Sezairi selami sejarah keluarga, satukan identiti dalam album terbaru
Sezairi selami sejarah keluarga, satukan identiti dalam album terbaru
Juara Singapore Idol (Musim 3) cabar diri, lancar ‘The Art of Surrender’ di bawah label sendiri
Sejak kecil, juara Singapore Idol (Musim 3) dan penggubah lagu, Sezairi Sezali, sudah merasa keunikan keluarganya berbanding rakan sebaya, terutama dalam bahasa harian.
“Masa kecil, saya bingung dengan suasana bahasa di rumah. Beberapa perkataan yang biasa kami guna berbeza dengan di sekolah.
“Saya pernah sebut ‘telor ceplok’ kepada kawan-kawan sekolah rendah, tapi mereka tak faham maksud ‘ceplok’ (telur mata lembu). Di rumah, saya terbiasa cakap bahasa Indonesia dengan ibu dan datuk, manakala di sekolah pula bahasa Melayu dan Inggeris.
“Dari situ, saya mula anggap latar belakang keluarga saya agak istimewa,” kata Sezairi, 38 tahun, dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM).
Namun, setiap kali penyanyi lagu Luarbiasa itu cuba menyelidik asal-usul keluarganya, ibunya, Allahyarhamha Cik Rubiah Chayan dari Pekalongan, Indonesia, enggan berkongsi secara mendalam.
“Bila ingat kembali pengalaman membesar dalam keluarga berketurunan campuran ini, saya rasa ia menarik. Tapi, bila saya tanya ibu atau datuk untuk tahu lebih lanjut, mereka nampak segan untuk bercerita. Mungkin mereka memilih untuk tidak mengenang fasa sukar membesar di Indonesia, dalam keluarga yang serba kekurangan dan penuh cabaran,” tambahnya.
Allahyarhamha Cik Rubiah telah kembali ke rahmatullah pada lewat Jun 2023, setelah sekian lama tabah melawan masalah jantung.
Bagi Sezairi yang telah membina kerjaya seni di Indonesia sejak 2014, kehadirannya dalam industri muzik negara itu bagai sirih pulang ke gagang.
Malah, keseronokan menyelami sejarah keluarga dan mendekati budaya Indonesia, sedikit sebanyak merungkai misteri yang sekian lama tersimpan di sudut hatinya.
“Sejak melangkah ke dalam industri muzik di Indonesia, negara itu sudah seperti rumah saya sendiri.
“Entah mengapa, saya selesa dengan bahasa dan kehidupannya.
“Saya tak perlu terlalu berusaha untuk mengalih bahasa. Ia mengalir dalam diri secara semula jadi.
“Melalui peminat juga, saya dapat tahu Pekalongan dikenali sebagai ‘kota batik’.
“Perkara itu seolah-olah melengkapkan kepingan maklumat yang hilang, kerana kebetulan datuk saya seorang penjahit.
“Dari situ, saya mula mempelajari sedikit sebanyak tentang latar keluarga saya berdasarkan cerita dan perkongsian orang ramai di sana,” ujar lulusan Diploma Teknologi Muzik dari Maktab Seni LaSalle itu.
Minat Sezairi mengejar kerjaya di Indonesia tercetus apabila beliau terlepas peluang menonton penyanyi Britain, Corinne Bailey Rae, di Esplanade pada 2011.
Ketika itu, pelantun lagu It’s You itu sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Namun, apabila mengetahui penyanyi kegemarannya itu akan membuat persembahan di Pesta Java Jazz, Sezairi tidak teragak-agak untuk terbang ke Indonesia, semata-mata demi menyaksikan persembahannya.
Tanpa disedari, pengalaman tersebut turut mengubah pandangannya terhadap muzik.
“Semasa menonton set persembahan antarabangsa di Pesta Java Jazz di Indonesia, saya terkejut kerana ruangan hanya separuh sahaja dipenuhi.
“Sebaliknya, persembahan artis tempatan mendapat sambutan hangat, dengan penonton menghafal setiap lagu dan bait lirik yang disampaikan.
“Pengalaman itu membuka mata saya tentang hebatnya sokongan masyarakat terhadap bakat tempatan mereka.
“Selain itu, saya membesar dengan mendengarkan karya Indonesia, maka lebih wajar jika saya menembusi pasaran muzik di sana berbanding di Malaysia,” kongsi Sezairi, yang baru sahaja mengeluarkan album terbaru berjudul, The Art of Surrender, pada akhir 2025.
Siapa sangka 12 tahun kemudian iaitu pada 2023, penyanyi lagu Restless Love itu berhasil memenuhi impian bagi memeriahkan lagi suasana pada Pesta Java Jazz, yang berlangsung di JI Expo Kemayoran, Jakarta.
Detik itu menjadi antara kenangan manis yang membawa nama Sezairi lebih dikenali di Indonesia.
“Sebagai anak seni dari Kota Singa, saya sedar kami mempunyai kelebihan kerana lebih mengenali artis di negara jiran, namun bakat dari Singapura pula tidak begitu dikenali di sana.
“Di Indonesia, saya sering dilihat sebagai wakil artis Singapura, terutamanya ketika terlibat dalam festival muzik di sana.
“Dalam mana-mana sesi wawancara, ramai yang akan bertanya bagaimana kami (artis Singapura) mampu bertahan dalam landskap muzik tempatan yang kecil.
“Perbincangan sebegini menarik kerana kami dapat berkongsi perspektif serta pemerhatian tentang perkembangan muzik bukan sahaja di Singapura, malah di Asia Tenggara,” ujarnya lagi.
Menyentuh tentang album terbaru, The Art of Surrender, Sezairi menganggap telah melangkah ke fasa paling peribadi dalam perjalanan seninya.
Album ini merupakan album studio kelima Sezairi serta projek sulung yang diterbitkan sepenuhnya secara berdikari di bawah label rakaman sendiri, Offlane Records, yang diasaskan bersama isterinya, Syaza Qistina Tan, 36 tahun.
Menggabungkan genre R&B, ‘soul’ dan pop Nusantara, album tersebut lahir daripada satu tempoh muhasabah diri dan usaha meraih kembali kebebasan kreatif, yang hadir sebagai cabaran namun turut memberi ketenangan bagi Sezairi.
“Album ini menampilkan gabungan lagu berbahasa Inggeris dan Indonesia sebagai cerminan identiti saya.
“Semakin lama berkarya, semakin saya ingin menyelami identiti diri sebagai anak Singapura berketurunan Indonesia.
“Saya membesar dengan menggunakan bahasa ‘rojak’ (campur) dan itulah yang cuba saya sajikan secara kreatif dalam setiap lagu.
“Jika didengarkan, lagu seperti Yesterday dan Kan Ku Nantikan menampilkan lagu Inggeris dalam nuansa Indonesia, serta lagu Indonesia dengan sentuhan ‘hip-hop’,” kata Sezairi.

