Sharifah Sakinah mengakui hidupnya lebih bahagia apabila memilih menjauhkan diri daripada media sosial.
Sakinah atau nama penuh, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 39 tahun, memberitahu keputusan untuk tidak terlalu aktif dalam media sosial dibuat demi kebahagiaan diri dan keluarga, selain tidak mahu mengundang aura negatif.
“Saya tidak tahu apa yang jadi dalam media sosial sebab saya tutup semua akaun. Apa yang dilalui sekarang menyeronokkan. Kalau terlampau ‘jual’ kehidupan peribadi pun tidak elok sangat. Saya ada anak, jadi, saya hendak tutup ‘evil eye’ (prasangka buruk khalayak).
“Orang tidak akan gembira dengan kejayaan kita atau beri sokongan. Kita tidak tahu apakah orang akan cakap baik atau tidak.
“Saya fikir sudah dua atau tiga bulan saya tidak buka (media sosial). Kalau ada hantaran pun, bukan saya yang muat naik,” katanya.
Sakinah mendakwa tahu mentaliti khalayak yang mengikutnya dalam media sosial.
“Saya tahu bagaimana mentaliti mereka. Saya mahu mereka henti gosip. Sebagai ‘public figure’, saya tahu ada tanggungjawab untuk beri kebaikan, bukannya bawa sesuatu yang negatif,” katanya ditemui Berita Harian Malaysia pada Pesta Unifi TV Lagi Best di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Sakinah turut berkongsi akaun media sosialnya kini diurus kakaknya yang hanya memuat naik hantaran berkaitan kerjaya.
“Mungkin saya akan perlukan media sosial kalau berniaga. Namun, sekarang, saya hanya aktif berlakon dan jadi jurucakap produk jika ada yang mahu. Saya tidak mahu kongsi sebab kehidupan peribadi saya tidak sama dengan orang lain.
“Dari awal kemunculan, saya sudah dihakimi. Apa sahaja yang kita buat akan dihakimi. Dalam kita hendak buat kebaikan pun risau dituduh hipokrit. Jadi, jadi lebih baik kita tidak kongsi apa-apa.
“Kadang-kadang penat sebab ada masanya, kalau saya mahu rehat, saya rehat. Sekarang saya lebih gembira kerana tidak tahu gosip di luar,” katanya.
Sakinah yang menganggap diri sebagai pelakon yang lahir dalam era kegemilangan televisyen (TV) berpandangan media sosial bukanlah suatu keutamaan.
“Medium kita pada asalnya bukan dalam media sosial, era saya adalah TV. Jadi, saya mahu naikkan semula reputasi TV. Saya tidak mahu nanti semua pelakon mahu jadi ‘influencer’, bukannya pelakon sebenar,” katanya.
Sakinah berkata langkah menyerahkan urusan memuat naik hantaran media sosial kepada kakak dibuat demi menjaga kesihatan mental.
“Saya sejak dahulu pun tiada apa-apa, malah, bangkit tanpa populariti kakak-kakak saya. Apa yang saya ada sekarang sangat disyukuri.
“Kita kerja keras untuk sampai ke tahap ini. Apabila kita percaya diri dan bakat, kita tidak ragu-ragu lagi dengan kehidupan.
“Kita kena pegang prinsip kita sendiri. Jika tidak, kita bagai terus menghambakan diri sendiri,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg