Daripada tutur bicara dan gerak geri tubuhnya yang anggun, terserlah satu aura yang memikat seolah-olah membawa wibawa tersendiri, lantas membuat sesiapa sahaja yang berada dekatnya berasa segan.
Begitulah penangan pelakon berpengalaman kacukan Inggeris-Melayu, Datin Sofia Jane, 53 tahun, apabila penulis berpeluang menemuinya di Kampus Mediacorp, baru-baru ini.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), beliau berada di Singapura bagi rakaman program realiti terbaru terbitan Oonik, Berani Lakon!
Sejak kemunculan awal beliau dalam dunia seni pada 1980-an, Sofia telah membina sebuah kerjaya luar biasa yang merangkumi perjalanan lebih 30 tahun hingga menjadi antara ikon paling disegani dalam industri hiburan Malaysia.
Dalam podcast Studio Sembang yang dihoskan pelakon dan jelitawan, Amelia Henderson, Sofia menceritakan beliau mula berkecimpung dalam dunia seni melalui bidang pengiklanan yang rancak pada era 1980-an.
“Saya ditemui oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, yang ketika itu merupakan seorang ejen bakat.
“Pada satu hujung minggu, beliau ternampak saya bersama ibu saya dan bertanya sama ada saya ingin bergambar.
“Saya rasa perkara itu agak janggal kerana ketika muda dulu, saya berpenampilan agak tomboy.
“Rambut saya pendek, dan pakaian saya hanya seluar jean dan kemeja putih saat itu.
“Beliau kemudian memberi saya peluang pertama dalam satu iklan.
“Pada era 1980-an, industri pengiklanan berkembang sangat pesat. Jadi, untuk mendapatkan peluang dalam sebuah iklan, kami perlu rajin menghadiri ujibakat.
“Namun, walaupun saya menikmati pengalaman itu, saya rasa bidang itu bukan untuk saya. Pekerjaannya terlalu kaku, jadi saya tidak begitu menyukainya,” ujar Sofia.
Beliau kemudian mengawali langkah dalam arena lakonan menerusi watak Azizah dalam filem, Mira Edora, arahan Zulkifli M. Osman pada 1990.
Meskipun memiliki wajah kacukan atau ‘Pan-Asian’ yang sering menjadi perhatian, Sofia akur dibesarkan dalam suasana keluarga Melayu yang sederhana dan mesra.
“Pada 1980-an, saya akur ia merupakan era ‘Pan-Asian’ (ramai bangsa kacukan).
“Tapi saya tak rasa tersisih mahupun merasakan ada perbandingan dalam masyarakat, kecuali apabila berada dalam arena kerja khususnya, bidang seni atau pengiklanan.
“Sebelum memasuki arena kerja, saya tak pernah terfikir pun tentang hal itu.
“Pada masa itu, ada juga peragawan dan peragawati daripada bangsa lain, bukan sahaja ‘Pan-Asian’.
“Saya tak pasti bagaimana naratif tentang ‘Pan-Asian’ muncul. Malah, perbualan itu sering diulang-ulang tanpa ada kesudahannya.
“Waktu kecil, saya membesar dalam keluarga Melayu yang sangat mesra, sama seperti yang lain,” kata Sofia dalam podcast Studio Sembang.
Tidak hanya itu, beliau, yang telah berumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Meor Zain Azman Mohamad Taib, sejak 1995 dan mempunyai empat orang anak itu, turut bergiat dalam bidang teater.
Antara naskhah yang beliau terlibat ialah, Visits, arahan pelakon dan pengarah teater, Allahyarham Jit Murad, yang menyentuh tema mengenai kesihatan mental, peranan seorang ibu dan status kelas dalam masyarakat.
Naskhah itu mengetengahkan tiga watak wanita yang hanya dikenali sebagai ‘Nurse’ (Jururawat), ‘Woman’ (Wanita) dan ‘Sister-in-Law’ (Kakak Ipar).
Dipentaskan buat kali pertama pada 2002, karya teater itu kembali semula pada 2025 di bawah arahan Ida Nerina, yang lebih dua dekad kemudian melihat temanya bukan sahaja kekal relevan, malah semakin penting untuk diketengah dan dipentaskan pada masyarakat.
Pada 2002, Sofia memegang watak ‘Sister-in-Law’.
Bagaimanapun, bagi karya Visits yang dipentaskan semula sempena JitFest 2025, Sofia membawakan watak ‘Nurse’.
Bagi pelakon Sayang Salmah itu, medan teater ialah ruang yang mampu memperluas dan memperkukuh pengalaman seorang seniman.
“Teater merupakan satu dunia seni, yang mana saya rasa, setiap pelakon dapat merasakan denyutan nadi kesenian yang kukuh.
“Ini kerana terdapat naskhah yang tidak biasa dibawa ke layar perak atau kaca televisyen disebabkan naratif yang mungkin tidak dapat ‘melariskan’ filem itu, mahupun mendapatkan sambutan daripada penonton,” kongsinya kepada BH.
Menyentuh pula tentang filem seram terbarunya, Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad dan terbitan Astro Shaw, Sofia berkata beliau berasa teruja berpeluang turut serta dalam naskhah digerakkan oleh pengkarya muda, yang dapat menampilkan perspektif berbeza tentang watak wanita dalam sesebuah karya.
“Di usia 53 tahun ini, saya tak sangka ditawarkan memegang peranan sebagai Sarimah dalam Malam Terlarang.
“Saya juga senang dapat bekerja dengan penulis skrip muda yang berfikiran luas. Kini, kita dapat lihat pelakon wanita tidak terhad membawa watak yang sama sahaja.
“Mereka tahu kami sebagai pelakon wanita dapat menyumbang lebih daripada sekadar watak wanita biasa dalam layar perak.
“Ini merupakan satu fasa yang menarik bagi saya sebagai seorang pelakon di zaman ini.
“Watak wanita dalam sesebuah karya pada masa ini juga haruslah relevan mengikut keadaan sosial dan semasa,” katanya lagi.
Di samping itu, filem Malam Terlarang turut menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Aila Azizul, Sharifah Haneesya, Hasnul Rahmat, Normah Damanhuri, Amir Nafis dan Sadiq M. Jamil.
Buat julung-julung kalinya, Sofia turut diundang sebagai juri undangan bagi program realiti terbaru terbitan Oonik, Berani Lakon!, yang akan memulakan siaran pada 16 Disember, di saluran Mediacorp Suria.
Bercakap mengenai program tersebut, Sofia menyifatkannya sebagai sesuatu yang menarik kerana memberi peluang kepada personaliti di luar bidang lakonan untuk menonjolkan bakat mereka.
“Individu dalam industri hiburan ini hadir dalam pelbagai bentuk, tetapi belum pernah mencuba lakonan.
“Kadang-kadang kita tidak sedar bakat itu wujud.
“Ini lantas dapat memberi kepelbagaian dan keunikan kepada seorang penggiat seni, selain membuka ruang untuk meneroka perkara baru,” jelas Sofia.
Berani Lakon bakal ditayangkan setiap Selasa, bermula 8.30 malam di Mediacorp Suria.
Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch dan laman YouTube Mediacorp Entertainment.
“
Saya juga senang dapat bekerja dengan penulis skrip muda yang berfikiran luas. Kini, kita dapat lihat pelakon wanita tidak terhad membawa watak yang sama sahaja. Mereka tahu kami sebagai pelakon wanita dapat menyumbang lebih daripada sekadar watak wanita biasa dalam layar perak. Ini merupakan satu fasa yang menarik bagi saya sebagai seorang pelakon di zaman ini. Watak wanita dalam sesebuah karya pada masa ini juga haruslah relevan mengikut keadaan sosial dan semasa.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg