Bagi pelakon Malaysia, Meerqeen, 23 tahun, terdapat tradisi unik dalam keluarganya di mana mereka sekeluarga akan pulang ke kampung hanya lima tahun sekali.
“Raya pada tahun ini (2025) agak istimewa sedikit kerana saya sekeluarga akan pulang ke kampung yang terletak di Negeri Sembilan.
“Rancangannya adalah untuk beraya di sana pada hari kedua,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM).
Meerqeen, atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, ditemui dalam satu sesi beramah-tamah dengan peminat pada 15 Februari, di Casa Bayu, lokasi acara majlis kahwin, yang terletak di Upper Serangoon Shopping Centre.
Acara itu turut menampilkan dua pelakon Malaysia, Nadhir Nasar dan Erysha Emyra, dan dianjurkan bersama Laugh Out Loud Entertainment Malaysia dan Z.H Creatives Management.
Ia turut mendapat sokongan Casa Bayu, Jalindo, Reliable Transport & Logistics Services Soulitaire Productions, Yatzcollezione dan DM Transporters.
Ditanya apakah yang dirindui tentang suasana beraya di kampung, Meerqeen berkongsi bahawa kenangan menyambut Raya bersama arwah neneknya merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan.
Selain itu, beliau turut tidak sabar menanti masa menikmati lauk ayam sambal pada pagi Aidilfitri.
“Saya sebenarnya tidak gemar makan rendang. Mungkin ada yang katakan ia agak pelik, namun saya lebih menyukai ayam sambal,” ceritanya.
Beliau yang sibuk sepanjang Ramadan dengan penggambaran bagi filem ‘psycho thriller’ yang belum boleh dikongsikan namanya, menghargai semangat padu peminat setianya.
“Saya bersyukur adanya peminat yang setiasa menyokong. Selalunya saya hanya dapat berinteraksi dengan mereka di media sosial disebabkan jadual saya yang sangat padat,” kongsinya, yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Hero Remaja 2019/2020.
Meerqeen turut berpendapat tiada perbezaan dari segi peminat dari negara berbeza.
“Sejujurnya saya rasa misi mereka semuanya sama iaitu untuk menyokong karya saya.
“Di setiap acara bertemu peminat pasti ada sahaja peminat dari Singapura, Malaysia atau Indonesia, tidak kira di mana ia diadakan,” tambahnya yang pernah membintangi drama web Indonesia, Modus Operandi.
Diminta mengulas mengenai kejayaan pelakon senegara, Anna Jobling, yang mula menempa nama di Indonesia, Meerqeen turut gembira atas kejayaan pelakon kacukan Inggeris-Melayu itu menerusi filem Lembayung dan Laut Tengah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Anna di atas kejayaannya di dalam dan luar negara.
“Apabila kita berlakon di negara berbeza, kita perlu memahami budaya dan cara mereka bekerja. Kita juga perlu mendapat keserasian dengan pelakon lain di set penggambaran,” ujarnya.
Terdahulu, Meerqeen pernah bergandingan dengan Anna dalam drama rantaian popular, Melur Untuk Firdaus, yang ditayangkan selama dua musim.
Walaupun baru lima tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, jejaka dengan ketinggian 1.78 meter ini telah membintangi pelbagai drama termasuk Angkara Cinta, Ash & Aish, Cinta Untuk Sekali Lagi, Uncle Bos Mama dan siri web ‘thriller’ Nenek Bongkok Tiga.
Beliau yang berjaya menonjolkan sisi matang dalam lakonannya membuat penonton menggelarkannya antara ‘Hero Malaya’ masa kini.
Meerqeen berkongsi beliau akan mengambil dua atau tiga bulan untuk mendalami watak baru yang akan dibawanya.
“Saya akan cuba untuk memahami watak dengan teliti – cara dia berbual, makan, sifatnya dan juga cara dia berinteraksi dengan orang lain.
“Pada mulanya ia agak sukar kerana saya harus menjadi orang lain, namun selepas dapat menjiwai watak itu, ia mula menjadi mudah seperti ‘air yang mengalir’,” katanya.
Meerqeen turut berkongsi bahawa dirinya teringin melibatkan diri dalam karya biopik atau cerita seram.
“Saya teringin berlakon dalam filem biopik atau naskhah seram, namun saya sebenarnya takut untuk membintanginya. Mungkin pada masa hadapan, saya lebih berani untuk mencuba,” katanya sambil ketawa.
Meerqeen yang pernah mengeluarkan lagu Menunggu pada 2021, berkata bahawa fokusnya kini pada lakonan.
“Rezeki saya lebih pada berlakon dan saya telah jatuh cinta dengan lakonan. Namun, saya tidak menolak jika watak saya dalam filem biopik itu memerlukan saya menyanyi,” ujarnya.
Beliau yang merupakan anak sulung antara lima beradik, menyifatkan keluarganya sebagai sumber kekuatan dirinya untuk terus berkarya dalam industri seni.
“Keluarga saya adalah motivasi utama saya. Kalau saya dapat gaji, saya tidak akan belanjakan untuk diri saya dahulu.
“Sebaliknya, saya akan utamakan keperluan keluarga saya. Saya membawa nama keluarga dalam apa saja bidang yang saya ceburi,” tambahnya, yang mempunyai adik lelaki berusia empat tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg