KUALA LUMPUR: Terkesan dan atas dasar simpati, Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan hasrat menyalurkan sumbangan kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Selangor, baru-baru ini.
Meskipun masih belum berpeluang menziarah mangsa ditimpa musibah, namun Yayasan Nurjiwa akan mengambil maklum mengenai tragedi itu.
Yayasan Nurjiwa merupakan badan kebajikan yang dimulakan Datuk Siti bersama suaminya, Dato Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 2006.
“Saya ambil tahu juga mengenai tragedi berlaku di Putra Heights dan dapat tahu daripada kenalan, cuma tak berpeluang nak ke sana.
“Jadi, saya banyak bertanya khabar dan baca banyak laporan berita mengenai insiden ini. Yayasan Nurjiwa akan ambil maklum perkara yang membabitkan tragedi ini.
“Masih lagi bercuti hari raya dan insya-Allah, esok (7 April) semua kakitangan akan mula bertugas seperti biasa,” katanya ditemui pada majlis Siti Nurhaliza’s 30th Anniversary.
Kongsinya, bantuan dihulurkan diharap dapat meringankan beban ditanggung mangsa selepas kehilangan banyak harta benda, lapor Berita Harian Malaysia.
Penyanyi Raya Nak Ke Mana? itu bagaimanapun berasa lega kerana tragedi berkenaan tidak mengorbankan nyawa mana-mana individu khususnya penduduk di kawasan berkenaan.
“Kami akan lihat apa yang boleh lakukan untuk ringankan beban mangsa kejadian.
“Saya tak sangka letupan jadi begitu besar, tapi paling penting tiada nyawa terkorban dan kebanyakannya hanya memusnahkan harta benda.
“Jadi, insya-Allah rakyat Malaysia sangat prihatin dan akan cuba untuk meringankan kesusahan mereka. Mungkin akan ada gabungan dan kerjasama dengan pihak lain,” kata Siti.
Terdahulu, kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada 1 April menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg