KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelawak dan pelakon, Shuk Sahar iaitu Fara Salleh mengesahkan dirinya diceraikan melalui panggilan telefon, pada 7 April.
Fara, 33 tahun, mendakwa Shuk atau nama sebenar, Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 39 tahun, mendapatkan khidmat ejen dari Pejabat Agama Satun, Thailand untuk menguruskan proses lafaz cerai itu.
“Ya, memang ada lafaz cerai daripada Shuk. Lafaz dibuat menerusi panggilan telefon dari Pejabat Agama Satun, Thailand.
“Dia menggunakan ejen di sana, kemudian ejen yang buat klarifikasi mengatakan suami saya ada datang untuk buat pengesahan lafaz cerai.
“Selepas lafaz, selesai macam itu sahaja. Saya dengar (lafaz cerai), memang dia,” katanya kepada BH Online.
Fara mendakwa, sebelum lafaz cerai dibuat, tiada sebarang perbincangan atau usaha untuk berjumpa Shuk.
Sehubungan itu, Fara akan meneruskan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Segamat, Johor pada minggu depan.
“Dia tak bercakap dengan saya, tapi gunakan orang tengah. Dia hanya lafaz sahaja, malah tak ada bincang apa-apa.
“Shuk juga tak ada cakap atau mahu berbincang. Semasa raya pun tak datang.
“Saya tetap akan teruskan proses pengesahan cerai di Mahkamah Syariah Segamat pada 15 April ini,” katanya
Semalam (7 April), Fara berkongsi satu rakaman video di Instagram yang memaparkan panggilan telefon daripada ejen untuk menguruskan proses lafaz cerai daripada Shuk.
Fara mendirikan rumah tangga dengan Shuk pada November 2023.
Sebelum itu, Shuk pernah mendirikan rumah tangga bersama Rossa Sera, namun bercerai pada 22 Mac 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg