Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sheqal ditidurkan susulan pernafasan tidak mantap

Jun 8, 2025 | 10:16 AM
Sheqal, ditidurkan, paru-paru berair, Konsortium Industri Muzik Malaysia, Irama
Presiden Konsortium Industri Muzik Malaysia atau Irama, Ayob Abdul Majid (kiri), bersama penyanyi, Sheqal. - Foto FACEBOOK AYOB ABDUL MAJID

Penyanyi Sheqal yang popular menerusi lagu Cinta Nusantara pada era 1990-an ditidurkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, sejak 5 Jun.

Isteri Sheqal, iaitu Cik Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM) berkata paras oksigen suaminya menurun dan dinasihatkan oleh doktor untuk ditidurkan.

“Ya, suami saya dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar pada 5 Jun. Saya hubungi ambulans dan bila diperiksa, oksigen menurun sampai 62 peratus. Itu yang dibawa terus ke Hospital Tuanku Jaafar dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Pernafasannya tak stabil dan doktor nasihatkan ditidurkan kerana ada jangkitan kuman pada paru-paru dan juga paru-paru berair,” katanya kepada BHM.

Berkongsi lanjut mengenai perkembangan kesihatan Sheqal, atau nama sebenarnya, Shahrin Salehuddin, Cik Normah berkata mengikut makluman doktor, keadaan suaminya sudah bertambah baik pada 6 Jun.

“Air sudah dibuangkan dan kemudiannya, doktor nak pantau penyakit lain kerana kemungkinan ada yang perlu diperiksa. Saya difahamkan doktor sudah buat imbasan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer), malam tadi.

“Setakat pagi ini, suami masih lagi ditidurkan. Doktor tak pasti bila nak disedarkan. Tapi, alhamdulillah oksigen sudah naik dan masih dalam pemantauan.

“Sheqal ada penyakit strok dan sudah kena sebanyak empat kali. Suami juga ada penyakit buah pinggang tahap empat, malah darah tinggi dan kencing manis pun ada,” katanya.

Sementara itu, Presiden Konsortium Industri Muzik Malaysia atau Irama, Ayob Abd Majid, berkata beliau dimaklumkan oleh Cik Normah mengenai keadaan penyanyi itu, pada 6 Jun.

“Saya dapat maklumat daripada Normah yang Sheqal dimasukkan hospital dan ditidurkan, malam tadi. Kalau tidur, selalunya kita tak boleh nak kongsi banyak. Memang sensitif nak cakap soal bila ditidurkan.

“Sheqal mempunyai penyakit tiga serangkai dan oksigen tak stabil. Dia sudah lama sakit. Saya pernah sarankan ubati penyakit strok yang dialami di Muar, Johor. Jadi, kita doakan kesihatannya kembali pulih, insya-Allah,” katanya.

Penyanyi berusia 60 tahun itu kini perlu menggunakan kerusi roda akibat empat kali diserang angin ahmar sejak 2020 dan terakhir tiga tahun lepas (2022). Sheqal turut menghidap sakit buah pinggang tahap empat.

Semalam (6 Jun), Ayob berkongsi menerusi hantaran di Facebook mengenai perkembangan kesihatan Sheqal.

“Beliau kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Mohon semua rakan-rakan dan kenalan mendoakan agar Sheqal segera pulih dan kembali sihat seperti sediakala. Doa anda semua sangat bermakna pada saat-saat begini,” katanya.

Sebelum ini, Sheqal pernah berkongsi dengan BHM beliau kini tidak lagi mampu bekerja sejak diserang penyakit angin ahmar sejak 2023.

“Saya menghidap penyakit buah pinggang, strok sebanyak empat kali dan saya cakap juga tidak jelas, sekarang baru boleh bercakap.

“Selama lima tahun dilanda sakit, saya baru sahaja boleh bercakap selepas menerima rawatan di Muar, Johor. Persatuan Karyawan Malaysia menghantar saya menerima rawatan di sana. Dulu saya terlantar sahaja, tak boleh berdiri, tapi sekarang semakin baik,” katanya.

Berikutan penyakitnya, Sheqal berkata perniagaannya terjejas, malah tidak lagi boleh menyanyi, justeru menzahirkan minatnya terhadap seni menerusi menulis dan melukis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg