25 Januari 2023.

Allahyarham Vidi dan Sheila Dara yang bernikah pada 2022 belum dikurniakan cahaya mata.

Selain menjalani rawatan perubatan, Allahyarham turut mengikhtiarkan rawatan alternatif bagi menangani barahnya di Pusat Rawatan Tanya Samui, Ko Samui, Thailand, pada 2024.

Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau kerap berulang-alik antara Jakarta dan Penang, Malaysia, bagi mendapatkan rawatan secara intensif.

Meskipun berdepan cabaran melawan sakit, Allahyarham tetap mengisi hari-harinya sebagai penghibur.

Antaranya, beliau muncul dalam podcast, Podhub, bersama pengacara dan ahli silap mata, Deddy Corbuzier, dan tampil sebagai penyanyi dalam pelbagai acara.

Pada November 2025, beliau mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia hiburan demi memberi tumpuan pada kesihatan diri.

Ramai rakan artis turut memuat naik ucapan selamat tinggal dan kenangan manis di Instagram bersama Allahyarham yang dikenali sebagai seorang yang peramah dan berhati mulia.

Salah seorang daripada mereka, penyanyi asal Singapura, Sezairi berkata:

“Dunia ini baru sahaja kehilangan seorang insan yang luar biasa. Terima kasih kerana menjadikan hidup kami lebih ceria.

“Allahyarham selalu prihatin terhadap orang tersayang dan memperlakukan setiap orang seperti ahli keluarga sendiri.

“Kami semua akan merinduimu, Vidi.”

Sementara itu, penyanyi Indonesia, Yura Yunita, meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat bertemu Allahyarham untuk kali terakhir sewaktu hayatnya, sebaik pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci.

“Kita sudah berjanji untuk bertemu sebaik aku pulang dari Madinah, pada 4 petang esok (8 Mac).

“Kita mahu berkongsi cerita yang gembira. Kita janji mahu menunaikan haji bersama. Rindu betul!

“Namun kini, kau sudah tidak dalam kesakitan lagi.

“Allah mengetahui betapa hangatnya hati kau dan betapa kerap kau menerangi hidup orang ramai tanpa mengira penat lelah sendiri.

“Engkau memang insan yang baik!” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg