Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas 17 tahun menduda, Mamat Exists kembali bergelar tunangan orang
Selepas 17 tahun menduda, Mamat Exists kembali bergelar tunangan orang
KUALA LUMPUR: Selepas 17 tahun menduda, penyanyi Mamat Exists mengakui berasa gementar apabila kembali bergelar tunangan orang.
Mamat, atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 48 tahun, mengikat tali pertunangan dengan Hariana Harani, 41 tahun, seorang ibu tunggal empat anak yang menetap di Kulai, Johor, lapor Harian Metro.
“Waktu dalam kereta, perasaan saya rasa lain. Tetapi Alhamdulillah bila dah sampai di rumah pihak perempuan, semuanya berjalan dengan lancar.
“Saya dan keluarga disambut dengan baik semuanya dan perbincangan berjalan dengan baik. Maknanya tak ada apa-apa masalah dalam proses hari ini.
“Tambah pula keluarga kami pun dah saling kenal juga,” katanya kepada Harian Metro.
Mamat dan Hariana, atau lebih mesra disapa Yana, sudah hampir setahun berkenalan selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.
Meskipun menjalinkan hubungan jarak jauh, pasangan itu sering berhubung bagi mengenali hati budi masing-masing.
“Hubungan kami mula serius selepas lima bulan kenal. Saya tinggal di Kuala Lumpur dan dia pula Johor. Bila selalu berhubung, kami berkongsi pelbagai perkara.
“Setakat ini Alhamdulillahlah tiada apa-apa perkara yang buat kita jadi susah hati. Kami tahu satu sama lain sebab dah kenal hati budi masing-masing.
“Saya beritahunya tentang saya, beliau pun beritahu dirinya macam mana. Maknanya masing-masing setuju dan boleh terima kelebihan dan kekurangan diri masing-masing,” katanya.
Menurut Mamat, hasratnya untuk kembali mendirikan rumah tangga turut mendapat sokongan anak-anaknya.
Bagaimanapun, pasangan itu belum menetapkan tarikh pernikahan mereka.
“Syukur... semuanya menyokong. Untuk majlisnya pula, hal itu kita belum tentukan lagi. Kami baru bertunang.
“Sama ada kahwin tahun ini atau tahun depan bergantung kepada jodoh.
“Majlis kami juga akan berlangsung mengikut adat nanti,” ujar beliau.
Mamat pernah mendirikan rumah tangga bersama Marshila Mustapa Kamal pada 2001 sebelum bercerai pada 2009.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak, iaitu Aleeya Mysara, 24 tahun; Mohd Eiki Daniell, 22 tahun; dan Dylea Mysara, 20 tahun.
Penyanyi itu juga mempunyai seorang cucu perempuan berusia lima tahun hasil perkahwinan anak keduanya.
Dalam perkembangan kerjayanya pula, Mamat kini kembali aktif bersama kumpulan Exists dan bakal menjayakan Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor, pada 9 Januari 2027.