Selamat jalan, Vidi Aldiano

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selamat jalan, Vidi Aldiano

Penyanyi ‘Nuansa Bening’ meninggal dunia pada 7 Mac akibat barah buah pinggang
Mar 8, 2026 | 12:26 AM

Selamat jalan, Vidi Aldiano

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
vidi aldiano, meninggal dunia, barah buah pinggang tahap tiga
Penyanyi Indonesia, Vidi Aldiano, meninggal dunia akibat barah buah pinggang yang dihidapi sejak 2019. - Foto INSTAGRAM VIDI ALDIANO

Bak kata pepatah, ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’.

Jasa dan pengaruh penyanyi Indonesia, Allahyarham Vidi Aldiano, terus dikenang serta dihargai rakan artis di Instagram, meskipun sudah sekitar tiga hari beliau meninggal dunia.

Allahyarham Vidi, atau nama sebenarnya, Oxavia Aldiano Harry Aprianto, yang sekian lama berjuang melawan barah buah pinggang selama lebih enam tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 7 Mac sekitar 4.30 petang di kediamannya sekitar Cilandak, Jakarta Selatan, di samping keluarga tercinta.

Pemergian Allahyarham, 35 tahun, ke rahmatullah berlaku bertepatan dengan malam Nuzul Quran, dan dikhabarkan kali pertama melalui hantaran di wadah X, yang dimuat naik komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto.

Ayah Vidi, Harry Aprianto Kissowo, turut mengesahkan pemergian penyanyi lagu, Nuansa Bening, itu menerusi satu pesanan ringkas.

“Telah meninggal dunia anak saya, Oxavia Aldiano Harry Aprianto.

“Vidi meninggal dunia didampingi seluruh keluarga besar yang ikhlas akan pemergiannya menghadap Allah swt pada 7 Mac, 4.33 petang,” lapor Liputan6.com.

Sejak 7 Mac, ramai rakan artis memuat naik ucapan selamat tinggal dan kenangan manis di Instagram bersama Allahyarham yang dikenali sebagai ‘duta persahabatan’ kerana sifatnya yang peramah dan berhati mulia.

Salah seorang daripada mereka, penyanyi asal Singapura, Sezairi berkata:

“Dunia ini baru sahaja kehilangan seorang insan yang luar biasa. Terima kasih kerana menjadikan hidup kami lebih ceria.

“Allahyarham selalu prihatin terhadap orang tersayang dan memperlakukan setiap orang seperti ahli keluarga sendiri. Kami semua akan merinduimu, Vidi.”

Sementara itu, penyanyi Indonesia, Yura Yunita, meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat bertemu Allahyarham untuk kali terakhir sewaktu hayatnya, sebaik pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci.

“Kita sudah berjanji untuk bertemu sebaik aku pulang dari Madinah, pada 4 petang, 8 Mac.

“Kita mahu berkongsi cerita yang gembira. Kita janji mahu menunaikan haji bersama. Rindu betul!

“Namun kini, kau sudah tidak dalam kesakitan lagi.

“Allah mengetahui betapa hangatnya hati kau dan betapa kerap kau menerangi hidup orang ramai tanpa mengira penat lelah sendiri.

“Engkau memang insan yang baik!” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Perkongsian penyanyi muda, Nadin Amizah, yang juga merupakan biras kepada Allahyarham, dalam mengenang kenangan bersama beliau ketika sebuah konsert yang berlangsung hanya beberapa jam selepas pemergiannya, turut menyentuh hati ramai dan mendapat perhatian meluas di media sosial.

Meski dilanda kesedihan yang mendalam, Nadin, tetap memilih untuk bersikap profesional dengan meneruskan persembahannya di atas pentas hingga selesai.

Beliau turut mendedikasikan lagu, Berpayung Tuhan, kepada Allahyarham sebagai penghormatan terhadap perjuangan beliau melawan sakit serta semangatnya yang terus membawa kegembiraan kepada orang lain hingga saat-saat terakhir.

“Aneh rasanya saat ini saya harus berada di sini, sedangkan beberapa jam yang lalu saya menyaksikan kakak ipar (biras) saya mengembuskan nafas terakhirnya.

“Tapi begitulah hidup, harus berlanjut bagi orang-orang yang masih boleh mengembuskan nafasnya. Saya ingin menjadikan malam ini (sebuah penghormatan) untuknya.

“Kematiannya adalah sesuatu yang sangat tenang, dikelilingi oleh orang-orang yang paling beliau sayang dan menyayanginya.

“Saya harap tidak hanya keluarganya yang menyayangi Kak Vidi,” katanya.

Seorang lagi teman Allahyarham yang juga penyanyi, Isyana Sarasvati, tidak mampu menahan kesedihan dan membendung air matanya di atas pentas, ketika menyanyikan lagu kegemaran Allahyarham iaitu Eklektiko, hasil ciptaan dan tulisan Isyana.

“Vidi ialah salah satu teman terbaik saya, dan hal terindah yang pernah Tuhan berikan untuk saya.

“Kami sangat dekat, dan banyak berpetualang (melakukan kegiatan kembara) bersama. Beliau banyak menemani saya dalam pelbagai fasa kehidupan saya, dan begitu pun juga saya untuk dirinya.

“Hari ini (7 Mac), beliau telah berpulang... Allahyarham sering membawa tawa dan keceriaan dalam hidup kami semua (sahabatnya), jadi saya ingin mempersembahkan lagu kegemarannya dalam album saya iaitu Eklektiko, untuknya,” ujar Isyana.

Pada Disember 2019, Vidi disahkan menghidapi barah buah pinggang di sebelah kiri, pada tahap tiga.

Beliau kemudian menjalani pembedahan di Singapura dan sejak itu hanya bergantung pada buah pinggang di sebelah kanan.

Pada Januari 2023, Allahyarham pernah berkongsi tubuhnya sering mengalami kesakitan atau lenguh selepas menjalani rawatan kemoterapi bagi memusnahkan sel barah, sekali gus menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

“Hari ini, saya rasa sedikit lebih baik, walaupun malam tadi, tubuh saya mengalami kesan sampingan daripada kemoterapi yang dijalani sehari sebelumnya.

“Sepanjang malam, badan saya menggigil dan sengal-sengal di seluruh badan kembali terasa.

“Hanya sedikit sentuhan atau geseran sudah cukup menimbulkan rasa sakit,” kata Allahyarham yang beristerikan pelakon Indonesia, Sheila Dara Aisha, menerusi hantaran video di TikTok pada 25 Januari 2023.

Allahyarham Vidi dan Sheila Dara yang bernikah pada 2022 belum dikurniakan cahaya mata.

Selain menjalani rawatan perubatan, Allahyarham turut mengikhtiarkan rawatan alternatif bagi menangani barahnya di Pusat Rawatan Tanya Samui, Ko Samui, Thailand, pada 2024.

Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau kerap berulang-alik antara Jakarta dengan Penang, Malaysia, bagi mendapatkan rawatan intensif.

Meskipun berdepan cabaran melawan sakit, Allahyarham tetap mengisi hari-harinya sebagai penghibur.

Antaranya, beliau muncul dalam podcast, Podhub, bersama pengacara dan ahli silap mata, Deddy Corbuzier, dan tampil sebagai penyanyi dalam pelbagai acara.

Pada November 2025, beliau mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia hiburan demi memberi tumpuan pada kesihatan diri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg