Kedekatan dan keakraban persahabatan yang lama terbina antara penghibur kelahiran Singapura, Roslan Shah, bersama personaliti Malaysia, Datuk Ifa Raziah, enggan diperlekeh lagi.
Kadangkala bak peribahasa ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’, Roslan, 55 tahun, akur beliau perlu lebih peka tentang hati dan perasaan seorang kawan, dalam apa jua tutur bicaranya meskipun setakat bergurau.
Sebab perkara kecil boleh meledak menjadi besar.
Salah faham, sebagaimana yang berlaku antaranya dengan Ifa, kini 49 tahun, tujuh tahun lalu (2018), mampu membawa pada perang dingin yang membuatkan kededuanya sentiasa dibelenggu rasa tidak tenang apabila tidak lagi bertegur sapa.
Mujurlah, jambatan persahabatan yang pernah suatu ketika goyah, apabila Roslan membuat laporan polis pada 2018 sehingga Ifa dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan, selepas timbul dakwaan kononnya dirinya mengupah seorang pembunuh untuk menembak Roslan, kembali utuh perlahan-lahan.
Ifa juga membuat laporan polis selepas dikejutkan dengan tuduhan Roslan itu, yang dianggap cukup serius dan menjejas nama baiknya.
Ternyata, masa yang berlalu begitu cepat mengubati jiwa kededuanya yang tertekan, sedangkan suatu ketika, mereka adalah rakan seni yang mampu bekerjasama dengan ceria, malahan memiliki keserasian apabila digandingkan sebagai rakan pengacara bagi majlis korporat, Hari Raya atau Hari Ibu.
Dengan segalanya kini hanya tinggal kenangan pahit yang ingin dipadam daripada sejarah kehidupan, Roslan berjanji kepada dirinya bahawa beliau akan menjaga persahabatan dan ukhuwah (persaudaraan) bersama Ifa sekeluarga agar tidak menggores lagi perasaan rakannya itu.
Malahan, sejak mereka berbaik-baik semula dan membuka hati untuk berdamai fasa demi fasa lewat 2024, Roslan mendapati rezeki mencurah-curah baginya mengacara bersama Ifa bagi acara Hari Raya di Malaysia dan Hari Ibu di Singapura.
“Saya pernah kata, kalau Ifa terima saya kembali sebagai sahabatnya, kami tak akan serapat dahulu dan jaga batas berbual bila perlu, agar tidak terlalu rapat sampai gores perasaan satu sama lain.
“Tapi entah bagaimana, Allah buka hati saya untuk kembali jadi sahabat karib, malahan lebih baik daripada sebelum ini.
“Saya takkan lupa kawan yang banyak berjasa dengan saya, khususnya dalam memperkenalkan saya kepada rangkaian kenalan untuk tebarkan sayap ke Malaysia, ketika saya tidak dikenali di Malaysia.
“Arwah mak Ifa layan saya macam anak sendiri, sampai kata Cik Lan (panggilan buatnya) bikinlah rumah ‘Makcik’ macam rumah sendiri,” kongsi Roslan, atau nama sebenarnya, Roslan Udin, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi Zoom, baru-baru ini.
Roslan juga mendedahkan arwah sahabat karibnya, yang dikenali sebagai Asri, pernah berpesan dengannya agar tidak membiarkan permusuhan dengan Ifa berpanjangan.
“Semasa saya jatuh sakit, saya teringat tentang kematian. Kalau saya meninggal, tak naklah sampai saya ni tidak dimaafkan atau masih menyakitkan hati sesiapa.
“Sepanjang tidak bertegur sapa dengan Ifa, saya malahan pernah bermimpi lima kali tentang Ifa dan suaminya, Mohd Yani Abdul Rahman, yang memang baik hati.
“Saya kembali mencari nombor telefon bimbit Ifa daripada kenalan sebab saya dah lama ‘block’ nombornya. Dah hilang pun nombor tu daripada simpanan.
“Apabila dah dapat, saya kirim pesanan melalui Whatsapp. Tapi Ifa tak jawab pula. Sedih hati saya,” kongsi Roslan dengan nada sebak.
Menurutnya, usahanya untuk meminta maaf dan mengucap salam takziah kepada Ifa yang kehilangan adik bongsunya, yang mesra dengan panggilan Ana, pada lewat 2024 semasa satu acara dagangan di Singapore Expo, menjadi titik tolak mereka perlahan-lahan kembali bertegur sapa.
“Saya tebalkan muka atas nama silaturahim, nak mengucapkan salam takziah walaupun Ifa nampak macam tak begitu melayan saya.
“Saya kenang adiknya Ana, dan ingin sedikit sebanyak bantu lima anaknya yang ditinggalkan, dengan sedikit perkongsian rezeki,” ujar Roslan.
Di pentas acara perdagangan itulah, Roslan dan Ifa dipanggil untuk menaiki pentas untuk menyampaikan apa yang membuku di hati selama ini kerana konflik dan dilema yang diharungi.
Tempoh menyentuh perasaan terjadi apabila kededuanya mampu mengetepikan ego masing-masing dan berdamai sehingga menitiskan air mata masih terpahat di ingatan Roslan.
“Kami dah berjurai air mata. Penonton dan peniaga di acara dagangan itu pun ikut sebak.
“Sejak itu, kami kembali membantu satu sama lain, dalam soal meniaga dan kerjaya seni.
“Kami sempat adakan sidang media di Malaysia bagi mengumumkan jalan damai yang kami pilih dan menekankan ia bukan gimik atau bukan untuk kandungan media sosial,” jelasnya.
Usaha mengembalikan silaturahim yang terputus itu, ternyata membuka pintu rezeki buat kededuanya beraksi bersama sebagai pengacara seperti dahulu, misalnya dalam acara Hari Ibu, kendalian kafe masakan kampung serta khidmat katering, FAME by Dadscorner di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat.
“Gandingan Ifa dan saya memang serasi. Orang suka apabila kami berlawak dan mengusik penonton dengan idea ‘gila-gila’ kami.
“Ada ketikanya kami bikin penonton menangis, mengenang jasa ibu mereka,” tambah Roslan.
Baginya, persahabatan unik bersama Ifa itu adalah rezeki.
“Syukurlah, Allah buka rezeki untuk kami berbaik-baik semula.
“Saya tersentuh melihat artis lain seperti Afdlin Shauki dan Que Haidar, Umie Aida dan Datuk Rosyam Nor, serta Nora Danish dan Fasha Sandha, berbaik-baik semula secara terbuka.
“Dengan rezeki persahabatan kami yang membawa pada gandingan kami semula dalam pelbagai acara, saya pun ajak Ifa dan keluarganya untuk menunaikan umrah sebelum penghujung 2025.
“Pada Ramadan lalu, Ifa sudah menunaikan hajat kerjakan umrah Ramadan. Saya tak dapat ikut serta kerana terikat dengan komitmen tugas pemasaran acara Mangobossku.
“Kini, saya dan Ifa bersemangat menabung untuk ibadah kami di Tanah Suci.
“Kami nak perbaiki diri dan akan kerjakan umrah buat orang-orang tersayang yang sudah tiada lagi,” jelas Roslan, dengan penuh kesyukuran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg