Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat dengan sindrom Down penyeri drama ‘Keranamu Khadijah’

Siti Nairah Farid tidak kekok masuk set, mampu hayati pasang surut emosi watak Fatimah
Oct 27, 2025 | 5:30 AM
Siti Nairah Farid, ‘Keranamu Khadijah’ sindrom down
Daripada seni tari ‘hip-hop’, bakat istimewa dengan sindrom Down, Siti Nairah Farid, meneroka bidang lakonan dengan membawa watak Fatimah dalam drama hit, ‘Keranamu Khadijah’. - Foto POETRY IN MOTION

Air mata mengalir deras di pipi pelakon istimewa dengan sindrom Down, Siti Nairah Farid, dalam babak meratap sayu di pusara.

Ketika itu, watak yang dibawakannya selaku Fatimah dalam drama, Keranamu Khadijah, yang boleh ditonton di aplikasi mewatch, bagaikan hilang arah apabila ibu tersayang, Rokiah (lakonan Hashimah Hamidon), meninggal dunia.

“Ummi, Ummi... di mana Ummi?”

Kuat lantunan suara Siti Nairah, 24 tahun, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik, sambil mengulangi dialog yang terpahat dalam ingatan, ketika dihubungi Berita Harian (BH), baru-baru ini.

Ini merupakan kali pertama Siti Nairah berlakon selepas beliau secara tidak diduga, dilamar penerbit dari syarikat penerbitan, Poetry In Motion, Nusaibah Abdul Rahim, yang sedang mencari belia istimewa berusia 20-an tahun.

Sebelum ini, Siti Nairah hanya berminat menari ‘hip-hop’, bahkan cemerlang dalam kegiatan tersebut sehingga menjadi sebahagian kumpulan Sekolah Persatuan Golongan Berkeperluan Khas (APSN), yang memenangi Anugerah Pencapaian di peraduan Tarian Pesta Belia Singapura (SYF), pada 2019.

Bapanya, Encik Farid Omar Ismail, 62 tahun, pegawai teknikal di SMRT, memberitahu BH: “Sepupu saya sahabat Nusaibah.

“Menurutnya, Nusaibah sedang mencari pelakon remaja istimewa dan berminat datang ke rumah saya untuk menemui Nairah.

“Pada Hari Raya 2024, Nusaibah datang untuk berkenalan dengan kami sekeluarga.

“Selepas berinteraksi dengan Nairah, beliau menghubungi kami dan menyatakan hasrat melamar anak kami untuk drama, Keranamu Khadijah.

“Kami hairan sebab tiada wawancara diadakan. Tapi kata Nusaibah, Nairah memang semula jadi comel dan nampak macam dah sedia untuk ke set lakonan.

“Maka, tak perlu untuknya jalani latihan lakonan khusus. Dia nampak bersahaja dan mudah dilentur.”

Siti Nairah yang kelihatan lebih muda daripada usianya dan kelihatan bersahaja, akur pengalaman sulungnya berlakon cukup menyeronokkan.

“Saya buat macam biasa. Jumpa ramai kawan, dapat kenal pelakon Suria macam Kak Farhana M. Noor, Kak Shenty Feliziana dan Abang Syarif (Ahmad Syarifullah).

“Mereka semua baik, ramah dan suka membantu saya.

“Ada masa lapang, kami bergurau dan main TikTok,” jelas Siti Nairah, yang dibantu bapanya, Encik Farid, dalam menjawab soalan BH.

Pengalaman datang ke pelbagai lokasi set Keranamu Khadijah, sekitar tiga kali seminggu, membuka matanya terhadap kerja keras yang dilaburkan dalam dunia televisyen di Singapura.

Ibunya, Cik Marlinda Jual, 57 tahun, suri rumah, banyak membantunya dalam menghayati babak tertentu dan membaca skrip yang diberi pihak penerbitan.

Keranamu Khadijah yang awalnya disiarkan di saluran Mediacorp Suria menarik perhatian penonton drama Singapura, kerana mengetengahkan isu kekeluargaan dan bagaimana Khadijah (lakonan Farhana), dibelenggu dengan kehidupan mencintai lelaki yang mempergunakannya, di samping menjadi mangsa keadaan sehingga bertukar menjadi watak antagonis.

Turut disorot ialah kisah asatizah pempengaruh, Ustaz Dayyan (Syarif), yang berdepan dengan dilema menggunakan kaedah moden untuk berdakwah dan tentangan asatizah mapan terhadap penggunaan media sosial.

