Sitkom berbilang bangsa kembali hidup dalam drama mikro, ‘Chicken Rice and Second Chances’
Sitkom berbilang bangsa kembali hidup dalam drama mikro, ‘Chicken Rice and Second Chances’
Naskhah pendek Shortmen Productions angkat kisah penjaja dan cinta peluang kedua dalam suasana Singapura
Dari naskhah Under One Roof hingga Phua Chu Kang, sitkom klasik Singapura telah meninggalkan kenangan manis dan nostalgia yang kekal dalam ingatan penonton tempatan.
Pendekatan situasi komedi atau sitkom ini, kini menjadi inti pati utama dalam drama mikro terbaru, Chicken Rice and Second Chances atau ‘Nasi Ayam dan Peluang Kedua’, terbitan Shortmen Productions.
Karya yang memuatkan lima episod sekitar empat minit itu, turut bijak menyentuh hati dengan selera masyarakat tempatan, khususnya masyarakat Melayu.
Dengan menggandingkan tema makanan dan cinta peluang kedua, jenaka yang disajikan terasa lebih dekat dan mudah diterima kerana berhubungan dengan dengan rutin harian penonton.
“Tema yang paling dekat dengan masyarakat Melayu biasanya ialah makanan,” jelas Penerbit Eksekutif Chicken Rice and Second Chances sekali gus Pengarah Eksekutif Shortmen Productions, Shafie Mustafa.
“Dan hal pertama yang terlintas di fikiran, tentunya nasi ayam. Begitulah lahirnya inspirasi bagi kisah dalam drama mikro, Chicken Rice and Second Chances,” tambahnya.
“Kebetulan, penulis naskhah ini iaitu, Lea Samudera, baru sahaja menuliskan sebuah naskhah tentang ibu tunggal yang ingin mencari pasangan baru. Idea itu kemudian disesuaikan dalam drama pendek ini, yang turut menampilkan wanita matang yang sedang mencari pasangan menerusi aplikasi janji temu,” kata Shafie, yang dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.
Drama pendek ini mengisahkan dilema seorang wanita matang berusia 50-an tahun, Mary (lakonan Neo Swee Lin) dalam meniti dunia percintaan moden yang serba mencabar.
Di tengah-tengah keraguan terhadap janji temu siber, Mary dikejutkan dengan kehadiran semula cinta masa silam yang dicarinya selama ini.
Chicken Rice and Second Chances turut dijayakan pelakon berpengalaman berbilang kaum termasuk Neo, Melissa Sidek, Ahamed Ali Khan, Yuslina Yussof, Muzammil Elias dan Lim Kay.
Naratif karya ini diperkukuh dengan gubahan lagu latar hasil sentuhan kreatif komposer ternama, Mayuni Omar.
Naskhah ini merupakan antara karya terpilih bagi kempen Our Singapore, Our Stories atau SG Story, anjuran Persatuan Penerbit Bebas Singapura (AIPRO), dan turut disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Inisiatif yang diwujudkan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60) ini bertujuan membuka ruang kepada pengkarya tempatan berkarya dengan lebih bebas, di samping menyediakan sokongan bagi merealisasikan hasil karya yang bernilai.
Sebanyak 150 filem pendek berjaya dikumpulkan, memaparkan kepelbagaian identiti Singapura merentasi bahasa, kaum, dan genre filem – daripada komedi, dokumentari hinggalah animasi.
Malah, setiap pengkarya digalakkan meneroka pendekatan baharu yang segar, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif bagi menghidupkan lagi penceritaan filem pendek. Kumpulan naskhah pendek bagi kempen ini dimuat naik di laman TikTok SG Story.
Pengarah drama mikro berkenaan, Marhalim, berkongsi cabaran unik dalam mengimbangi elemen komedi antara filem berbahasa Inggeris dan Melayu, serta bekerjasama dengan pelakon berbilang kaum.
“Dari segi pengarahan, tiada banyak perbezaan. Namun, penceritaan bagi penonton berbilang bangsa memerlukan perhatian lebih, kerana komedi Melayu dan Inggeris seakan serupa tetapi tidak sama. Kami beruntung mendapat barisan pelakon ternama dan berpengalaman, maka tugas pengarahan ini sangat mengujakan,” ujarnya.
Selain itu, beliau akur format penggambaran dalam bentuk potret turut menambah cabaran tersendiri.
“Cabaran utama ialah mise-en-scene (susunan babak), di mana setiap babak perlu diceritakan dalam satu gambaran. Kekangan saiz gambaran memberi kesan kepada emosi pelakon, justeru setiap gambaran harus tepat.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna setiap gambaran perlu rapat. Kami harus lebih peka terhadap apa yang ingin disampaikan, supaya babak itu berkesan kepada penonton,” jelasnya lagi.
Menyentuh pula mengenai aspek penggunaan AI dalam dunia filem, Shafie akur teknologi ini mampu menjadi alat yang memudahkan dan mempercepat proses penghasilan karya.
“Dari segi penyuntingan, teknologi moden memang memudahkan dan mempercepatkan kerja. Tetapi, penyuntinglah yang benar-benar memberi warna dan kreativiti untuk memperkaya gambaran filem itu.
Bagaimanapun, AI menjadi alat yang membantu menjana visual dengan lebih pantas, berbanding cara tradisional yang memerlukan lebih banyak masa dan kesabaran,” kata Shafie.
Drama mikro Chicken Rice and Second Chances boleh ditonton di laman web SG Story menerusi pautan https://www.sgstory.sg/
Ia juga boleh ditonton melalui laman TikTok SG Story.

