Sharifah Haneesya nafi ibu punca kurang tawaran, percaya rezeki ditetapkan
Sharifah Haneesya nafi ibu punca kurang tawaran, percaya rezeki ditetapkan
Pelakon dan peragawati Malaysia, Sharifah Haneesya, 25 tahun, tampil mempertahankan ibunya yang didakwa sering mengganggu pihak penerbitan demi menaikkan nama anak sendiri dalam industri seni.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu berkata, ibunya turut dituduh menjadi punca beliau kurang menerima tawaran lakonan.
Enggan terus membiarkan ibunya, Cik Nor Hasnida, 55 tahun, difitnah, Sharifah Haneesya atau nama sebenarnya, Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, menegaskan wanita itu tidak mempunyai masa untuk memburukkan anak orang lain semata-mata demi kepentingan peribadi.
“Mak saya tak ada masa nak pergi jumpa penerbit untuk hasut pasal anak orang lain semata-mata nak naikkan nama anak sendiri.
“Lambat lagi mak saya nak jadi ‘low class’ macam itu, okey. Maaf cakap.
“Apa-apa pun, saya suka mak berada di set penggambaran kerana saya rasa lebih selamat dan, pada masa sama, ia dapat mengelakkan pihak tertentu menjadikan saya sasaran,” tulisnya dalam hantaran tersebut, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut Sharifah Haneesya, beliau sudah beberapa kali mendengar tuduhan terhadap ibunya sehingga hampir ‘termakan’ kata-kata orang.
“Saya pernah tertanya-tanya kenapa mak perlu ikut saya setiap kali ke set, sedangkan saya sudah besar.
“Saya tak salahkan sesiapa, tetapi perasaan itu timbul selepas ada bisikan yang mengatakan punca saya jarang dapat ‘job’ kerana orang tak suka kehadiran mak saya di set.
“Itu kali pertama saya dengar khabar angin mengenai mak. Sejak itu, saya perasan mak kelihatan tegas dan seakan-akan suka menghukum orang,” katanya lagi.
Sharifah Haneesya turut berkongsi beliau kemudian menerima satu lagi aduan yang sama.
“Kali ini, telahan saya mengenai tuduhan terhadap mak memang tepat, tetapi saya nafikan kerana ia hanya berlaku ketika kecoh mengenai kes kelab malam.
“Tahun ini (2026) pula ada lagi bisikan yang saya terima.
“Individu itu bersemuka dan mengaku di depan saya menceritakan perkara sama.
“Namun, rupa-rupanya ada seseorang yang menyebarkan cerita kononnya mak boleh serang atau mengacau set penggambaran,” kongsi Sharifah Haneesya.
Bagaimanapun, beliau reda dengan ujian Allah dan percaya sepenuhnya kepada rezeki yang telah ditentukan.
“Saya paling percaya pada rezeki Allah. Kalau tahun ini (2026) ‘job’ saya cuma tiga, maka itu saja rezeki saya.
“Tak mengapa, percayalah apa yang didengar sentiasa ada sisi lain dalam setiap cerita.
“Pastikan mereka berada di pihak yang betul,” ujarnya yang dikenali menerusi drama Roti Cicah Susu, Mitos Cinta Akira dan Impiana: Karma.

