Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siti Nurhaliza, Lesti Kejora cipta karya rentas sempadan, ‘Kumbang Bunga’

Oct 23, 2025 | 4:10 PM
Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza (kiri), mengundang keterujaan peminat apabila berkongsi poster duetnya bersama bintang dangdut popular Indonesia, Lesti Kejora (kanan), di laman Instagram baru-baru ini.
Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza (kiri), mengundang keterujaan peminat apabila berkongsi poster duetnya bersama bintang dangdut popular Indonesia, Lesti Kejora (kanan), di laman Instagram baru-baru ini. - Foto INSTAGRAM SITI NURHALIZA

Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46 tahun, mengundang keterujaan peminat apabila berkongsi poster duetnya bersama bintang dangdut popular Indonesia, Lesti Kejora, 26 tahun, di Instagram miliknya baru-baru ini.

Hantaran yang dimuat naik ke Instagram turut memperdengarkan sedutan ringkas lagu terbaru mereka berjudul, Kumbang Bunga.

Tampil mempesona dalam gaya busana tradisional, Siti memaklumkan lagu yang menggabungkan irama tradisional dan dangdut itu bakal dilancarkan di semua pelantar penstriman digital mulai 22 Oktober.

“Dua jiwa, dua negara berpadu dalam satu irama – Datuk Seri Siti Nurhaliza dari Malaysia, dan Lesti dari Indonesia.

“Lagu berjudul, Kumbang Bunga, menjadi saksi indahnya cinta muzik tanpa sempadan.

“Laksana songket bertemu batik, garapan indah irama Melayu dan sentuhan dangdut bersatu,” tulis Siti dalam hantaran berkenaan.

Menurut Berita Harian Malaysia (BHM), tidak sampai beberapa jam hantaran itu dimuat naik, ia telah meraih lebih 50,000 tanda suka dan hampir 1,000 komen daripada peminat yang teruja dengan pengumuman berkenaan.

Kerjasama itu bukan sahaja mengejutkan peminat tempatan, malah mencetus keterujaan di Indonesia apabila gandingan dua figura besar dunia hiburan serantau itu, diumumkan tanpa sebarang promosi awal.

Bagaimanapun, pada September, Siti dan Lesti sempat berkongsi pentas di acara Anugerah Televisyen Indonesia, sambil mendendangkan lagu Bukan Cinta Biasa.

“Tanpa sebarang amaran, tiba-tiba keluar esok. Tak sabar! Bismillah!,” tulis seorang peminat.

Tidak kurang juga dalam kalangan peminat tegar Siti dan Lesti yang mendoakan agar karya berkenaan menjadi projek duet paling berjaya pada 2025.

“Akhirnya, impian ingin melihat dua idola saya bersatu dalam lagu tercapai juga!

“Bismillah. Semoga lagi ini tular dan meraih sambutan,” ujar seorang lagi peminat.

Lagu Kumbang Bunga kini boleh didengarkan di semua wadah penstriman digital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg