Sekejap nak cerai, sekejap tak jadi nak cerai.
Sekejap dah cerai, kemudian rujuk balik tak sampai berapa lama.
Hai...apa kisahnya dengan penyanyi, Datuk Wan Norafiza Datuk Wan Ariffin dan suaminya, Dr Rushdi Ramli?
Apakah penyanyi lagu terkenal, Di Persimpangan Dilema, betul-betul diulit dilema sampaikan membuat peminatnya berteka-teki dengan status perkahwinan keduanya ini?
Terus terang saya katakan naik bosan dan penat pula baca cerita-cerita sebegini yang membawa pada persoalan “Ya?” atau “Tidak?”.
Ceritanya bagaikan gantung tak bertali.
Lama-kelaman dalam keadaan keliru, senang cakap, tak payahlah nak ambil ‘port’ hal rumah tangga orang, khususnya artis, yang dilanda badai mahligai yang sentiasa goyah walaupun saban hari kita ‘disuapkan’ dengan berita sebegini.
Saban hari, ada sahaja kes artis yang dilanda ujian hidup dan bercerai.
Ada pula kes cerai tahap ‘kronik’ yang sukar mencari jalan penyelesaian dengan aib demi aib mereka yang terbabit didedahkan.
Saya tidak keseorangan, malahan beberapa teman yang mengikuti perkembangan berita hiburan dan netizen yang sentiasa mencurah pandangan di media sosial akan terasa bingit dengan tajuk berita seperti ‘Nora Ariffin gembira suami tak lafaz cerai - ‘Rupa-rupanya dia masih sayang saya’.
Seorang netizen menulis: “Datuk Nora...rasanya lebih baik awak fokus kepada kerjaya nyanyian awak kalau masih nak menyanyi. Kes sekejap nak cerai, sekejap tak jadi nak cerai ni jejas imej awak. Bagi kami yang minat awak, kami kasihan tetapi dah jadi macam drama sinetron 100 episod. Penatlah.”
Banyak perkara yang tercetus daripada kisah Nora dan Dr Rushdi, termasuk kisah isteri pertama pensyarah kanan ini dan anak-anaknya, yang tidak begitu merestui perkahwinan ini, dengan balasan kata-kata di media sosial, yang tidak manis.
Peminat Nora, saya kira ingin melihat ketenangan bintang kesayangan mereka, seperti dahulu, walaupun pada ketika itu, beliau berstatus ibu tunggal setelah pemergian suaminya, komposer Allahyarham Johan Nawawi.
Kita baca isu perceraian selebriti yang dahulunya merpati dua sejoli seperti Nur Fazura dan Fattah Amin atau Diana Danielle dan Farid Kamil.
Diana dan Farid cuba berbaik semula tetapi sudah ditakdirkan mereka tidak dapat hidup bersama.
Memang sebagai orang luar, kita tak tahu duduk perkara sebenar dan setakat membaca laporan yang disiarkan media seberang.
Sulit nak komen isu-isu sebegini meskipun kalau kerap disajikan dengan berita kepahitan hidup berumah tangga, kita pun tertanya-tanya: “Alahai, tak ada berita lain ke?”
Artis memang menjadi teladan buat peminat mereka, kalau mereka menunjukkan perkara yang positif.
Apabila Abby Abadi mula dedahkan kisah silam mantan suaminya, Norman Hakim, baru-baru ini, dan mengaitkan tentang sikap Norman yang enggan membantu dari segi kewangan untuk anaknya membeli kereta, sedangkan beliau mampu membeli kereta mewah, ramai yang berharap perselisihan faham antara mereka akan dihentikan.
Sebagai orang yang sukakan perkara positif (tanpa mengetepikan ada masanya ujian tidak dapat dielakkan), lebih tenang hati membaca tentang artis yang berbaik-baik semula selepas lama bermasam muka.
Saya menghubungi pengacara, Roslan Shah, dan penyanyi serta pelakon, Ifa Raziah, baru-baru ini, selepas mereka mengumumkan persahabatan mereka kian pulih selepas tujuh tahun bermusuhan kerana tidak tahan dengan kata-kata yang menggores hati.
Kalau orang kata timbul masalah dalam rumah tangga kerana ‘seven year’s itch’ (frasa Inggeris yang digunakan bagi menjelaskan hubungan romantis yang hilang kemanisannya selepas tujuh tahun bersama), nampaknya tujuh tahun menyepikan diri buat Roslan dan Ifa, berakhir dengan hubungan silaturahim yang kembali terjalin demi kebaikan.
Saya akan berkongsi lebih lanjut mengenai perjalanan hidup yang membuka hati kededuanya untuk berbaik-baik semula pada kesempatan lain dalam satu rencana penuh, tetapi cukup untuk saya katakan, kesan daripada ukhuwah yang terbina semula adalah rezeki yang bertambah buat kededuanya.
Kata Roslan: “Kalau kita pulihkan hubungan, percayalah...rezeki bertambah. Sekarang, orang ramai di Malaysia dan Singapura, tahu kita dah berbaik-baik semula. Penganjur acara pun akan panggil kita berdua untuk mengacara bersama. Macam dulu sebab ada keserasian.”
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Mungkin untuk dua sahabat yang tiada ikatan cinta, lebih mudah.
Berbeza dengan suami isteri yang membawa haluan masing-masing kerana keadaan. Pahit nak telan walau kemanisan pernah dinikmati suatu ketika dahulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg