Terasa bagaikan baru semalam Biduanita Negara dan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, memukau perhatian ramai di pentas The Star Theatre pada 28 dan 29 Jun 2024.
Dalam masa lebih setahun selepas itu, Siti, 46 tahun, kembali di Stadium Tertutup Singapura pula, pada 26 Julai, bagi konsert The Next Wave, Live in Singapore!, yang dinanti-nantikan peminatnya.
Konsert itu sangat bermakna bagi Siti yang kali terakhir membuat persembahan di pentas yang sama dua dekad lalu pada 2005.
Beliau kembali dengan gelombang tenaga dan landskap bunyian baru di samping menjanjikan konsert satu malam yang tidak akan dilupakan oleh peminat.
Setelah berada dalam industri seni selama 30 tahun, pelantun lagu, Cindai dan Bukan Cinta Biasa itu membuktikan keunggulannya sebagai ikon muzik, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara jiran, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Dalam satu kenyataan penganjur, Biz Trends Publishing Pte Ltd, The Next Wave dikatakan bukan sekadar sebuah konsert, namun menjadi lambang kebangkitan baru dan kesegaran persembahan buat peminat Siti di Singapura.
“Konsert ini juga menandakan fasa transformasi Datuk Siti sejak 1996 hingga kini.
“Para peminat diundang untuk menyaksikan pertembungan antara nostalgia dengan masa hadapan dalam arus gelombang evolusi seorang legenda seni,” jelas kenyataan itu lagi.
Para penonton bakal disajikan dengan persembahan hebat yang menggabungkan rangkaian lagu-lagu lama serta karya terbaru beliau.
Tiket berharga $288, $258, $228, $188, $158, $138 (pandangan terhad) dan $98 (pandangan terhad), telah mula dijual di laman web, Sistic (www.sistic.com.sg).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg