Atas kejayaan lebih tiga dekad dalam industri muzik Malaysia hingga diangkat sebagai Biduanita Negara, penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46 tahun, menerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM 24), pada 14 September.
Siti menganggap pengiktirafan AIM itu sebagai pencapaian terbesar sepanjang 30 tahun mengabdikan diri dalam dunia muzik.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan izin dan rahmat-Nya, malam ini (14 September), saya berdiri di sini menerima Anugerah Sri Wirama – suatu penghormatan yang sangat besar dalam perjalanan seni saya.
“Jutaan terima kasih kepada AIM dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) atas pengiktirafan ini.
“Anugerah ini bukan sahaja untuk diri saya, malah untuk semua insan seni yang telah bersama-sama membina perjalanan saya selama lebih 30 tahun dalam industri muzik.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami tersayang, keluarga, pihak pengurusan, rakan seperjuangan, pencipta lagu, penulis lagu, penerbit dan media serta semua yang menjadi tulang belakang kerjaya saya.
“Tidak lupa juga kepada peminat yang saya kasihi sekalian, mereka yang setia memberi sokongan dan kasih sayang tanpa henti,” kata beliau ketika menerima piala di pentas pada acara yang disiarkan secara langsung TV2 dari Arena of Stars, Genting Highlands, Malaysia.
Di samping itu, Siti menyifatkan anugerah yang diperoleh sebagai tanggungjawab untuk dirinya terus berkarya.
“Bagi saya, anugerah ini adalah tanggungjawab untuk terus mengangkat muzik Malaysia dan memberi inspirasi kepada generasi baru.
“Kepada adik-adik dan artis muda, percayalah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah.
“Apa yang perlu adalah usaha berterusan, disiplin yang tinggi dan keikhlasan dalam berkarya.
“Jangan pernah takut untuk bermimpi besar kerana mimpi itulah yang akan menjadi api dalam perjuangan kita,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Siti turut berharap industri muzik tanah air akan lebih maju terutama di peringkat luar negara.
“Akhir sekali, saya dedikasikan anugerah ini kepada semua individu yang percaya bahawa muzik bukan sekadar hiburan, malah bahasa jiwa, penyatu bangsa dan warisan yang harus kita pelihara bersama.
“Terima kasih sekali lagi atas penghormatan ini.
“Semoga industri muzik kita terus mekar dan menjadi kebanggaan di mata dunia,” katanya lagi.
Pada majlis sama, Siti Nurhaliza turut tercalon dalam enam kategori termasuk Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa) menerusi lagu Senyawa.
Pencalonan kategori lain termasuk Vokal Wanita Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Album Terbaik.
AIM 24 disaksikan lebih 4,000 tetamu dengan pengiktirafan diberikan kepada 31 kategori termasuk Anugerah Sri Wirama yang diberikan kepada Siti Nurhaliza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg