Topic followed successfully
Go to BHkuSorok kehamilan? Fattah, Amira jawab desas-desus
Sorok kehamilan? Fattah, Amira jawab desas-desus
Pelakon filem, ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’, kongsi kemesraan Amira dan anaknya, Fatima
Sorok kehamilan? Fattah, Amira jawab desas-desus
Meskipun baru sahaja mendirikan rumah tangga selama tujuh bulan, pelakon, Fattah Amin, dan isterinya, Amira Othman, yang juga penyanyi, tidak terlepas berdepan dakwaan sedang menyorokkan kehamilan pertama.
Bagaimanapun, Fattah, 35 tahun, dan Amira, 32 tahun, mengakui masih memerlukan masa sebelum bersedia mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.
Menurut Fattah, mereka memilih menunggu waktu sesuai, namun tetap menghargai keprihatinan ramai.
“Seperti yang kami katakan sebelum ini, insya-Allah masa itu akan sampai.
“Sama ada cepat atau lambat, masa itu akan tiba apabila kami sudah bersedia untuk berkongsi.
“Buat masa ini, belum sampai lagi. Harap semua bersabar.
“Jangan risau, perkara baik tidak akan kami sorok. Jika ada berita gembira, kami akan maklumkan.
“Kami juga berharap peminat dan rakan media mendoakan yang baik-baik supaya segala urusan dipermudahkan,” kata Fattah, menerusi laman Berita Harian Malaysia (BHM), baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, pelakon filem, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, itu bersyukur apabila segelintir netizen menyifatkan dirinya kelihatan lebih ceria sejak mendirikan rumah tangga bersama Amira pada 14 September 2025.
Meskipun masih menantikan zuriat daripada perkahwinan kedua, Fattah akur hubungan isterinya dengan anaknya, Nur Fatima Aisya, enam tahun, terjalin cukup mesra.
Fatima merupakan anak hasil perkahwinan pertama Fattah dengan pelakon dan usahawan terkenal, Fazura, yang bertahan antara 2017 dengan 2024.
“Mira (panggilan buat Amira), sememangnya mudah mesra dengan kanak-kanak, apatah lagi kerana beliau mempunyai ramai anak saudara.
“Kami sekeluarga memang tahu beliau sangat menyayangi anak kecil. Di kediamannya di Johor Bahru, beliau sering dikelilingi ramai anak saudara.
“Malah, mereka memanggilnya ‘mummy’, yang jelas menunjukkan sifatnya yang penuh kasih sebagai seorang mak cik.
“Jadi, tidak timbul sebarang kesukaran baginya mendekati anak saya, Fatima. Dengan kehadiran Fatima dalam hidupnya, beliau menggalas peranan sebagai ibu tiri tanpa ada rasa kekok.
“Amira dan Fatima sangat mesra antara satu sama lain. Bagi saya, yang paling penting adalah kededuanya bahagia.
“Buat masa ini, Fatima memanggilnya ‘Aunty Mira’,” kongsi Fattah, dalam satu sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) apabila ditemui di acara dagangan, Absolut Bazar, pada 7 Mac, di Singapore Expo.
Sepanjang Ramadan lalu, pasangan itu memberi tumpuan kepada perniagaan dengan menyertai acara dagangan, Absolut Bazar, yang berlangsung antara 6 dengan 8 Mac.
“Tahun lalu (2025), kami juga berniaga di Singapura menerusi acara seumpama ini. Ketika itu, saya memperkenalkan jenama sendiri iaitu, FA.
“Namun, pada masa itu, saya sekadar menjual barangan asas seperti kemeja-T, dan membuka reruai atas minat ingin cuba-cuba sahaja.
“Kali ini sedikit berbeza kerana kami tampil lebih serius dengan membawa jenama, Emiera, yang menawarkan koleksi telekung, abaya atau jubah bagi wanita dan sarung tangan.
“Selain itu, kami turut memperkenalkan jenama keluarga, Ibu Azizah, yang diinspirasikan daripada nama ibu saya, dengan mengeluarkan beberapa koleksi tudung, daripada selendang ‘shawl’ hingga bawal.
“Memang agak sibuk menguruskan kededua jenama ini, dan sayalah antara ‘orang kuat’ yang mengendalikan dua perniagaan ini,” kata Fattah.
Sementara itu, menyentuh tentang lagu Raya, Bincang Raya, nyanyian Amira bersama adiknya, Irfan Haris, Amira menyifatkan penularan lagu itu di media sosial sebagai satu rezeki, meskipun hasrat untuk menghasilkan lagu Raya telah lama dipendam.
“Apabila lagu itu mula tular di media sosial sebelum diterbitkan secara rasmi, saya anggap ia sebagai satu rezeki, alhamdulillah.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak menjangka sambutannya begitu hangat dalam kalangan peminat, sehingga ramai yang menghasilkan kandungan mencuit hati menggunakan lagu tersebut.
“Lebih mengujakan, bukan sahaja saya dapat bekerjasama dengan adik sendiri, malah, Fattah juga terlibat sebagai pengarah muzik video.
“Ketika saya memperdengarkan lagu ini kepadanya, beliau yakin ia akan ‘meletup’.
“Sebab itu juga dia meluahkan hasrat untuk mengarah muzik video lagu ini,” kata Amira.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, lagu, Bincang Raya, meraih sebanyak 9 juta tontonan di wadah YouTube, dan 1.5 juta penstriman di Spotify.
Nampaknya kekecohan menentukan giliran beraya tidak begitu merunsingkan pasangan selebriti ini, kerana menurut Amira, beliau dan Fattah amat sederhana dalam menyambut Lebaran.
“Bagi kami, persoalan memilih tempat beraya terlebih dahulu tidak menjadi hal besar, walaupun kami masih baharu dalam alam perkahwinan.
“Saya dan Fattah sama-sama bersikap sederhana, dan pihak keluarga kami juga sangat memahami.
“Apa yang penting, kami dapat meraikan Hari Raya bersama keluarga dan orang tersayang… itu sudah memadai,” ujarnya.
Dalam melayari bahtera perkahwinan, Amira mengakui kemesraan hubungan ibu bapanya menjadi contoh dan teladan buat dirinya.
“Sekarang tanggungjawab saya sudah berubah. Dahulu, fokus saya hanya sebagai seorang anak.
“Kini, selain menjadi anak, saya juga memikul peranan sebagai isteri. Saya sentiasa mengingatkan diri tentang tanggungjawab isteri menurut ajaran Islam.
“Semua ini merupakan satu proses pembelajaran, dan saya masih baru lagi dalam alam perkahwinan.
“Sudah tentu ada perkara yang saya rujuk kepada ibu, selain melihat bagaimana ibu dan ayah saya menguruskan rumah tangga mereka. Semua itu saya jadikan sebagai panduan,” singkap Amira.
“
“Kami sekeluarga memang tahu beliau (Amira Othman) sangat menyayangi anak kecil. Di kediamannya di Johor Bahru, beliau sering dikelilingi ramai anak saudara. Malah, mereka memanggilnya ‘mummy’, yang jelas menunjukkan sifatnya yang penuh kasih sebagai seorang mak cik. Jadi, tidak timbul sebarang kesukaran baginya mendekati anak saya, Fatima. Dengan kehadiran Fatima dalam hidupnya, beliau menggalas peranan sebagai ibu tiri tanpa ada rasa kekok. Amira dan Fatima sangat mesra antara satu sama lain. Bagi saya, yang paling penting adalah kededuanya bahagia.”