“Selepas seronok berlakon, Nairah jadi terbiasa dan akan tanya sama ada Nusaibah beritahu, bila nak datang ke set lagi? Beliau sampai tak kisah berlakon hingga enam jam lamanya sampai larut malam.

“Awalnya, saya dan isteri bimbang apakah Nairah akan rasa lelah dan meragam?

“Alhamdulillah, sejak kecil, beliau memang tiada masalah sukar nak tangani keadaan sekeliling.

“Orangnya tenang, tak stres dan mudah sayang dengan mereka yang ambil berat tentangnya.

“Malahan, beliau banyak ajar kami sekeluarga, saya, ibu dan abang-abangnya tentang erti belas dan menunjukkan kasih sayang secara ikhlas,” ujar Encik Farid mengenai nilai-nilai murni Siti Nairah.

Beliau bangga dengan satu lagi pencapaian seni anaknya itu, yang katanya mudah mesra dengan pelakon yang baru dikenali.

“Kami bercuti di Kuala Lumpur. Nairah bersungguh-sungguh nak singgah ke kedai churros Syarif yang baru dibuka di sana untuk menunjukkan sokongannya.

“Nak ambil gambar dan kirim kepada Abang Syarif, katanya,” jelas Encik Farid.

Cik Marlinda yang menawarkan khidmat sukarela dalam menangani keperluan golongan istimewa di sekolah istimewa yang memerlukan bantuannya pula menambah:

“Awalnya, memang kami sedih. Kesyukuran, bagaimanapun, terasa apabila doktor beritahu anak kami mempunyai Sindrom Down (Tahap Pertama), di mana beliau masih boleh lagi berfungsi, misalnya bekerja seperti orang biasa dalam sekitaran khalayak ramai.

“Tapi dengan keredaan, Allah bantu kami menjaga Nairah dengan lancar sebaik mungkin, untuk pastikan beliau jalani hidup penuh kebahagiaan, kasih sayang, sokongan dan mampu berdikari seperti belia lain.

“Saya selalu kata kepadanya, walaupun beliau anak istimewa, beliau mampu buat apa yang belia sebaya lain buat.

“Tapi, tak semestinya beliau istimewa, beliau boleh buat sesuka hatinya, tanpa dimarah meskipun buat silap.

“Saya tegas dalam perihal ini dan menyatakan apabila beliau buat silap, saya tetap marah dengan niat ingin perbetulkan kesilapannya dan melihatnya menjadi insan yang lebih baik.”

Satu perkara yang membuatkan Encik Farid dan Cik Marlinda gembira adalah peluang pekerjaan sebagai penolong perkhidmatan di restoran Seoul Garden (Cawangan HarbourFront Centre) sebanyak tiga hari seminggu, yang Siti Nairah galas selama empat tahun.

“Agensi sehenti bagi golongan kurang upaya, SG Enable, mengesan minat dan kebolehan Nairah dalam bidang makanan dan minuman (F&B) serta layanan tamu.

“Mereka merujukkannya kepada pihak Seoul Garden untuk bekerja.

“Nampaknya, beliau suka bekerja di situ, tiada masalah berinteraksi dengan pelanggan dan membuat kerja asas menyajikan makanan, bantu pelanggan buat tempahan meja semasa sekatan Covid-19 beberapa tahun lalu dan bermacam tugas lain.

“Mulanya, majikannya nak Nairah bekerja sepenuh masa tetapi saya yang lebih selesa Nairah tak bekerja pada hujung minggu untuk kami lakukan kegiatan keluarga.

“Alhamdulillah, Nairah suka bekerja di HarbourFront Centre walaupun lokasinya jauh dari rumah kami di Sembawang.

“Saya usulkan beliau berpindah ke cawangan lebih dekat tetapi Nairah pula tak nak sebab dah suka dengan suasana kerja di HarbourFront,” cerita Encik Farid.

Percubaan pertama Siti Nairah berlakon membuka jalan untuknya terus berkarya dan meraih kemahiran seni baru.

“Sebagaimana Nairah dapat mengerjakan umrah pada September 2024 dan bertawaf dengan penuh ketenangan dan ketekunan, saya ingin menyemaikan dalam dirinya semangat berani mencuba apa sahaja perkara yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya, tetapi wujud minat untuknya teroka.

“Sebagai ibu, saya hanya mahu lenyapkan segala tanggapan anak istimewa tak boleh buat itu dan ini.

“Apabila beliau seronok berlakon dan mendapat kenalan baru dalam dunia seni, saya lebih bersyukur dan menggalakkannya ke arah kebaikan,” ujar Cik Marlinda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg