Walaupun telah menghiasi halaman majalah dan peragakan pakaian daripada pelbagai jenama untuk pertunjukan fesyen, peragawan Malaysia, Ezaidi Aziz, tidak menyangka dirinya bakal menceburi bidang lakonan.
“Saya sebenarnya ‘ditipu’ oleh rakan saya dan pelakon, Aedy Ashraf, untuk hadiri satu sesi bergambar.
“Saya sangka ia adalah tugasan untuk iklan sahaja. Namun, rupanya ia merupakan tugasan lakonan.
“Saya terkejut apabila tiba-tiba mendapat panggilan daripada pihak penerbitan yang ingin menghantar skrip,” kongsi Ezaidi yang ditemui Berita Minggu (BM) di acara dagangan, Celebfest, di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 9 Mac lalu.
Beliau yang mula berjinak-jinak dalam bidang peragaan pada 2014 dan sering menjadi peragawan bagi jenama fesyen Malaysia, Rizman Ruzaini, menyifatkan dirinya sebagai seorang yang sangat pemalu.
Justeru, Ezaidi, 30 tahun, tidak menyangka rezekinya dalam bidang lakonan bakal mekar dan beliau mula mendapat tawaran untuk membintangi beberapa drama dan dapat bergandingan dengan pelakon mapan termasuk Remy Ishak (Hijrah Jannah) dan Fasha Sandha (Rampas Cintaku 2).
“Sebenarnya saya sangat pemalu dan introvert. Memang sukar untuk saya beri ucapan di khalayak ramai.
“Namun rakan-rakan saya yang berikan galakan untuk cuba berlakon. Dengan dorongan mereka, saya mula membina keyakinan diri untuk berada di hadapan kamera dan melafazkan dialog.
“Saya juga bertukar fikiran, memandang lakonan ini sebagai satu kerjaya dan mungkin disebabkan itu, saya kata ‘go’ saja,” ceritanya.
Selain menonton filem dan drama sebagai bahan rujukan, Ezaidi turut mendapat nasihat daripada rakan pelakon yang lain termasuk Aedy, Syafiq Kyle, Amir Ahnaf dan Ikmal Amry untuk memperbaiki lakonannya.
“Syukur alhamdulilah dengan peluang yang ada. Namun, masih banyak lagi yang perlu saya belajar. Kalau diberi watak lebih mencabar, saya perlu hadiri kelas lakonan,” tambah Ezaidi.
Berkat semangat positif dan kerja kerasnya, beliau diberi peluang memainkan watak utama, Noah, dalam drama rantaian, Satu Hari Nanti, dan bergandingan dengan Bella Astillah dan Eyka Farhana.
Drama adaptasi novel tulisan Shera Zulghafar itu ditayangkan di aplikasi iQIYI pada September 2024.
Drama 16 episod arahan Pali Yahya turut menyaksikan mereka berlakon di tanah suci, Makkah, Arab Saudi.
Ezaidi turut selesa dapat bekerjasama dengan Bella yang banyak membantunya dalam menghidupkan watak Noah, seorang lelaki Cina yang memeluk Islam.
“Bella sangat baik dan kita senang cari keserasian itu. Dia juga banyak beri tunjuk ajar semasa di set penggambaran,” jelasnya.
Terdahulu, Ezaidi pernah bergandingan dengan Bella dalam drama, Leha Leya Lawa, dan telefilem, Menantu Dietitian.
Ditanya watak apa yang memberi kesan pada dirinya, Ezaidi berkongsi kebanyakan peminat Singapura yang hadir ke reruainya di Celebfest mengingat lakonannya sebagai Zakri dalam Hijrah Jannah yang bersiaran di Astro Ria pada 2023.
“Ramai yang menyapa dan berkata saya ‘ustaz jahat’. Saya perlu berfikir sebentar... baru saya ingat watak saya dalam drama itu,” kongsinya.
Beliau yang baru bernikah dengan Wan Afeeqah Wan Azmi pada 8 Februari lalu turut berkongsi dengan BM bahawa keputusan untuk mendirikan rumah tangga itu dibuat pada 2024.
“Sebenarnya saya sudah mengenali isteri saya sejak zaman sekolah. Pada mulanya saya segan untuk berkenalan dengannya kerana dia sangat cantik. Terdapat juga ramai orang yang meminatinya ketika itu.
“Kami sering berborak dalam satu kumpulan tetapi tahun lepas (2024) saya tergerak hati untuk bertanya jika dia ada perancangan untuk ‘membina masjid’ bersama. Syukur alhamdulilah, dia jodoh saya,” ceritanya yang tertarik dengan sifat pemalu yang turut ada pada diri Afeeqah.
Ezaidi turut percaya pada rezeki yang hadir dan tidak khuatir dengan keputusan untuk berkahwin apabila namanya mula dikenali sebagai pelakon.
Beliau juga tidak kisah jika mendapat komen beliau memulakan kerjaya lakonan pada usia lewat.
“Saya rasa semuanya telah ditentukan oleh Yang Maha Esa dan saya percaya ada masa yang sesuai untuk setiap peluang itu,” ujarnya.
Memandang ke hadapan, Ezaidi berharap dapat terus kekal aktif dalam dunia lakonan sambil mengembangkan perniagaan pakaian dan minyak wangi yang baru diusahakannya.
“
Sebenarnya saya sangat pemalu dan introvert. Memang sukar untuk saya beri ucapan di khalayak ramai. Namun rakan-rakan saya yang berikan galakan untuk cuba berlakon. Dengan dorongan mereka, saya mula membina keyakinan diri untuk berada di hadapan kamera dan melafazkan dialog. Saya juga bertukar fikiran, memandang lakonan ini sebagai satu kerjaya dan mungkin disebabkan itu, saya kata ‘go’ saja.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg